RSS

Pentauliahan Leftenen Muda KRS 2013

Alhamdulillah, selesai sudah Perkhemahan Pentauliahan Leftenen Muda KRS 10-13 September yang lalu. Wah, dapat pangkat baru. Seronok ke? Mestilah, banyak pengalaman pahit manis terukir dalam luka yang sama.

Tiba-tiba rasa rindu pada nyamuk2 yang kelaparan siang dan malam, mencari darah manusia. Fuh, dan kaki tanganku juga diserbu dia sang nyamuk. Dari kempis kantungnya sehingga pecah ditepuk manusia.

Tiba-tiba rasa rindu untuk bangkit di subuh muda dan tidur pada dinihari, ditemani bulan sepi, menyiapkan gajet meja dan kerusi. Malam-malam membelah buluh gajah, dihiris kecil-kecil sebelum disusun, diikat menjadi perabot. Ikatan lilit, seraya, manuk semua jadi latihan setelah lulus dinilai ujian.

Tiba-tiba serasa rindu menyeberangi nusantara, membelah rimba dengan jiwa pemuda. Tatkala curam bertemu juram, kita sama-sama memaut akar pokok gergasi, mengiring badan, langkah persatu. Tangan-tangan kiri dan kanan sentiasa berfungsi ditarik dan menarik, penyelamat paling akrab. Sungai yang deras mengalir, kita titi perlahan atas sebatang pokok, penuh kasih sayang. Sehinggalah tiba di denai air terjun, kita bersorak gembira, bermandi manda memasak rimba. Beras dicuci, sardin dibuka, api dihidupkan. Tapi kita anak kota, sukar sekali berkawan dengan rimba, dengan api, dan kayu-kayu basah. Namun, dek kerjasama kita nan jitu, kita selesai dinilai, api berjaya dimarakkan, nasi sempat disalai, disuap juga ke mulut walaupun mentah-mentah. Saat ini, semuanya terasa enak membasahi kerongkong.

Pagi dan petang bahkan lewat malam, kita tak lekang dengan kawad anak patung. Disuruh kaku atau dipaku. "Turun 10", "tak sama. SEMULA!" dan sebagainya. Bila ada salah seorang daripada kita berbuat salah, kita sama-sama dihukum. Serentak dan perlu senada. Kata Tuan, kebersamaan itu perlu ada pada setiap leftenen muda, yang berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Masa rehat kita kerap dicuri membuat latihan, dinilai seorang per seorang. Dalam gerun dan takut, terselit usaha dan gigih.

Kita juga masih rindu pada orientaring petang, berlumba-lumba mengejar cekpoint. Dalam asyik dan leka, kita curang pada peraturan yang ditetapkan, "harus tiba sebelum wisel berbunyi" dan nama kita tergelincir dari senarai.

Di penghujungnya masih ada rindu yang terselit, malam kebudayaan semestinya. Dalam lakon gelak dan tawa, kita memerah otak keringat berfikir, namun, kalah juga dianjung persada. Semua itu tidak pernah kita peduli, kerana gembira dan serasi telah kita kecapi, dalam lubuk hati yang paling dalam.

Masih terasa pipiku ditepuk tangan isi gempal, "kalau tak larat duduk di tepi" sedangkan tenagaku masih membadak, hanya mata layu terkulai rapat. Dalam sepi sesaat aku ditegur lagi, "Leftenan Muda Zakirah! Adakah anda masih larat? Jika tidak, keluar baris dan duduk di belakang", "saya ok Tuan cuba sedikit mengantuk!". Ya, aku masih ingat kelibat sinis yang dilemparkan dalam senyumnya. Dalam hati aku mengomel, aku bukan tentera yang perlu kau lasak, aku hanya guru yang mengajar didik anak bangsa! "Untuk menjadi seorang guru, kamu perlu kuat bak tentera!".

0 comments:

Post a Comment