RSS
(2013)
  • Masih teringat demi kem itu, bas aku naiki, telefon bimbit aku hilangi. Tanpa berita, tanpa risau, berserah hanya pada Dia. 
  • Apabila dikhabarkan "Pahang banjir", aku fikir itu satu soalan maka jawabku "Tidak Pahang tidak banjir sejak dibomkan sungai Pahang, supaya paritnya dalam dan banjir tidak terjadi lagi".
  • Rupa-rupanya itu satu pemberitahuan, bahawa dalam berita kini hangat mengatakan kampung halamanku banjir kilat.
  • Kemudian ditanya ust, "zakirah ada telefon keluarga tak, tanya keadaan rumah macam?"
  • Ketika inilah segala ujian terbongkar, bagaimana aku kebuntuan mencari destinasi kem, Allah kirimkan hamba yang sudi menghantarku ke sana, hanya dengan panduan GPS, boleh dibilang berapa banyak kami kesesat, betapa dia menghalalkan minyak kereta, demi aku yang kepokaian untuk membayar teksi. 
  • Semoga Allah memberkati mereka.

(2014)
  • Hari ini destinasi yang sama aku tuju. 
  • Berkira-kira aku apa yang akan terjadi selepas ini.
  • Jika tadi hampir tertinggal bas dek asyik bersolat, berlari aku mengejar bas di trafik light. Alhamdulillah, Allah permudahkan.
  • Rabbi yassir wala tuassir, rabbi tammim bilkhair.

*road to kem kecermelangan anak soleh 2.0
  • Redup pandangannya membuatkan aku tersenyum membalas. Ramah dalam sapanya, pesona pada wajahnya, bisa membuat siapa sahaja ternoda.
"Kamu pula dari mana?"
"TUDM"
"Owh, ingatkan penjual jeruk kat belakang tu"
  • Kalau aku mencari pasangan pada wajah, pasti sahaja dia aku terima, pasti saja anak hajah itu juga aku mahu, atau Ustaz Thailand yang pernah menjadi insan ketiga berani dalam ranking hidupku.
"Pasti anak-anakku nanti akan mewarisi kehandsomeman bapanya, menjadi anak yang qurratul a'yun, yang membawa sakinah, mawaddah dan rahmat ke dalam hidup" fikirku.
  • Namun, sekali-kali tidak nilaianku pada wajah. Kerana cantik itu subjektif, sesuatu yang tidak abadi.
"Cinta itu adalah sebab. Jika sebab yang kita pilih tidak berkekalan, maka cinta pun akan menjadi tak kekal. Pilihlah sebab yang abadi, kerana cintakan Ilahi"
  • Sesekali tanganku memegang perut, sayup-sayup terdengar satu bisikan, "Ummi, itukah abi saya?"
"Tidak sayangku. Abi kamu bukan seorang yang ramah dengan semua perempuan, bukan seorang yang suka senyum pada semua perempuan, kerana abi tahu, ummi seorang yang sangat cemburu, maka dia akan menjaga pandangan dan hati"
  • Aku bangkit dari bangku, kononnya bas yang aku tunggu telah sampai. Aku hilangkan diri dari pandangannya, dan duduk di bangku yang baru.
"Ummi cuba lari dari abi? Adakah ummi takut pada perasaan suka? Tetapi.. tidakkah itu fitrah antara ummi dan abi?" Haik, banyak pula soalan budak ni.

"Tidak sayangku, ummi mesti menjauhi zina, baik zina hati mahupun zina anggota, zina telinga, zina mata dan sebagainya. Supaya abi kamu juga sedang berbuat demikian, sedang jihad melawan raja nafsu yang tidak kenal lesu dalam menggoda.

Benar sayangku, cinta itu memang fitrah, rasa menarik dan tertarik. Itu bukan masalah. Tetapi cara kita menangani fitrah itulah masalah sebenar. Ummi cuba menguruskan fitrah ini dengan cuba menjauhi zina."
  • Jadilah soleh/ah pada pandangan Allah, bukan hanya pada tafsiran manusia. 
  • Mencari keredaan Allah adalah lebih mudah daripada mencari keredaan manusia.
Kepala yang tunduk sedikit itu bagai mahu melompat hati keluar dari rangka. Sedikit-sedikit mataku ingin mencuri pandang wajah rindu, mataku ingin melihat wajah berkat itu, wajah yang selalu muncul dalam mimpiku. Wajah yang kini susuk tubuhnya berdiri tegak di hadapanku.

Lima jemarinya diletakkan lembut di atas ubun kepalaku. Dengan lafaz,

"Saya ijazahkan kepada kamu pengubatan Islam kerana Allah"

Aku kelu sesaat untuk membalas akad. Fikiranku hanya mahu memandang wajahnya, namun demi hormat, aku larikan pandangan ke sepatu hitam, sepatu yang aku cari satu dewan.

Teringat detik-detik betapa sukarnya yang aku tempuh sebelum pentas itu aku panjat.

..........

"Kak Faridah, saya balik dulu ya. Assalamualaikum" kataku setelah menyarung jaket ke badan. Enjin motor aku panaskan sebelum berjalan.

Tiba-tiba kedengaran lagu nasyid 'tinggallah kenangan' nyanyian hafiz hamidun berkumandang. Skrin telefon memaparkan nama "pa sayang". Aku tersenyum.

'Mesti pa nak bagitahu yang pa dah tunggu kat simpang kampung Parit Bunga. Baru semalam aku mengadu aku takut lalu jalan tu malam-malam. Banyak kubur, takde lampu dan seram.' Bisikku dalam hati.

"Hello pa Assalamualaikum."

"Waalaikum salam. Kak ngah, pa ada kat simpang Parit Bunga dah ni, kak ngah dah keluar kerja ke. Jom, pa tunggu kat sini, lepas tu kita pergi hospital terus. Mak sakit separuh badan"

...........

Jam dinding menunjukkan pukul 4 pagi. Sesekali aku jenguk tengok keadaan ibu di bilik kecemasan. Masih sama seperti enam jam yang lalu. Masih ada air di biara mata ibu, masih mengalir dek menahan sakit.

Aku cuba memahami keadaan doktor, terlalu sibuk dengan kes emergency yang lain. Ibu dibaringkan saja di atas katil setelah dibius dengan ubat tahan sakit.

"Waris Asiah binti Ali"

"Ya saya"

"Ibu kamu ni perlu ditahan 2-3 hari di wad. Sila isi borang ini ya"

"Kenapa dengan ibu saya doktor. Dia sakit apa?"

"Owh, ibu kamu disyaki sakit jantung. Kami dah beri ubat tahan sakit, esok pagi akan diteruskan dengan rawatan susulan dan x-ray untuk kesan masalah"

...........

"Pa, ada duit tak? Len nak pergi Pineng esok, ada majlis konvokesyen Darussyifa'" ayah diam seribu bahasa. Aku seperti sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Dah terang-teranglah ayah takde duit.

Bukankah baru kelmarin ayah bangkit dari lumpuh separuh badannya? Hampir dua malam mataku tak jadi pejam sebab mengurutkan ayah. Mana mungkin ayah nak ada duit, mengangkat berat saja uratnya keras, apalagi ingin bekerja mengangkat bata yang beratnya berpuluh kilogram.

Terfikir juga hendak meminjam duit tauke, walhal baru seminggu aku kerja. Rabbi yassir wala tuassir, rabbi tammim bilkhair. Ya Allah, aku tahu Engkau memerhati, aku tahu Engkau mendengar, aku tahu Engkau sentiasa ada. Permudahkanlah urusanku, permudahkanlah urusanku.

...........

"Aina, boleh minta tolong tak, hehe. Tolong beli benda tajam boleh. Pisau sembelih saya tertinggal kat rumah."

"Munirah, hehe. Nanti kalau sempat lepas ambik sijil, nak pinjam kasut boleh." Walaupun dah bagitahu, tapi aku mesti ada spare plan b, kut2 tak sempat nak pinjam kasut munirah nanti. Otakku ligat berfikir, berfikir dan berfikir sehingga denyut mula bernadi.

Dari jauh aku perhati kasut putih di kaki seorang insan. Aku harus berani, berkatalah wahai lidah, bertemboklah wahai muka dan berhati wajalah ketika melangkah. Biar malu sebelum naik pentas daripada malu kat atas pentas.

"Minta maaf cik, saya tak ada kasut, tertinggal kat asrama. Saya ni bertolak dari kampung, dari johor. Kalau tak keberatan, boleh saya pinjam kasut mak cik?"

Alhamdulillah senangnya dapat. Setelah kusarung, aduh 2 inci ruang terlopong. Tisu aku sumbat dan sumbat. Dek tak selesa, aku cuba berjalan, berjalan dan berjalan sehingga tiba di tandas.

Seorang gadis itu cantik, sedang keluar dari tandas, aku masuk. Kemudian dia meminta izin untuk ambil beg tangannya di dalam. Aku alukan.

Tiba-tiba, mataku pana pada kasutnya. Bertubuh saiz aku, ada kemungkinan kasut pun saiz aku.

"Er kak, akak pakai kasut saiz apa ya" dia tergelak kecil. Aku ceritakan situasi aku, dan MasyaAllah, dengan besar hati dia pinjamkan kasut tu. Alhamdulillah.

..........

Aku menjatuhkan pandangan pada sepatu hitamku. Lama Tuan Guru menanti ucapan akad dan kabul. Beliau sedikit berdehem, jemarinya di ubunku digerakkan sedikit.

"Saya terima ijazah pengubatan Islam kerana Allah" kataku setelah menyedari penantian kabulku oleh Tuan Guru.

"Alhamdulillah, barakallahu fitri" sahut Tuan Guru sejurus mendengar ucapan kabul dariku.

"Ini hadiah saya untuk Tuan Guru" kataku sambil menyentuh hadiah yang aku letakkan di atas dulang tadi.

"Terima kasih" jawab Tuan Guru. Aku beransur turun meninggalkan Tuan Guru. Insan yang pengen sekali aku tatap wajahnya secara dekat. Namun, peluang itu selalu pergi seperti perginya langkahku meninggalkan pentas.
Azan berkumandang. Aku gegas ke surau. Kelihatan air berebut-rebut keluar dari paip buat mengalirkan dosa insan serebut-rebut orang yang memenuhi surau.

Aneh, insan berebut-rebut menyahut panggilan Allah dengan seawal mungkin. Malah, ada yang telah pun siap menunggu di atas sejadah (sambil tangan menyentuh skrin telefon).

Mengapa pula aneh yang sepatutnya begitulah harus menjadi kebiasaan umat islam.

Kerana selalunya umat sekarang banyak yang wahan. Panggilan Tuhan diremehkan, panggilan dunia diutamakan. Manusia sukar mengejar apa yang tidak kelihatan, apalagi yang didasari iman. Aduh, kesakitan itulah sikap manusia.

Tetapi di sini, manusia insan yang sihat. Kepercayaan rezeki pada pergantungan Pencipta.

*Aku mahu sihat
Berkata Ibnul Qayyim al-Jauziyah, cinta itu ada tiga jenis. Kadangkala ia menjadi seperti singa dan pedang. Kadangkala ia menjadi bencana yang besar. Kadangkala juga ia menjadi bagai arak yang memabukkan.

Tatkala cinta menjadi SINGA dan PEDANG, ia membawa: pengecut jadi pemberani. Bakhil jadi pemurah. Bodoh jadi pintar. Gagap jadi fasih. Pengarang jadi tajam penanya. Lemah jadi kuat. Kesedihan jadi kegembiraan.

Tatkala tepat siapa yang patut dicintai, tepat matlamat cinta, tepat pengurusan cinta, cinta ini menjadi kemuliaan dunia dan akhirat. Inilah cinta kepada Allah, Rasul dan jihad di jalan-Nya. Begitu juga cintakan sesuatu seperti ibu bapa, suami, isteri, anak-anak dan harta hanya kerana-Nya.

Tatkala cinta menjadi BENCANA BESAR, ia membawa: pemimpin besar jadi hina dan orang terkenal jadi papa kedana.

Tatkala cinta disalur bukan pada tempatnya yang terhormat, malah diumbar sewenang-wenang dengan jalan zina dan maksiat, cinta ini menjadi kehinaan di dunia dan di akhirat.

Tatkala cinta menjadi ARAK YANG MEMABUKKAN, ia membawa: telinga tuli daripada nasihat, mata hanya mencari peluang bermaksiat, dan hati abaikan ingatan Tuhan pemberi nikmat.

Tatkala itu, cinta dirasakan ada manfaat, padahal mudaratnya besar.

Apa yang dikatakan 'cinta' sepatutnya mulia, tetapi kini dekat dengan nafsu, umbaran syahwat dan penzinaan. Inilah cinta yang dimainkan oleh orang yang konsep diri dan konsep hidupnya tidak jelas. Lalu tidak meletakkan cinta kena pada tempatnya.

Bagaikan peminum arak, bagillah seguni nasihat sekalipun sudah tidak berguna lagi. Akalnya tidak waras menilai mana palsu mana hakiki.

(Cinta hight class)
Si kecil berlari, ke belakang, ke depan dan ke belakang. Melihat sofa yang lapang di bawah, ia pun berteduh. Akan nenek dan atuknya hanya tersenyum melihat telatah si kecil.

Di bibirnya hanya ada nenek dan atuk. Akan sebutan kepada orang tuanya bukan tidak dia ingat, kerana sering dia memanjangkan leher asal ada saja anak muda bermotor lalu lalang di hadapan rumah. Di sudut hatinya pasti berharap supaya salah satu anak muda itu adalah orang tuanya. Jika tidak, dia termenung dalam, "di manakah abi, ummi, di manakah ummi"

Air mukanya ketika itu akan berubah serta merta. Air muka sedih bersulam rindu, kecewa bersulam gelisah. Di ulu hati terasa sakit memukul-mukul asal saja dia berfikir, asal saja anak-anak muda itu berlalu lalang. Atuk dan nenek yang mengerti, merangkul si kecil dengan kasih.

Si kecil terus merebut perhatian, siapa-siapa yang ditemui, perhatian mahu diperoleh. Dia akan menari, membebel dan mendengar kata. Kadang-kadang, banyak juga yang dia jahat untuk diperhatikan. Berlari ke sana sini, jerit pekak dan lalak atau merosakkan harta barangan orang. Sehingga dia diherdik, dimarah dan kerap juga dipukul.

Apabila sedar dirinya mula dibenci, si kecil akan berlari dan memeluk insan, sambil bercakap yang tiada bahasa, hanya menggulum lidah dengan suara, seperti merayu supaya dia diampunkan, supaya dia disayang semula. Dia sedar, jika dia dibenci, tiadalah tempat dia bergantung, untuk bermanja seperti insan seorang ayah mahupun ibu.
Aku berjalan di dalam hutan buat mendaki puncak bukit. Aku pijak daun-daun kering, reput dan bising. Waspada langkah diatur. Kelihatan pokok panjang-panjang, tinggi mendada ke langit.

Jika aku mahu ke langit, pasti pokok ini aku panjat. Tetapi aku mahu ke puncak, perlu menempuh jalan berhutan. Semak-semak yang aku lihat, semak lagi fikiranku tatkala itu. Jalannya semua dilindung lalang yang tajam. Tiada sebarang jalan, semuanya rata dan sama. Semuanya lalang. Semak dan ngeri.

Angin bertiup sepoi mengeringkan peluhku. Hadirnya seperti membawa berita, menyatakan bahawa itu arah utara. Untuk ke selatan, aku harus pilih jalan setentang. Seman-samun di hujung sana tiba-tiba menari deras. Aneh. Semakin lama semakin hampir. Jantungku terasa berlubang. "Semak itu hanya menari dan melambai, dia sedang menyambut kedatanganku," cubaanku berfikir dalam berzikir. Berserah dan menyerah.

Kepalaku ligat, wajah-wajah ibu, wajah-wajah ayah, wajah-wajah along, adik dan lainnya. Aku nekad terus memangkah hutan. Aku harus ke puncak. Ada yang menanti kepulanganku. Waktu kian gelap, gelap lagilah takutku nanti. Cepat!

......................

Kedengaran, nafasnya kuat berhembus. Kata ayah, jika bunyinya seperti ini, itu tandanya dua, ia sedang takut atau sedang lapar mencari mangsa. Jika ia sedang takut, akan kuredah saja, jika ia sedang lapar, ya Allah, Engkau kenyangkanlah ia. Dan aku terus memangkah hutan ke arah yang sedikit lari, biarlah supaya tiada aku mengacau akan ia.

Dalam berjalan tiba-tiba bumi jadi bergegar. Bumi bergegar atau aku yang pening, berusaha aku pastikan. Namun tiada juga jawapan kudapat. Tiba-tiba, sepasang kaki manusia besar mendarat di depanku. Ia berhenti, bumi pun sudah tidak bergegar.

Sempat aku memasukkan diri ke dalam semak dan mengintai makhluk apakah itu. Ia menghidu mencari sesuatu. Ops, betul! Ia mencari bauku. Segera pesanan along muncul, "jika kau lihat makhluk besar, jangan kau tarik nafas. Ia akan bisa mengesanmu. Kawanku sudah ramai yang hilang dek dikesan makhluk itu."

Lama juga aku begitu, jika lama lagi aku bisa mati ungu tak bernafas. Ya Allah, dia juga makhlukMu, bawalah dia pergi. Bisikku merayu. Air mula menitik di biara mataku. Tidak lama seminit itu, bumi bergegar kembali, makhluk itu berlalu. Alhamdulillah. Sepantas inikah Engkau mendengar permintaanku. Pantas aku bersujud terus, lama mengalirkan syukur.

....................................

Maka itu jangan pernah merasa sunyi. Berbicaralah kepada Tuhanmu biarpun di waktu sunyi, di waktu seram ataupun di waktu girang. Dia akan sentiasa mendengar sejauh mana engkau percaya. Yakinlah, Dia itu satu-satunya Penolong yang perlu kita bergantung harap.

Anak-anak di hadapanku, aku amati satu per satu. Semuanya tekun mendengar cerita. Cukuplah untuk hari ini. Malam sudah larut, pejamkanlah mata. Tubuhmu memerlukan rehat.
Culas dalam tingkah laku adalah parah kepada ilmu...

Aku masih mahu menjadi ilmuwan
Menggapai bintang di angkasa
Sambil melihat makhluk dunia
Walaupun aku burung yang cedera.

Sesekali sayapku patah
Aku jatuh ke bawah
Rata mencium bumi
Dan aku masih begitu
Masih mahu terbang lagi.
Pada awan aku pandang membiru. Pundakku terasa berat, berat dan semakin berat. Aku lenguh lalu merebahkan tubuh ke rumput-rumput yang segar tersenyum, seolah-olah gembira menyambut jasadku.

Tulang belakang mula merenget manja, berkeriok lembut tatkala udara itu aku sedut dan hembus perlahan-lahan. Aku sedut lagi dan hembus. Dalam-dalam aku tarik dan perlahan-lahan aku lepas. Segar, terasa oksigen bagai berlari-lari menyeluruhi urat sendiku.

Aku menyilakan tangan di perut. Gunung hijau itu aku nikmati selama mungkin. Kelihatan awan berarak dan berkumpul, kemudian berpecah semula. Daun-daun kering  berlumba-lumba terbang, sambil menyanyikan irama reput-reput, seperti seronok bermain angin.

Aku pejamkan mata. Oksigen aku ambil sekali sekali. Nyaman bayu itu. Sesekali aku perlu begini. Berfikir jauh. Tanggungjawab besar semakin menghampiri. Aku perlu tabah dan bangkit. Inilah saatnya untuk beraksi. Tuhan telah memilih aku untuk melalui semua ini. Alhamdulillah, syukur kembalikan aku kepada nikmat.

Wajah-wajah tua silih berganti dengan wajah-wajah muda. Satu persatu bermain sorok-sorok dalam mindaku. Sekali lagi nafas curi bayu. InsyaAllah, aku sedia. Aku sedia dan aku bangkit. Aku hanya kuat dengan kekuatan Allah. Aku hanya daya dengan tenaga yang dipinjamkan.

Setahun lagi untuk mengorak langkah. Di sana sudah berat menanti saat melepaskan beban, di sini sudah sedia memikul tanggungjawab. Masanya semakin hampir, dan geloranya sudah klimaks mulai sekarang. Beratnya sudah terasa meskipun bebannya belum di pundak.
Sahabat
Kalian semua adalah mutiara di hatiku
Tiada beza pada hematku
Baik laki-laki mahupun perempuan.

Sahabat kelas, sahabat gerak kerja
Kedudukan kalian cukup tinggi
Sehingga aku menjadi rendah dan kecil

Aku juga menjadi batu dan kuku
Tanpa sengaja mencalar dirimu
Seperti harimau kelaparan
Terkejut apabila terlahap kawan sendiri.

Ada yang bersuara
Mana mungkin ada persahabatan
Baik lelaki antara perempuan
Melainkan ikatan suami isteri.

Tidak, sekali kali tidak
Mana mungkin sahabatku mahu dijadikan suami
Mana mungkin sahabatku mahu dijadikan isteri
Sahabatku adalah sahabatku
Yang menegur silap dan mengajar yang benar
Yang menjadi guru di kala buntu

Maka itu sahabatku adalah sahabat
Adalah air yang dicincang tiada putus.

Sushi Tuna

  • Alhamdulillah, kelmarin genaplah usiaku 22 tahun. Terima kasih dan tahniah kepada ibu dan ayah yang telah berjaya membesarkan aku selama 22 tahun. Menjaga, mendidik dan membimbing aku menjadi seorang manusia yang sopan dan berpekerti mulia. Pasti banyak perit dan luka yang telah mereka lalui.
Kata ibu, jangan kau aktif dengan gerakan
tumpukan pada pelajaran
kerana mulia manusia disebabkan ilmu.

Pesan ayah, terbanglah anakku
pergilah ke mana saja yang mampu kau pergi
supaya kau belajar daripada setiap perjalananmu
ayah tak mampu bawa kau terbang
ayah hanya mampu menunggu 
sehingga sayapmu tumbuh sendiri.
  • Jika di rumah, hari ini akan disambut dengan memasak atau buat kuih sama-sama. Pasti ada resepi baru yang ingin kita terjah. 
Fahaman kita menegaskan, setiap tahun meningkat usia, 
pastikan ada peningkatan juga dalam sesuatu bidang yang dikuasai.
  • Dan hari ini aku raikan diri dengan belajar membuat sesuatu yang baru, sesuatu yang aku ngiurkan sejak tahun yang lalu. Iaitu ..... sushi tuna! (^_^)
  • Biasanya kalau makan nasi, mesti separuh pinggan je. Tapi bila buat sushi, nasi masak satu cawan pun boleh habis. Masya-Allah.
  • Aku jadi terimbau zaman kanak-kanak. Ibu suka buat nasi bola yang dalamnya ada inti sardin atau lain-lain. Nasi ibu kepal-kepal sehingga bulat, dan kami akan makan sambil bermain. Senang juga begitu. Boleh la praktikkan nanti. (^_^)
  • Memasak ni, tak adalah susah sangat. Tinggal berani atau tidak je untuk mencuba. Cayuk2 Cik Za, jangan biarkan diri terus dibelenggu dengan kebodohan dan kekakuan. Believe in yourselft, Sure you do it! (^_^)
  • Cukup-cukuplah peristiwa tak pandai bancuh kopi semasa berkhidmat dengan ustaz Zaidi. Cukup-cukuplah pengalaman tak pandai kacau mihun supaya sebati dengan kuah. Allahu malu (ToT)

Cemas

Aku menulis di meja, dia  di meja sebelahku menarik perhatian. Aku terus menulis dengan menjadikan dia sebagai analogi. Dia keras membeku. Apabila aku menghampiri dia, aku lihat kata-kata yang dia ukir di atas meja, aku ambil dan gubah. Kata-katanya terlalu kuasa, sehingga dia juga aku bawa di sisi tempat dudukku.

Sedang asyik menulis, dia tumbang di atas ribaku. Di kepalanya aku lihat satu jalur panjang, yang akan memercikkan darah bila-bila masa. Aku hanya terpaku pada hidung mancung dan kulit sawonya, dia masih begitu, tidak menyedarkan diri. 

Albert, seorang pelajar British menghampiriku, meminta aku membetulkan tulisannya. Tulisan itu aku tegur. Dia melukis gambar di atas kertas itu, tangannya cukup mudah melakarkannya. Aku mohon, ajari aku. Dia pun mengajar. Kemudian aku senyum, kataku, aku mahu melukis gambar dia. Dia pun mengajar, aku sudah teruja dengan kemahiran baruku.

Kepalanya asyik tersenguk di hadapan kami, Albert segera menegakkan kepala itu, diam. Darah mula mengalir laju dari luka di kepalanya. Segera, hampir aku cemas disimbah peluh. Dua tiga tisu aku ambil dan segera menyerap darah di kepalanya. Albert kebinggungan, aku tak tahu nak hurai, aku juga tak tahu mengapa. 

Albert memandangku, kaca mataku cuba mengatakan, bukan aku yang lakukan itu padanya, aku temui dia dalam keadaan yang begitu. Darah mengalir lagi, tisu ku ambil dan serap lagi. Kali ini, aku tekan tisu itu dalam-dalam, supaya darah di celahan rambut juga bisa diserap. Kemudian dia, Albert pikul dan dia membuka mata. Masya-Allah, masih hidup rupanya.

Aku berlari keluar dari bilik darjah. Di belakang bilik itu aku  buang tisu-tisu tadi. Aku lihat, kelas lain sedang asyik belajar, sedang asyik memberi tumpuan tanpa culas. Tiba-tiba aku ditegur dari belakang, oh, Mingo! Kami berbual seketika, dalam perbualan itu aku tersebut nama dia. Mingo kehairanan, mengapa dia masih ada di sini. Adalah cukup bahaya untuk dirinya sendiri.

Pernyataan Mingo dapat kubaca, ada sesuatu yang sedang berlaku. Dia dalam bahaya. Perlukah aku selamatkan atau biar sahaja??

Ke bilik darjah itu aku kembali, Albert masih khusyuk dengan lukisannya. Aku hampiri Albert, di mana dia? Albert membawa aku ke bilik rehat, tempat dia diletakkan. Suasana ketika itu sudah malam. Aku membawa kain untuk di alas kepalanya supaya darah tidak mengotorkan bantal. Dia menyelimutkan penuh tubuhnya. Ke tingkap dia memandang, takut-takut kalau ada bayang-bayang. Lalu langsir dia selak ke tepi habis, supaya senang dia perasan jika ada yang bersembunyi di luar.

Dia gelisah, dia cemas, dia hanya aku perhatikan tanpa menunjukkan gelora cemasku. Jika aku cemas, bagaimana dia hendak aku bantu. Kelakuannya membenarkan segala kata-kata Mingo siang tadi. Ada sesuatu yang mengekori dia! Atau dia sahaja yang rasa begitu.

Kringgg!!! Masya-Allah, sedarlah aku bahawa lampu bulan sudah ditutup, lampu matahari sedang dibuka. Aku cuba mengingati semula, siapa dia? Tapi semuanya kelabu..

Pelan 5 Tahun

2015: Praktikum dan Viva. 
  • Buat viva tentang kemahiran penulisan @ permainan @ tapak pembelajaran yang menarik.
  • Praktikum sem depan, merayu juga pada unit praktikum supaya dapat dekat-dekat IPG je, guna alasan tiada kenderaan. Hehe.
  • Kuasai ilmu pedagogi untuk mengajar dalam kelas, pada masa yang sama penuhkan dada dengan ilmu Rabbi, supaya apabila mengajar, anak murid juga dapat mengenal siapa Pencipta mereka, kebetulan pula sem depan ajar moral, ada juga peluang nak dicari.
Kata Ummi Hashimah, 
jangan takut menyebut Allah
walaupun mereka non-muslim
kerana mereka juga makhluk Allah
serulah mereka dengan hikmah.
2016: Mula bekerja.
  • Minta posting berdekatan dengan keluarga.
  • Bahagikan gaji dengan baik. 
  • Main duit kutu. Satu kepala RM300, main 5 kepala. Satu pusingan 2 tahun.
  • Satu kepala sekali kutip RM 12 000 kali dengan 5 kepala = RM 60 000
  • Sebulan peruntukkan RM1500 untuk duit kutu, selebihnya untuk perbelanjaan harian dan beri pada keluarga.
2017: Tengok pada keadaan.
  • Kalau situasi sudah selesa untuk sambung master, terus sambung masa ni. 
  • Antara subjek yang nak disambung ialah Pendidikan Moral, kerana minor sekarang moral dan paling dekat dengan Islam. 
Sesungguhnya Muhammad itu diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia
Maka, moral diharapkan menjadi pilihan terbaik
  • Kalau tidak, teruskan mengajar macam biasa, jaga kebajikan keluarga dan teruskan usaha.
  • Setiap cuti panjang, mudah-mudahan dipermudahkan niat untuk pergi ke pondok, dalami ilmu agama, itulah cahaya hidup.
  • Pada masa yang sama, aktifkan diri dengan aktiviti kawasan. Menyumbang apa yang perlu. Bawa keluarga untuk sama-sama bergerak dengan kawasan.
Dua tahun kemudian...
2018: Pergi umrah satu keluarga.
  • Dengan duit kutu, nak bawa mak, bawa pa, bawa along, bawa dekna dan zaki. Insya-Allah, kita ziarah makam nabi.
  • Kalau aku lupa, tolong ingatkan aku azam yang satu ini.
2019: Rumah dan Tanah
  • Teruskan bermain duit kutu untuk pusingan yang kedua.
  • Kutipan kali ini, beli tanah dan buat rumah sewa 4 pintu.
  • Mudah-mudahan bajet cukup sebab yang buat nanti ayah sendiri, jadi jimat kos dari segi upah pekerja. hehe. Jadi rumah sewa untuk keluarga.
  • Sewa satu pintu untuk dekna di UIA, satu pintu untuk zaki (diharapkan dapat menyambung ke Timur Tengah) dan dua pintu lagi untuk mak dan pa.
  • Kalau mampu dan sesuai dengan masanya, sambung terus phd masa ini. Insya-Allah, moga Allah makbulkan.
Apabila yakin kebajikan keluarga sudah terjaga, barulah fikir untuk diri sendiri. Insya-Allah, moga Allah reda.

Mengapa tidak dimasukkan target untuk berbaitul muslim? Ada yang bertanya, dan jawapannya, aku tetap dengan keyakinan bahawa jodoh itu hadiah daripada Allah, bila Allah nak beri kita terima. Bila Allah senyap, kita teruskan hidup macam biasa. Dan sebaik-baiknya, ketika Allah beri itu kita sudah berada dalam keadaan yang bersedia dan selesa, bukan dalam keadaan yang sangat membebankan.

Penuhkanlah dadaku dengan iman
penuhkanlah dadaku dengan ilmu
penuhkanlah dadaku dengan cinta pada-Mu

Apabila aku berjaya, tambahkanlah imanku
apabila aku gagal, tambahkanlah imanku
jadikanlah aku hamba-Mu yang sentiasa bertambah imannya.

'Tak Sangka'

  • Alhamdulillah, sampai di Kedah Darul Aman. Memang aman membelah sanubari, dengan sawah yang hijau dan jalan raya yang nyaman. Bagai berada di luar negara rasanya.
  • Aku memandang ke luar jendela, terlihat pokok satu-satu di keliling hijau alam. 
Tiba-tiba terbayang seekor cheetah berlari mengejar mangsa. 
Yup, suasananya tak lari macam night safari.
  • Sesampai di ruang rehat muslimat,  masya-Allah, bertentang mata dengan sahabat-sahabat dari kampus lain. Ada yang kenal, ada juga yang tak kenal. 
  • Ramainya yang sudah menjadi alumni sekarang. Lihat di jari manis, masing-masing sudah bersarung emas. Alhamdulillah.
Niat pergi untuk belajar,
harap-harap dapatlah apa yang diniatkan
kerana hidup adalah ilmu
yang perlu dikutip dan dihargai
kelak ia menjadi panduan
petunjuk jalan ke syurga abadi.
  • Hujung mingguku dipenuhi dengan 'tak sangka'. 
  • 'Tak sangka' pimpinan yang baru naik ini adalah sahabat-sahabat yang pernah ku kenal, pernah bertaaruf dalam program, explorace bersama, menyelesaikan masalah bersama, berlari dan bergelak ketawa bersama.
Tidak ku nafikan kehebatan kalian
jika berhujah ada dalilnya
bila berkata ada hikmahnya
ketika bekerja, pasti ada buahnya.

Masya-Allah, hebatnya kalian
pasti Pencipta kalian lagi hebat bukan. (senyum)
  • 'Tak sangka', apabila dihulurkan kad jemputan kahwin, pasanganmu sahabat adalah adik ustaz Hafiz. Masya-Allah, bibir ni tak henti-henti tersenyum, tak henti-henti nak memuji dan menyakat. Tahniah sahabat solehah. 
  • Memang pantas kau tercipta untuknya dan dia tercipta untukmu. Semoga bahagia ke anak cucu dan nur sakinah itu menjadi perhiasan hidupmu.
Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik
lelaki yang baik untuk perempuan yang baik pula.
  • Ke'Taksangka'anku semakin menjadi-jadi. Saat itu, aku sedang menggosok gigi di sinki. Dengan panggilan 'Zack' aku sudah dapat meneka siapa gerangannya, kerana dalam banyak-banyak kakak unit pengajian tahun akhir, hanya ukhti TK yang memanggil aku dengan gelaran itu. 
  • Dia tersenyum sambil menghulurkan kad jemputan kahwin. Buka-buka sahaja, aku sudah terjelopok jatuh ke lantai dek 'tak sangka' yang amat sangat. Masya-Allah.
Orang yang hebat untuk orang yang hebat juga.
  • Dah lama aku menanti, siapakah pemaisuri yang bakal mengisi ruang hati si akhi yang seorang ini, rupa-rupanya, tak jauh, terlalu dekat dan pastinya tak dapat dijangka. 
  • Tahniah semua yang bakal berbaitul muslim. 4 walimah bakal menyusul hujung tahun ini.
Hatiku masih berbagi-bagi
hendak pergi atau tidak
walaupun mulut berkata mahu
pergi sekadar memberi sokongan kepada sahabat.
  • Namun jauh di lubuk hati, aku tak mahu pergi, tak mahu mempengaruhi mindaku ini dengan perkahwinan lagi. Perancangan 5 tahun mendatang, mudah-mudahan dapat dikecapi.
  • Terlalu banyak tanggungjawab yang tergalas. Mungkin sekarang sudah ada yang membina kemahiran memasak, kemahiran mengaktifkan diri dalam gerakan dan sebagainya.
  • Tetapi aku, seperti terkebelakang sedikit, aku hanya mahu menguasai kemahiran menuntut ilmu dan menjadi seorang yang solehah untuk Penciptaku dan keluarga.
  • Apapun, tengoklah nanti.
Yang perlu dikejar bukanlah jodoh
yang perlu dikejar adalah cinta Ilahi
kerana jodoh adalah rahsia
sebagai hadiah dari Pencipta.

Percaturan Allah sangat indah.

Semangat Tok Gajah

  • Siapa sangka, Tok Gajah akan menang 6-3. 
  • Dari Pekan menaiki bas, anak muda sudah sedia berjersi kuning sambil menggemakan lagu Tok Gajah di dalam bas. 
  • Masya-Allah, remaja sekarang sangat gemar akan bola. Teringat pula seloka yang sempat dibuat semasa perkampungan penulis dan dipersembahkan semasa malam kebudayaan;
Aduhai malang remaja
hidupnya bebas hingga tersasar
ada solat ditinggalkan
sebab asyik bermain bola.

Bangun pagi pukul lapan
pergi kuliah pukul sembilan
bila ditanya mengapa
sebab tidur lewat malam.

Wahai remaja harapan bangsa
kembalilah ke pangkal jalan
agama bukanlah gelaran
aduhai nasib remaja.
  • Laluan bas hanya tinggal sekangkang kera untuk dilalui. 
  • Maka semua penghuni bas berdebar, tiket bas sudah dibeli, jika lambat tiba di sentral, ada kemungkinan ditinggal saja. 
  • Tiket yang dibeli, bukan seposen dua, malah mencecah sehingga RM65. Maka beramai-ramailah anak muda mahupun tua turun untuk berganding bahu mengembleng tenaga mengangkat dan mengalihkan kereta yang tersadai.
Masya-Allah
apabila bersatu
semua kerja menjadi padu
sudah lama tidakku rasai saat begini
bagai mahu mengalir si air mata.
  • Apabila berjaya, semua orang bertempik gembira, "Insya-Allah semangat Tok Gajah, Pahang akan menang hari ni". Begitulah kata pelajar ICAM di sebelahku. Siapa sangka, kata-kata itu menjadi kenyataan.
  • Sorakan dari stadium bola bergema hingga ke stesen bas. Sampaikan encik annaouncement juga menyanyikan lagu yang sama.
  • Aku jadi tertanya-tanya, siapakah Tok Gajah yang sebenarnya?

Cinta dan Nafas

  • Alhamdulillah, masih dikurniakan cinta untuk bernafas dan menulis di sini. 
  • Nikmat terbaring sejak subuh, berselubung dek tubuh yang kejang. Segala urat tertarik ke mana entah, tidak ku tahu. Aku hanya tahu semua itu terlalu sakit. Tapak kaki dan tangan menjadi pucat tak berdarah.
Ya Allah, 
patutlah doktor beri banyak sangat pantang
jangan terlalu penat, 
jangan banyak fikir, 
emosi jangan sedih, 
dan banyak lagi...

kerana yang menanggung nanti adalah tubuh
sedangkan tiada ubat yang boleh merawat
maka mencegah saja jalan yang ada.
  • Tak sangka pula ada sahabat yang baik, ada yang pergi ambil ubat, ada yang keluar beli makanan, dan dia juga... walaupun tingkahnya pelik tak peduli, tapi aku tahu dia hendak membantu cuma tak tahu bagaimana. (senyum)
Jauh dalam hatinya, aku tahu
aku masih berdarjat sahabat
kerana hatiku selalu berbisik
dia sahabatku selamanya,
tak kira apa yang berlaku...

Allah, Engkau mendengar bukan. (Senyum)
  • Jika dulu aku selalu meminta adalah lebih baik aku menanggung semua kesakitan manusia, supaya aku tiada peluang berbuat dosa. Namun kini, aku sedar, apabila sakit, betul, aku tiada peluang buat maksiat dan aku juga tiada peluang buat ibadah. Dan satu kekurangan lagi ialah aku akan menyusahkan orang lain.
Kalau selalu mengadu sakit
lama-lama orang akan meluat
tetapi fikirlah bahawa sakit itu nikmat
maka kita akan diberi rahmat

Dan rahmat itulah yang akan menjadi asbab
untuk kita masuk ke syurga
menjadi bidadari
meraih cinta Ilahi.
  • Teruskanlah menulis, agar segala belitan akan terurai. Mengapa kau sekat minatmu, tidakkah menulis itu telah subur sedari kecil?
  •  Setiap pagi di hujung minggu, buaian di bawah rumah masih menjadi saksi, tempat untuk kau berdiskusi, dengan diri dan alam, dan kau mencari Pencipta yang tidak kau tahu di mana, hanya dengan sebatang pensel dan buku kecil. 
  • Kadang-kadang, kau lakarkan ia menjadi lukisan. Kadang-kadang, kau coretkan ia menjadi perasaan.
Teruskan menulis
hargai jiwamu
terangkan hatimu
agar tenang menjadi temanmu.
  • Ikhlaskan hati menulis untuk berdakwah. Aku menulis, semoga menjadi hikmah kepada pembaca. Pengajarannya kita kongsi bersama.
Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Gurindam

  • Pertama kali, inilah gurindam yang singgah di telinga. Penuh dengan nasihat. 
  • Rupa-rupanya, Hamzah Fansuri merupakan pelopor kepada syair. Oleh sebab itulah kebanyakan syair yang kita baca berbentuk keagamaan dan nasihat.
Alhamdulillah, 
berpeluang bertaaruf dengan puisi tradisional
apabila dalam bengkel
apabila ada unsur kepaksaan dan wajib
barulah ada hati nak buat
  • Maka tak hairanlah ada kata yang berbunyi "Keikhlasan itu hadir daripada keterpaksaan". Jadi, kalau nak jadi seorang yang berjaya, kita kena paksa diri kita (bukan seksa ya).
  • Berikut merupakan coretan awal gurindam yang dihasilkan sebentar tadi:
Barang siapa mengejar dunia,
tidak akan dapat semua yang ada.

Barang siapa mengejar akhirat,
keinginan dunia mestilah disekat.

Barang siapa idamkan syurga
hendaklah hormat ibu dan bapa.

Barang siapa mencari diri,
hendaklah kenal siapa Ilahi.

Barang siapa baik budi bicara,
kelak disayang semua manusia.

Barang siapa ingin berjaya,
nafsu yang buas hendaklah dijaga.

Barang siapa tidurnya nyenyak,
kelak ilmu tidaklah banyak.

Barang siapa bermuram durja,
kelak syaitan akan bermaharaja lela.

Barang siapa bongkak dan sombong,
kelak nanti dipandang serong.

Barang siapa suka mengumpat,
umpama makan daging si mayat.

Sejenak

  • Sejenak aku mencari, di mana jiwa puitis itu. Di mana? Bagaimana mahu kukarang, sedang hati telah pun hilang.
Mengaranglah dengan hati
maka tanganmu akan menjadi tangan Tuhan
telingamu akan mendengar suara Tuhan
kerana jiwamu sedang rindukan Sang Pencipta
  • Kamu terlalu banyak alasan. Itulah masalahnya. 
Tidakkah manusia diciptakan untuk menyelesaikan masalah? 
Janganlah lari, 
apa lagi merendah diri. 

Redahlah, 
sehingga kau lihat cahaya putih yang menyilau, 
sehingga kau dengar ucapan "salamun kaulammirrabbirrahim..", 
sehingga pintu itu terbuka, 
dan kau akan melangkah ke alam baru.

Mawarku Sayang

Cinta
Apa itu cinta
Adakah apabila dengan seseorang
Hati terasa bergetar
Bagai ada magnet yang menarik
Kerana caranya yang pelbagai
Atau gayanya yang cendekiawan
Prihatin dan suka menolong,
Adakah itu yang namanya cinta?

Berhati-hatilah mawarku sayang
Jangan mudah buat kesimpulan
Bahawa itu mungkin jodoh kamu
Tidak
Barangkali itu permainan syaitan
Yang sentiasa menggoda dan menarik
Supaya semua anak Adam tersungkur
Sujud dan sembah kepada selain Allah
Menjadi hamba kepada Dunia.

Kendalikan hatimu dengan baik
Bagaimana kita hendak mencintai orang lain
Jika kita tidak mencintai diri sendiri
Bagaimana kita hendak mencintai diri sendiri
Jika kita tidak mencintai Allah.

Kita datang daripada Allah
Akan pulang kepada Allah
Hidup ini akan ditanya
Adakah diisi dengan baik
Atau hiburan semata-mata.

Ingatlah wahai mawarku sayang
Hanya dengan meletakkan Allah nombor 1 dalam hidup
Kita akan bebas dari segala bentuk penghambaan.

Bebas

Kecil tanganku dalam genggaman ayah
Sambil berjalan aku terlihat burung
Ayah, kenapa manusia tidak seperti burung?
Terbang dengan riang, pulang dalam kenyang.

Lalu aku didukung dan diterbangkan
Tetapi aku membantah
Aku mahu terbang dengan sayap sendiri
Bukan dengan bantuan dan main-main.

Ayah menurunkan aku dari bahunya
Aku tahu aku telah menoreh luka dihati ayah
Mungkin ayah tak mahu aku bersayap
Kerana pasti dia aku tinggalkan nanti.

Namun kata ayah,
Kita tidak boleh menjadi burung
Kerana kita seorang manusia
Tetapi kita akan bahagia seperti burung
Bebas, terbang dan riang
Apabila kita tahu siapa Pencipta kita.

Hanya dengan mengenali Pencipta
Kita akan bebas
Bebas dari segala bentuk penghambaan
Ketika itu kita akan mendapat sepasang sayap
Untuk kita terbang ke syurga.

Hati Yang Hilang

Hati
Ke manakah kau pergi
Puas aku mencari
Di dalam sujud
Dalam membaca al-Quran
Mahupun dalam tafakur
Semuanya sepi.

Kau pergi tanpa kusedari
Kau hilang tanpa aku mencari
Sehingga aku terkontang-kanting sendiri
Mencari tuhan alam duniawi
Rupanya kau sudah tiada di sisi.

Hati
Akulah yang berdosa
Membiarkan kau penuh noda
Membiarkan engkau lemah tergoda
Dengan segala pujuk dunia
Dan kini akulah manusia
Yang sudah tidak bernyawa.

Hati
Tahukah engkau bahawa saat ini
Aku menangis dan merintih
Agar kau kembali lagi
Tapi takkan mungkin kau kembali
Kerana kau telah mati
Angkara aku pentingkan diri.

Ya Allah
Kurniakanlah aku
Hati yang baru
Agar semangatku berkobar lagi
Mengejar mimpi di alam realiti.

Diubahsuai daripada syair imam al-Ghazali:

"Carilah hatimu dalam tiga keadaan
Carilah hati di dalam sujud.

Jika tidak jumpa, carilah hatimu
Apabila membaca al-Quran.

Jika tidak jumpa, carilah hatimu
Ketika bertafakur sendirian

Jika tidak jumpa juga, maka
Pintalah kepada Allah
Untuk diberikan hati yang baru
Kerana ketika itu, kau sudah tiada hati".

Jangan Hot, Please...

Mawar berduri
pasti melukakan tangan yang sentuh
maka itu mawar hanya enak untuk dipandang
kerana apabila dia terluka dia akan melukai.
  • Perempuan sifatnya sensitif. Apabila penat lelahnya dibalas tembakan dan herdik, maka hati meluat naik ke langit.
  • Kerana itulah muslimat jihadnya di dalam rumah, berbanding muslimin yang jihadnya di lapangan.
Ada mawar, apabila dihina
hatinya bara mulut pun buka
ada juga yang bara tapi malas nak layan
tak tinggal pula yang cuba mendamaikan.
  • Tapi yang mendamaikan itu sedikit sahaja. Marah-marah, lenting-lenting, simpanlah di tepi.
  • Ada pula yang membatu api, menambah hangat di tengah hari. Janganlah begitu, siramlah dengan wuduk dan zikir. Malu diperhati dek orang.
  • Menjadi solehah cabaran duniawi. Calon bidadari di syurga abadi. 
  • Sudah2, jom jadi solehah.
:-) :-D :-P 

Terima Kasih Cuti

  • Terima kasih cuti. Terima kasih. Thank you so much. Muah2.
Terima kasih cuti
Bersamamu aku belajar erti takut
Aku kenal siapa aku dan di mana aku
Aku lihat manusia bukan manusia
Aku selam lautan resah
Aku belajar menjadi hipokrit
Aku tahu erti kasih sayang dan pengorbanan.

Terima kasih cuti
Kau menjadikan aku emas
Padahal hanya besi berkarat
Yang dibuang dan tidak berfungsi.
  • Pertunangan Habsrah. Alhamdulillah, cantik berseri dihias bunga. Menawan hati, si kumbang pujaan. Semoga bahagia ke jinjang pelamin, InsyaAllah, amin.
  • Terasa waktu begitu pantas berlalu. Bagai semalam kita berjejak kasih. Kita akrab bagaikan kembar. Baju tidur, baju raya, kasut, selipar dan semuanya kita gedik mahu yang sama.
  • Apabila bermain, asyiknya berteman, lari berpegangan tangan, jatuh tersungkur kita bangkit bersama. 
Walaupun umur kita sama
Tapi aku tetap dengan gelaran
Di mana saja 'kak ngah' pasti kedengaran
Tidak mengira tua atau muda
Aku adalah kakak kepada semua

Alhamdulillah
Hari ini kita berkumpul lagi
Kita menjadi kanak-kanak lagi
Ibu bapa sanak saudara semua perhati
Tali persaudaraan terjalin suci
Berbahagialah segenap sanubari.
  • Andai saja hati itu aku terima, pasti hari ini kita naik takhta bersama. Tapi maaf, aku tidak sempurna. Doakanlah aku dibuka hati, untuk satu jalinan yang suci murni. InsyaAllah, amin. 
  • Aku pun tak nak la jadi andartu. Nauzubillah, minta dijauhkan. Syuh2. :)

Menunggu Solehah?

  • Perang psiko?
  • Orang selalu kata, kalau kita tolak pinangan orang alim, kita akan ditimpa bencana. Percaya atau tidak, terserah pada pegangan masing2.
  • Tetapi, tidakkah perempuan mempunyai hak memilih. Bak kata orang,
Imam tidak boleh memilih makmum
Tetapi makmum boleh memilih imam. Hehehe..
  • Oleh itu, janganlah terlalu kecilkan skop dalam soal sepenting hidup dan mati. Sebab imam yang kita pilih adalah penentu sama ada ibadah solat kita ketika itu sah atau tidak.
  • Kalau imam pun kita tak percaya boleh baca fatihah dengan betul, takpun kita ragui ilmu yang dipelajarinya, tepuk dada tanyalah selera.
  • Maka itu, ramailah anak mudi yang dituduh terlalu memilih, jual mahal dan sebagainya.
Jual mahal?
Dah tu, takkan nak jual murah pula?
Ok, lelong2, rm5 satu barang?
.....?
  • Kita takkan mampu puaskan hati semua orang. Sedangkan hati kita pun selalu tak terpenuhi. Iye dak?
  • Walau bagaimanapun, tidak dinafikan juga bahawa anak mudi sekarang banyak yang terkena penyakit, penyakit tak nak kahwin.
Bermacam alasan dicipta
Berbagai sebab diberi
Ada yang boleh diterima
Ada juga yang langsung tak boleh telan.

Jiwa perempuan memang tak boleh jangka
Apa lagi kalau dipaksa
Kalau dah memang tiada jodoh
Tidak kiralah sudah berapa kali dipinang
Tetapi jodoh tetap ditolak.

Alasannya...

Sayang seribu kali sayang
Ampun beribu ampun
Sedang diri dididik solehah
Biarlah ilmu dikecapi dahulu
Kerana masa masih panjang
Untuk kesediaan itu dibuka pintu.
  • Allah telah berjanji di dalam kitab suciNya, bahawa perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik juga untuk perempuan yang baik.
  • Jadi, wahai pemuda pemudi, bagaimana jodoh yang anda idamkan, anda juga mestilah seperti itu juga.
  • Menunggu solehah? Hmm.. tak perlu ditunggu, tetapi berusahalah ke arah itu. Ok? Arasso?
  • Jom mulakan dari hari ini. Senyum dan ikhlas. Ngee..
  • Wallahua'lam.

Abang Amy Bhg 2

“Amy! Tunggu Dalili tu sekejap. Dia tengah pakai kasut tu”, arah Mak Cik Fatimah kepada Abang Amy yang sudah melabuhkan punggung di atas basikal. Abang Amy menarik muka.

Aku tahu Abang Amy tidak sukakan aku sejak aku berpindah ke sini. Pada Abang Amy, aku ialah seorang budak yang menyusahkan. Pergi sekolah perlu digendong, beg sekolah minta diangkat dan macam-macam lagi. Siapa yang suka kalau disuruh itu dan ini bukan?

Tetapi Abang Amy seorang anak yang taat. Belum pernah lagi aku lihat Abang Amy melawan arahan Mak Cik Fatimah.

Apabila tiba di sekolah, Abang Amy akan menghantar aku ke depan pintu kelas barulah dia berangkat ke sekolahnya yang terletak bersebelahan dengan sekolahku.

Sebelum ini, Abang Amy hanya turunkan aku di pintu pagar sekolah, tetapi sejak aku dibuli oleh rakan-rakan, Abang Amy mula khuatir akan keselamatanku.

Pernah suatu ketika, Abang Amy lewat ke sekolah kerana hendak berjumpa dengan guru kelasku. Dia mengadu situasi aku yang selalu dibuli. Ditunjukkan bukti yang terdapat pada tubuhku yang biru, kesan bajuku yang diconteng malah ada juga hujung kainku yang digunting.

Alhamdulillah, selepas itu, aku tidak lagi dibuli. Murid-murid yang terlibat diambil tindakan disiplin dan aku ditukarkan kelas ke kelas yang lebih pandai. Nama sahaja kelas pandai, tetapi kerja sekolahku semua Abang Amy yang buat.

“Amy, cuba tengok kerja sekolah Dalili ni, kamu tahu tak jawapannya apa?”

“Ini kena bina ayat berdasarkan gambar”. Kata Abang Amy setelah membaca arahan soalan dalam bulu latihan aku.

“Inikan gambar seorang perempuan sedang memasak, kamu tulis je macam ni, Mak Cik Fatimah sedang memasak cucur”. Kata Abang Amy dengan nada naik turun sambil ekor matanya nakal memerhatikan Mak Cik Fatimah.

“Hai kamu ni Amy, macam tiada nama lain dah nak letak”, Abang Amy hanya membalas kata-kata Mak Cik Fatimah dengan senyuman. Aku pun turut tersenyum melihat telatah dua beranak ini.

“Hah! Apa lagi, tulis la apa yang Abang sebut tadi”, sergah Abang Amy setelah melihat pensel hanya diam dalam tanganku. Aku senyap, lama memandang buku.

“Dalili tak pandai mengeja…”

“Ya Allah, dah masuk tahun empat pun tak pandai mengeja lagi. Kamu belajar apa kat sekolah?” Abang Amy sudah mula membebel.

“Amy, tolonglah Dalili tu tulis. Nanti kena marah pula dengan cikgu kat sekolah”, begitulah Mak Cik Fatimah, selalu aku ditempatkan di tempat yang betul.

Sehinggalah suatu hari, aku dengar Mak Cik Fatimah bercerita kepada ibu dan ayah mengenai kedunguanku. Mengenai kisah aku yang masih tidak pandai mengeja. 

Ayah tidak bercakap banyak, dia duduk lama termenung di depan pintu. Aku cuba menghampiri ayah, aku lihat mata ayah bergenang air mata. Mungkin ayah sedih sebab aku tidak belajar sungguh-sungguh.

“Ayah, akak minta maaf. akak janji, akak akan jadi murid yang pandai”, aku memberanikan diri duduk di sisi ayah. Ayah hanya senyum sedikit. Itu yang buat aku bimbang. Ayah selalunya ceria, bukan macam ini.

“Ayah kecewa dengan akak?”

“Tidak nak. Ayah hanya terfikir, jika ayah meninggal, ayah tidak punya harta untuk akak. Ayah hanya mampu hantar akak ke sekolah. Jika banyak ilmu yang akak dapat, maka banyaklah harta ayah untuk akak kelak”, kata ayah sambil mengusap lembut kepalaku. Aku lihat kolam mata ayah semakin penuh dengan air mata.

“Akak janji ayah, akak akan jadi anak yang paling banyak dapat harta ayah nanti. Masa tu, akak akan berjaya, akak akan balik semula ke pangkuan ayah dan ibu” tanpa aku sedar, ibu memeluk aku dari belakang. Rupanya, ibu juga sedang mendengar perbualan aku dan ayah.

“Mari akak, kita masuk tidur, dah lewat ni. Esok kamu kena pergi sekolah, ayah dan ibu pun kena bekerja” ibu dan ayah mengiringi aku sehingga ke kamar. 

"Esok, akak tinggal dengan Mak Cik Fatimah lagi ya. Jangan nakal-nakal, kesian Mak Cik Fatimah, nak jaga kamu lagi, nak jaga adik-adik kamu lagi. Ok?" 

"Ok bu.." Mereka menemani aku sehinggalah aku lena.

Aku gembira walaupun berasa agak pelik. Ibu dan ayah tidak selalu melayan aku macam ini. Sehinggalah ibu tutup lampu kamarku, aku dengar sedu ibu semakin menjadi-jadi. Aku cuba pura-pura tidur dengan memasang telinga betul-betul. 

“Bang, betul ke kita nak pulangkan Dalili kepada ibu kandungnya”

“Sabarlah yang. Kita buat istikharah dan solat hajat, Allah lebih tahu mana yang lebih baik. Kita rancang, Allah juga ada perancangan, dan perancangan Allah mestilah yang lebih baik”

Patutlah ibu dan ayah lain macam sikit malam ni. Rupa-rupanya ada cerita lain yang menghimpit perasaan mereka. Tetapi, betul ke semua ini?

‘Aku bukan anak kandung ayah dan ibu? Ayah dan ibu bukan ibu bapa kandungku? Siapa aku yang sebenarnya?’ persoalan itu mula menjadi tanda soal dalam hidupku.

…………………………………………………………………………………………
bersambung...

La takhaf

Aku cuba menganggap kau manusia biasa
Tetapi kau terlalu luar biasa.

Aku cuba menganggap semua perasaan ini sebagai mimpi
Rupanya ketakutan yang tiada solusi.

"Fear is the greatest motivation for human"

La takhaf wala tahzan innallaha maana
Allahu maana
Allahu maana
Allahu maana.

Abang Amy

“Alhamdulillah, sampai juga aku ke kampung ini”. Kaki yang berat dek memikul barang dan bagasi, aku gagahkan juga. Sedikit lagi, hanya beberapa langkah sahaja lagi. “Kuat, ayuh mara ke depan. Gagah Dalili, sikit lagi, lagi, lagi!!”

Sedang asyik aku memberi semangat kepada diri sendiri, seorang lelaki dengan pakaian yang compang-camping keluar daripada celah rumah, antara rumah aku dengan rumah Mak Cik Fatimah. Aku seperti kenal lelaki itu. Mukanya tampak begitu merah dengan matanya bulat tersembul.

Aku yang berdiri tepat di tengah jalan seolah-olah tidak kelihatan. Lalu tubuhku dengan kasar dilanggar dia, habis berterabur barang-barangku jatuh menyimbah bumi. Ah, lututku dan sikuku berdarah tercium lantai.

“Spoil betul la mamat ni. Tak tahu halal haram ea, main langgar je kan. Eee, anak siapa la ni?” Hah, meletup juga bom daripada mulut aku. Sekali lagi aku toleh ke arah lelaki compang-camping itu.

Dari jauh aku boleh bayangkan betapa hati lelaki itu sedang api, boleh aku bayangkan betapa banyak asap yang keluar daripada telinganya. Kalaulah dipecahkan sebiji telur di atas kepalanya, konfirm telur itu masak punyalah.

Kalau masak sekalipun, wek! Tak lalu aku nak telan. Rambut yang entah berapa bulan macam tak bersyampu tu. Huh, mintalah disimpangkan 44 malaikat. Pandanganku dialihkan pula ke arah barang-barang yang berselerak di kaki. Satu persatu aku kutip dan sangkut di bahu dan leher, dua tangan lagi sudah penuh dengan bag dan bagasi.

“ibuuu, ooo ibu… akak dah balik ni…” Senyap.

“Aayaahh, ooo ayah… akak dah balik ni…” Senyap lagi.

Isyyh, mana pergi orang rumah aku ni. Selipar tiada, kereta pun tiada. Alahai, tak menjadi surprise la pula aku balik mengejut macam ni. Hmm…

Tiba-tiba terdengar suara anak kecil menangis teresak-esak. Meremang bulu roma aku, badan aku mula la nak sejuk seram ni. Esakan itu semakin kuat, aku cuba mencari di mana punca suara itu.

Tertunduk-tunduk aku berjalan, lagaknya seperti detektif Conan sedang menyiasat kes yang berat. Akhirnya mataku terpaku pada rumah Mak Cik Fatimah. Ya, aku yakin, suara esakan itu datangnya dari rumah Mak Cik Fatimah.

“Allah, Mak Cik, kenapa ni?” Terkejut beruk aku tengok keadaan rumah Mak Cik Fatimah. Kelihatan kipas hancur dihempap di tengah-tengah rumah. Cawan, pinggan dan bekas rokok bersepah-sepah atas lantai.

Aku terus berlari mendapatkan Mak Cik Fatimah. Tubuhnya yang lemah terus aku rangkul. Mak Cik Fatimah seperti ingin menunjukkan sesuatu kepadaku. Tangannya diangkat-tunjuk ke arah sebuah bilik kecil. Perlahan-lahan tubuh Mak Cik Fatimah aku lepaskan.

Aku selak langsir bilik kecil itu. “MasyaAllah”, anak kecil terbaring lesu dengan lumuran darah. Ya Allah, anak itu masih terlalu kecil. Teresak-esak dia menangis dalam lemah. Anak itu aku dukung dengan berhati-hati.

“Mak Cik, apa yang berlaku?” soalan itu seperti tiada jawapan. Biarlah, mungkin Mak Cik Fatimah masih terlalu lesu. Anak kecil dalam lingkungan dua tahun itu, aku bawa ke beranda belakang rumah.

Perlahan-lahan air aku lalukan atas tubuh kecil itu. Melihat tubuh itu dipenuhi bengkak dan biru, aku jadi sebak. Anak ini tidak berdosa. Sesekali anak kecil itu merengek disentuh tempat yang sakit.

Aku gantikan pampers dan bajunya. Kini giliran Mak Cik Fatimah pula, aku bawa Mak Cik Fatimah ke bilik belakang. Air suam aku sapu di muka dan badannya. Sementara membiarkan mereka berehat, aku kemas sedikit demi sedikit rumah yang berselerak itu.

Semua selok-belok rumah Mak Cik Fatimah telah aku hafal sedari kecil. Rumah inilah tempat aku menumpang kasih tatkala ibu dan ayah sibuk mencari duit. Di rumah inilah aku membesar seperti sebuah keluarga tatkala keluargaku sibuk mengejar dunia.

Mak Cik Fatimah seperti ibu dan ayah keduaku, walaupun setiap bulan dia dibayar upah, tetapi Mak Cik Fatimah mengasuh aku bagai menatang minyak yang penuh. Sehingga Abang Amy pun cemburu dengan layanan Mak Cik Fatimah kepadaku.


“Abang Amy?” Baru aku sedar, lelaki yang merempuh aku di tengah jalan tadi sebiji mukanya seperti Abang Amy. Aku mengamati setiap inci keadaan rumah Mak Cik Fatimah. “Mustahil, tak mungkin Abang Amy yang lakukan semua ini”.

.................................................................................................................................

bersambung...

Sembilu & Ilmu

Ada orang makin bertanya
makin banyak yang tak tahu
makin dibaca makin hina rasanya
kerana diri terasa cetek tak berharga.

Ada orang makin gelisah
makin banyak berkata
makin tertekan makin banyak tak betul
kerana diri semakin jauh dari panduan.

Ada juga orang yang diam seribu bahasa
pemerhati setiap tingkah
apabila lawak dia ketawa berdekah
apabila sedih dia sembunyi dalam perut
kerana diam itu sifatnya.

Tapi manusia
tak jauh jika berlari
tidak lama kalau tersungkur
takkan habis kalau tumbang
selagi dia masih ada akal di kepala
selagi dia masih al-Quran didakapnya.

Berkatalah sayangku
berhiburlah temanku
semakin banyak yang kau lepaskan
semakin banyak pula malu yang masuk
kerana Allah masih sayang
kerana Allah masih prihatin
diberikan rasa malu
supaya kita belajar sesuatu.

Andai saja diri kita tak punya tangan
pasti tiada salah yang kita buat
tiada tangan yang gatal menaip komen
kemudian termenung lama malu sendiri
tiada mulut untuk bersuara
hanya rasa bermain dihati
fitnah pun dapat dihindari
maruah pula mekar terpelihara.

Tapi manusia
selalu mengidamkan kesempurnaan
maka mudahlah dosa dilakukan
dalam sedar mahupun dalam diam
dosa terus mengalir dalam diri
hati makin gelap terus terpadam
terus sirna dari kebenaran.

Ya Allah
peliharalah kami dengan akhlak mulia
dengan cacat segi dunia
biar kami tidak dilihat
sehingga kami tidak melihat
kerana hanya wajahMu yang kami dambakan.

Innasolati wanusuki
wamahyaya wamamati
lillahirobbil alamin
Sesungguhnya solatku, ibadahku
hidupku dan matiku
hanya untuk Allah
InsyaAllah, amin...

Kembali ke Nasut

Angin bayu bertiup lembut. Daun-daun kering dibawa terbang meliuk-liuk, bersama debu pasir yang menari dan akhirnya semua jatuh mencium bumi. Dia melukiskan garisan senyum di raut wajahnya. 

            Dia membiarkan saja tudung kepalanya berombak-ombak dipukul angin. Hampir satu jam Raihan diam di situ, menikmati suasana kampung nelayan.

Bot-bot kelihatan tersusun kemas dengan ikatan tali di tunggul kayu. Jeti kayu kelihatan unik dengan susunan kayu yang jarak-jarak, di bawahnya terlihat air sungai mengalir sopan. Lantas dia teringat janji Allah kepada orang yang beriman,

“Dan golongan kanan, alangkah mulianya golongan kanan itu. Mereka berada di antara pohon bidara yang tidak berduri, dan pohon pisang yang bersusun-susun buahnya. Dan naungan yang terbentang luas dan air yang mengalir terus-menerus”. (Al-Waqiah: 27-31)

Sebutir manik jatuh dari birai matanya. Dari jauh, kelihatan anak kecil menyambut kepulangan si ayah dari jeti. Si ayah kelihatan begitu gembira melihat si anak melompat-lompat sambil bertepuk tangan. 

Tiba-tiba Raihan berasa sakit yang dalam, jauh sehingga ke pangkal hatinya. Dia memegang sebahagian bajunya di dada. Ya, dia berasa sakit di sini. Teramat sakit. Pandangannya menjadi hitam. Dunianya kelihatan berpusing. Kaki Raihan menjadi pening dan lemah sehingga merebahkan dia di sisi jalan.

Raihan, Raihan… Dia kenal suara itu, sangat kenal. Terasa tangannya digoyang-goyangkan. Namun, tubuhnya masih kaku terbaring. Suasana hening seketika. 

Di mana semua orang? Kenapa ada bunyi mesin di tepi katilnya. Tik… tik… tik… Ya, bunyi air menitik di dalam satu beg plastik. Dia jadi semakin penat mentafsirkan semua yang ada di sekelilingnya. 

Raihan.. Raihan... Namanya diseru lagi. Tangannya digenggam erat. Dia cuba menggerakkan jarinya untuk menyambut genggaman itu. Namun, jemarinya seperti tidak mahu bergerak. 

Dia menarik nafas dalam-dalam dan cuba menggerakkannya sekali lagi. Tiba-tiba, datang satu puting beliung yang besar, dia seperti ditarik masuk ke dalam  putaran itu. 

Seingat Raihan, putaran inilah juga yang menariknya ke kampung nelayan sebentar tadi. Si ayah dan si anak yang melompat-lompat. Ya, itulah yang dia lihat. Kali ini, ke mana pula putaran ini akan membawanya pergi.


Cinta Kerek Bhg. 3

Apa dah jadi dengan aku? Semua benda yang aku buat serba tak betul. Kak Yong, tolong aku kak Yong. Biasanya kak Yonglah tempat aku mengadu. Dia juga seorang penyelesai masalah yang sangat hebat. Aku betul-betul nak jumpa kak Yong.

Hari tu aku ambil cuti tiga hari, semata-mata nak balik jumpa kak Yong. Tapi, bila aku sampai di rumah sewa kak Yong, kak Yong tak ada. Dia sibuk kut dengan dunia praktikum dia.

Aku mesej kak Yong, bagitahu yang aku dah sampai rumah dia. Dia terkejut, dia macam syaki ada sesuatu yang tak kena.

Kak Yong tanya, aku ada apa-apa masalah ke? Aku diam. Aku pun tak tahu apa masalah aku, macam mana la aku nak terangkan pada kak Yong. Aku pun buat-buat happy je depan kak Yong. Buat-buat muka takda masalah. Aku cuma kata sebab aku rindu kak Yong, tu la pasal aku datang.

Malam tu kami keluar makan bersama, aku masih diam seribu bahasa. Aku tak tahu nak buka cerita macam mana. Apabila balik semula ke rumah, kak Yong dah sibuk buat persediaan untuk praktikum esok.

Aku tak sampai hati nak kacau kak Yong. Aku pun masuk tidur awal. Tapi serius, aku langsung tak boleh tidur. Sehinggalah, kak Yong masuk bilik. Aku jeling jam dinding, dah pukul tiga pagi. Kak Yong rebahkan badannya di sisiku.

Aku rindu nak suruh kak Yong peluk aku, macam yang arwah ibu buat dulu. Tapi aku tak sampai hati. Aku tahu, kak Yong mesti tengah letih sangat, biarlah dia rehat.

Keesokannya aku minta diri, aku kata aku kena balik awal, esok aku masuk kerja semula. Aku tipu. Aku tak nak susahkan kak Yong, dia sedang berjihad dengan ilmu yang dia minati. Teringat pula masa zaman sekolah dulu, aku satu dorm dengan kak Yong, tapi kami jarang bertemu.

Kak Yong banyak menghabiskan masanya di surau. Dia selalu mengkhatamkan Quran di sudut belakang surau. Kak Yong berusaha gigih, dia kata, itu sahaja tawasul yang dia ada, mudah-mudahan dengan tawasul al-Quran ini akan membawa dia ke alam universiti nanti.

Aku singgah pula di maahad Sofi. Pandang wajah Sofi je, hati aku jadi tenang sikit. Wajah suci budak tahfiz Quran kan. Macam biasa, setiap kali jumpa Sofi, aku mesti bawa dia pergi pantai.

Tiba-tiba, Sofi membaringkan kepalanya di atas ribaku. Dengan spontan tangan aku membelai rambutnya. Dialah satu-satunya adik aku yang paling kesian. Sofi tak pernah dapat rasa belai kasih ibu, apalagi kasih seorang ayah. Mereka pergi terlalu awal.

Kak Jue, saya rasa saya dah jatuh cinta. Hampir terkejut aku dengar perkhabarannya. Aku hanya senyum memanjang. Adik aku ni dah besar rupanya, cepatnya masa berlalu.

Kenapa Sofi rasa macam tu? Aku cuba mengorek cerita. Sofi selalu teringatkan perempuan yang Sofi suka. Padahal baru sekali Sofi jumpa dia. Sofi jadi serba tak betul, apa yang Sofi buat semua tak kena.

Adik, itulah juga yang kak Jue rasa. Tapi kak Jue tak tahu pula itu namanya cinta, bisik hatiku. Mamat kerek tu baru sekali senyum kat aku, tapi aku dah jadi serba tak kena. Ya, betullah aku jatuh cinta dengan mamat kerek tu. Terima kasih Sofi, tanpa sedar dia telah memberi jawapan kepada masalah aku.

Kak Jue, apa yang patut Sofi buat? Aku senyum. Sofi buatlah solat istikarah. Tapi kalau Sofi dah betul-betul yakin orang tu jodoh Sofi, Sofi buatlah solat hajat. Takpe, insyaAllah, kak Jue doakan yang terbaik untuk Sofi.

Kak Jue, rasa-rasa kak Yong marah tak kalau Sofi bagitahu perkara ni. Hmm, tak pastila Sofi, tapi kak Yong mungkin akan sedikit kecewa kut... Kenapa?

Tiba-tiba aku teringat suatu masa dulu, kak Yong pernah pesan, janganlah kita mengejar cinta manusia kerana manusia akan mati, tapi tetapkanlah cinta itu kepada cinta yang abadi, biarpun cinta itu kerek sebab kita tak nampak dan tegas, tapi ia wujud dan hakiki. Itulah sebenarnya yang dikatakan cinta. Aku jadi binggung macam mana nak terangkan pada Sofi. Ok, aku cuba.

Sofi, cuba tengok kat sana, ada apa? Sofi pun menoleh ke arah yang aku maksudkan. Ada bunga. Ya, ada bunga, sahutku sambil menganggukkan kepala. Agak-agak, berapa lama jangka hidup bunga tu? Hmm.. mungkin sebulan hingga lima bulan, bergantung kepada cara kita menjaganya.

Kesimpulannya, jangka hidup bunga tak lama kan. Sofi menganggukkan kepala. Begitulah cinta, jika kita cinta kepada bunga, bunga akan layu. Jika kita cintakan manusia, manusia akan mati...

Jadi, macam mana? Soal Sofi, wajahnya sedikit berubah daripada tadi.

Dari mana kita datang, ke situlah juga kita akan kembali. Bagaimana cinta dicipta, begitulah juga cinta akan dipulangkan. Dari Allah, cinta itu lahir, maka kepada Dia jualah seharusnya cinta diserahkan. Sofi faham ke?

Jadi, apabila kita jatuh cinta, kita perlu serahkan semula cinta itu kepada Allah. Yup, betul. Pandainya adik kak Jue. Laju tanganku memicit pipi Sofi. Kalau dulu, sedap la juga picit pipi dia sebab terlalu tembam, tapi sekarang tak ada isi dah. Adik aku dah makin kurus, dah makin handsome rupanya.

Cinta Kerek Bhg. 2

Awak kenal Sofiatul Islam tak? Walkie talkie di atas mejaku bersuara.

Macam pernah dengar, tu kan nama facebook kak Yong. Tapi macam mana mamat psiko ni tahu. Diam, jangan layan, getus hatiku.

Kalau Saifullah Abdi, kenal tak? Walkie talkie tu bersuara lagi.

Mestilah kenal. Semua tu nama facebook adik-beradik aku. Apa hal mamat ni, tanya-tanya kenal tak itu ini. Dia ni siasat latar belakang aku ke. Rimas la. Selamba-selamba je dia guna walkie talkie sekuriti untuk sembang perkara di luar bidang kerja. Itulah manusia sekarang, apabila diberi amanah, digunakan untuk kepentingan sendiri.

Kak Ani pula tak datang kerja hari ni. Lebih baik aku lari, tak pasal-pasal nanti kau, aku psiko. Nak psiko aku sangat kan. Terus aku keluar dari pondok, buat-buat jalan pergi tandas.

Tunggu, tunggu. Awak, saya tak habis cakap lagi ni. Tergesa-gesa Epul keluar dari pondok yang letaknya berhadapan dengan pondok aku. Satu kilang ni dah heboh yang aku ada skandal dengan Si Epul.

Panjang-panjang istigfar aku baca, biar sejuk sikit hati ni. Kenapalah susah sangat untuk aku hidup bahagia. Sepanjang sebulan aku kerja kat sini, sepanjang itulah juga ada masalah. Hari-hari ada masalah baru. Dan masalah semalamlah yang paling teruk. Sampai nak jadi kes tumbuk-menumbuk. Mengingatkan balik peristiwa semalam, aku hanya mampu geleng kepala.

Woi! apa korang buat ni ha? Siap pakai walkie talkie lagi. Jerkah Abang Roy dari jauh. Matanya seperti sedang menahan marah. Air mukanya berubah serta merta. Berbeza sekali dengan wajahnya ketika mengajak aku keluar makan malam semalam.

Dia masih marah sebab tolakan aku tu ke. Tak pasal-pasal pula hari ni nampak aku main walkie talkie dengan Epul.

Owh, Julia kata Julia bukan jenis yang senang-senang nak keluar dengan lelaki. Tapi main-main walkie talkie dengan Si Epul ni tak salah la pula. Sindir abang Roy dengan nada yang tinggi, macam betul-betul tak puas hati.

Sah, abang Roy salah faham. Bukan aku yang main walkie talkie ni. Si Epul seorang je yang cakap guna walkie talkie ni. Aku sepatah haram pun tak balas. Tapi, kenapa la susah sangat aku nak jelaskan. Cakap je, bukan susahpun.

Tapi kalau dah kena sergah macam ni, memang aku hilang kata-kata. Setegas-tegas kak Yong dalam mendidik aku selama ni, tak pernah lagi kak Yong tinggikan suara.

Si Epul ni pula tak diam, lagi panas la abang Roy dibuatnya. Bibit-bibit pertengkaran pun bermula, dan aku tak mampu nak buat apa-apa. Nasib baik ada supervisor lalu, kalau tak, tak tahulah macam mana. Silap-silap nanti jadi kes polis pula.

Desiran angin yang berhembus memukul halus pipiku, mengejutkan aku ke alam nyata. Aku teruskan langkah menuju ke tandas. Buat-buat pekak tak dengar yang Epul panggil. Selepas tu aku pergi surau, buat solat dhuha, mudah-mudahan Allah bukakan jalan untuk aku lepas daripada segala fitnah dunia.

Suraunya kelihatan sunyi. Bukan sebab sekarang waktu dhuha, waktu-waktu solat wajib yang lain juga begitu. Patutlah kak Yong selalu kata, antara tempat yang wajar kita sampaikan dakwah, adalah kilang. Betul. Mudah-mudahan aku takkan terikut-ikut budaya kat sini.

Semasa keluar dari surau, aku terserempak dengan mamat kerek depan bilik mesyuarat. Sampai sekarang aku masih tak tahu siapa nama dia. Dia pun tak pernah nak tegur aku.

Tiba-tiba, dia lemparkan senyum nipis kat aku. Dari jauh aku nampak lesung pipitnya. Manis.

Cinta Kerek

Kak Yong. Tiba-tiba nama tu terpancul dari mulutku. Rasa macam teringin nak dengar suara dia. Tapi kredit pula takda. Jauh aku termenung dalam pondok sekuriti. Sehinggalah siren pagar tiba-tiba menjerit bingit.

Hah, mamat tu puncanya. Segera aku tahan dia daripada masuk ke kilang. Encik, encik, eh, kamu, kamu, henti kejap. Sakit mental aku nak panggil dia ni apa. Nak panggil encik, macam umur sebaya kak Yong je, nak sebut abang, geli haih.

Dia pun cegat berdiri kat tengah jalan. Kenapa? Sepatah je kata-kata yang keluar. Daripada gaya dia bercakap, amboi, kereknya mamat ni. Macam bajet hebat sangat.

Awak pakai tali pinggang berlogam kan. Peraturan di sini, tak boleh pakai tali pinggang atau apa-apa barang yang berlogam. Bahaya, sebab kerja di sini melibatkan mesin. Lain kali sebelum masuk kilang, mesti cabut tali pinggang tu dulu.

Dia mengerutkan dahi. Tak payah nak kerut dahi sangat, kau kan dah lama kerja kat sini, mestilah kau tahu peraturan kilang. Aku yang baru masuk kerja seminggu pun boleh tahu. Kata aku dalam hati.

Takkan nak cabut tali pinggang kut. Saya kan lelaki, awak tu perempuan.

Apa maksud dia? Kini, giliran aku pula mengerut dahi. Diam. Tak tahu nak jawab macam mana. Lantai jalan tu jadi perhatian aku sekejap. Terasa hangat pula kat pipi. Memang sah, dia ni mamat kerek, pandai pula dia tembak balik. Aku angkat kepala perlahan-lahan sehingga mata aku dapat tengok dia sejelas-jelasnya.

Aku hanya menganggukkan kepala dan dia pun terus berlalu. Macam orang bodoh pula aku tercegat kat situ. Ok, takpe, ada lori ada bas, ada hari boleh balas.

Aku pun kembali ke pondok. Tulis laporan hari ini. Siap menulis, pen aku simpan di tepi. Menunggu masa berlalu, aduh masa, tolonglah berlalu dengan cepat, aku dah tak tahan bosan duduk kat sini. Aku pun mencapai telefon bimbit yang dihadiahkan oleh kak Yong. Aplikasi Quran word aku buka dan baca buat menghabiskan masa.

Krrrriiiinggg. Loceng berbunyi menandakan waktu rehat tengah hari. Dari jauh aku nampak kelibat mamat kerek pagi tadi. Dia nak makan tengah hari kat luar kut. Aku pun menyiku rakan sekerjaku. Kak Ani, siapa laki tu?

Owh, budak tu, akak pun tak tahu nama dia. Rasanya dia engineer kat sini. Dia tu baru habis belajar. Lepas tu terus kerja kat sini.

Engineer? Mudanya, bape umur dia Kak Ani?

22 tahun kut.

22 tahun? Kan aku dah agak, dia memang sebaya dengan kak Yong. Tahun monyet.

Dangerous

Bahaya lelaki,
jika kita mesej
dia ingat kita suka

jika kita tanya
dia ingat kita tengah takle dia

jika kita diam
dia kata kita lembap

Jika kita buat tak tahu
dia kata kita sombong

Lelaki selalu mentafsirkan setiap tingkah
baik buruk perempuan terhadapnya
menggunakan tafsiran kelakian.

Sedang perempuan
jiwanya terang lagi bersuluh

jika dia tanya, bererti dia tengah binggung
jika dia diam, bererti dia malu
jika dia buat tak tahu, bererti dia tak nak terlibat.

Berhati-hatilah
ketika berurusan dengan lelaki
kerana mereka mudah salah tafsir
dengan kesilapan yang kita lakukan.

Hiduplah dengan tenang tanpa kontroversi
jadilah wanita berilmu
supaya kita tidak terlalu bergantung
tanya itu tanya ini
tapi masalah tetap bertambah.

Bunga Diri

Alangkah tenangnya
hidup sebagai rumput 
hidup sebagai burung...

Apa yang dilakukan
tak pernah dia runsing
apa yang dia makan tak pernah risau.

Hidup sebagai manusia
dugaan yang besar
perjalanannya penuh pancaroba
melawan makhluk dalam diri.

Bila suka lupa diri
bertindak di luar kawalan
otak ditepikan.

Azam di hati
takkan mampu menjaga diri
sedang fikiran sering dikuasai
maka hindarilah suka
agar diri tidak terlupa
maruah terbela
fitnah tak berleluasa.

Ajnabi antara faktor
tingkah tak terjaga
gurau senda jadi biasa
akhirnya sesal dan binasa.

Jagalah diri berakhlak mulia
sunnah nabi jadi tradisi
pelihara hati, jaga akal
suburkan bunga dalam diri.

*Ikut hati, mati
ikut rasa binasa
dampingkanlah diri
dengan al-Quran dan sunnah.

*Banyak cakap mati akal
banyak ketawa mati hati
banyak bergurau hilang thiqah.

Taqabballahuminna waminkun...