RSS

Zaman Berzaman

Menanti detik-detik jatuhnya tepat mengenai Deepavali. Hanya menanti tanpa harapan, umpama tin kosong yang jentiknya sudah tidak berbunyi: kemek dipijak-pijak sejarah.

Rela aku memilih botol kaca yang jernih biasnya, walaupun bunyi tidak segah tin aluminium. Kerana bak kata Ustaz Don "banyak bunyi, hati jadi keras".

Teringat saat mula kenalku pada erti tarikh keramat itu, usiaku sudah mencecah 15 tahun. Laman sesawang aku belek, mencari resepi roti bulat. Dengan yakin, mesin pembakar mak su aku pinjam, bila ditanya aku jawab "mak suruh pinjam" tapi dalam hati "minta maaf ya mak".

Ketika itu baru aku tahu, roti bulat akan berkembang jika suhunya semakin panas. Kemudian aku melutut dalam getar, adakah pengetahuanku juga berkembang seperti roti itu? Tanpa sedar, air mata deras membasahi pipi.

Biarpun kembang roti melimpah-limpah, tetap rasanya roti bulat. Meraikan diri sendiri adalah petua membakar semangat, setelah penat dibelasah PMR. Ini adalah zaman permulaanku.

Pada tahun berikutnya aku sudah belajar bergaul: dengan senyuman. Almaklumlah menjadi jurujual perlu pandai bermanis muka. Suatu hari aku hairan, ke mana pergi rakan-rakan xpo yang lain, begitu tegar meninggalkan kedai, pelanggan terpinga-pinga. Dan akulah mangsa buli, kemas tutup kedai sendirian berhad masih juga tiada muncul.

Dalam ketidakpuasan itu, tiba-tiba kedengaran lagu keramat berbisik di cuping bersama calitan krimer-krimer yang gebu. Lalu bertempiaran semua ahli xpo kejar-mengejar, lelaki-perempuan, tua-muda, makcik-pakcik berbalas calitan. Tergambar pemandangan padang rumput yang hijau, berlari-lari arnab gebu diiringi pari rama-rama yang indah walaupun realitinya hanya malam bersuluhkan bintang. Ini adalah zaman jahiliahku.

Dan aku daki lagi usia di alam tarbiyah guru. Di sini aku belajar menjadi tunggul yang pasang surut laut tidak pernah menggugat tegaknya. Aku cuba menjadi aku yang ceria, tetapi menungku lebih banyak bicara. Kerasku lebih banyak menyakitkan. Ini adalah zaman kecelaruanku. Selalu buat perkara yang memalukan diri. "Wahai zaman, cepatlah beransur".

0 comments:

Post a Comment