RSS

Bhg 2 : Budak Champa

Angin bayu meniup lembut ubun-ubun rambut baba Sofi. Matahari kelihatan berat meninggalkan benua, menyebabkan suasana menjadi senja, sesenja menungan baba Sofi. Hatinya masih mahu diam di situ, biar dia tenggelam bersama matahari, membawa rindu durjanya. Sukar sekali untuk dia menepis rasa yang kian mencicip itu. Semakin dikenang semakin ngilu hatinya, bagai dihiris-hiris pisau wali.

"Allahuakhbar, allahuakhbar!" kedengaran azan maghrib membelah sepi. Orang ramai berpusu-pusu menuju ke masjid. Begitu juga baba Sofi. Air paip dia buka, apabila air sampai di muka, dia berdoa semoga Allah membersihkan wajahnya sebagaimana wajah para aulia' dan tidak mengkelamkan wajahnya sebagaimana wajah kafir musyrik. Apabila dia meratakan air di tangan, dia berdoa lagi 'ya Allah, Engkau berikanlah kitab amalku daripada tangan kanan, janganlah Kau berikan kitab amalku dari tangan kiri dan belakang'. Begitulah seterusnya, setiap basuhan wuduknya ada iringan doa yang berlagu dalam hati.

Selesai menunaikan solat, jiwanya sedikit tenang. Dia tadahkan tangan, bermunajat sepenuh hati semoga orang-orang yang dirinduinya sentiasa berada di bawah naungan rahmat Allah, dan mudah-mudahan mereka akan bersama-sama dimasukkan ke dalam naungan arasy Allah pada hari kiamat kelak. Amin.

Apabila baba Sofi berjalan keluar dari masjid, kelihatan orang ramai berlari lintang pukang. Baba Sofi memandang jauh ke arah yang menyebabkan mereka lari, hairan, nalurinya membisikkan bahawa ada sesuatu yang kurang enak. Rasa itu memanggilnya untuk menyelinap ke belakang pokok kelapa, dan intai perihal apa yang sedang bergelora. Retina matanya dibesarkecilkan untuk teropong sejelas mungkin suasana yang berlaku. Belum pun lama di situ, terasa belakang bahunya disentuh oleh senapang. Tubuhnya jadi keras serta merta. Peluh memercik laju, berderai membasahi baju.

"Jangan bergerak, ikut kami". Dia dibawa menaiki sebuah trak askar. Cingagah dia sendirian, mencari sebab kenapa dia ditahan. Hendak dikatakan dia mencuri barang dagangan orang, dia tidak berbuat. Hendak dikatakan barang-barang yang dibawanya beracun, tidak pula, sebab semua rempah ratus yang dia bawa adalah hasil tangan keluarganya sendiri sejak turun temurun, mustahil ada racun. Kalau dia melawan, takut pula nyawa dia yang melayang. Kebingunggannya bertambah apabila melihat tahanan-tahanan yang lain tidak melawan, seolah-olah merelakan sahaja.

"Kenapa kita dibawa ke rumah askar?"

"Sungguh kamu tidak tahu?" Sofi hanya menggeleng, seperti anak kecil pinta penjelasan. Masakan dia arif berkenaan daerah ini walhal dia baru sahaja tiba bersama barang dagangannya.

"Sekarang sedang berlaku perang saudara antara Panglima Lon Nol dengan Raja Sihanouk. Lon Nol ingin merebut tahkta Raja Sihanouk dengan bantuan tentera Amerika. Raja Sihanouk kekurangan tenaga tentera untuk mempertahankan kuasanya. Oleh itu, orang lelaki di setiap kampung dipungut untuk menjalani latihan pendek ketenteraaan sebelum bertembung dengan tentera Lon Nol". Terang seorang tahanan kepada Sofi seolah-olah lega kerana dirinya terpilih untuk menjalani latihan itu.

Tahanan-tahanan yang lain merelakan diri mereka ditahan kerana mereka sudah tidak tahan mendengar berita orang kampungnya dibunuh secara gerila seorang demi seorang dari hari ke hari. Fikirnya, suatu masa nanti pasti akan tiba giliran mereka pula. Daripada mereka mati dibunuh dengan tragis, ada baiknya juga mereka mati sebagai pejuang tanah air.

Bhg 1 : Budak Champa

Seawal subuh ibu Hashimah kejutkan Ahmad Sufian. Tak pernah pernah lagi ibu Hashimah kejutkan dia pagi buta macam ni.

"Cepat bangun nak, pergi mandi. Hari ni kan hari pertama nak masuk sekolah".

Oh, hampir terlupa pula. Hari ini bakal tercatat sejarah Ahmad Sufian menjejakkan kaki di sekolah. Pantas dia bangun. Selimut dan toto dilipat kemudian dia simpan di tepi bakul baju. Air telaga  dia siram dan sejuk subuh mula menggigit tubuh kecilnya. Sedang asyik bersiram, laungan azan berkumandang dari surau yang duduknya selang dua rumah dari rumah mereka.

Ketika iqamat kedengaran, Ahmad Sufian sudah pun berjalan menuju ke surau. Kata Baba Sofi, Ahmad Sufian belum pandai sembahyang dengan sempurna. Jadi kalau hendak sembahyang, pergilah ke surau. Boleh ikut imam, kalau bacaannya salah, ada tok imam yang menampung. Malah sembahyang berjemaah ini bonusnya dapat 27 pahala berbanding sembahyang sendiri. Sembahyang sendiri rugi dan sangat rugi kata Baba Sofi. Usai solat, Ahmad Sufian pulang ke rumah bersiap-siap sarung pakaian sekolah. 

Tepat jam 7.30 pagi Ahmad Sufian dan ibu Hashimah sudah terpacak di depan sekolah. Dengan ramah ibu Hashimah menyapa dan salam seorang guru perempuan. Tinggi dan cantik. Detik-detik ilmu pun bermula. Ahmad Sufian diajar mengeja A, B, C. A - AYAM, B - BOLA, C - CAWAN. Pembelajaran diselangi dengan rehat dan tukar guru yang lain.

Pada sebelah petang pula, Ahmad Sufian seperti biasa akan pergi ke rumah Pak Usu untuk belajar mengaji. Nama sahaja belajar mengaji, tetapi biasanya Pak Usu akan bagi lebih. Segarang-garang Pak Usu itupun, tetap dia mahaguru Ahmad Sufian. Kata Pak Usu, mana-mana anak lelaki, mestilah menguasai al-Quran sedari kecil. Sebab itu Pak Usu akan selalu rotan anak muridnya jika mereka sukar menghafal al-Quran.

"Pian, jom mandi sungai nak petang ni?"

"Tak naklah. Aku nak balik cepat ni. Minta maaf ya". Cepat dan besar-besar langkah kaki dia atur. Terasa perutnya kian senak beriramakan lapar. Sesampai di rumah, Ahmad Sufian berlari ke dapur. Dikerlingnya setiap pelusuk dapur manatahu ada makanan yang tersembunyi. Tetapi kecewa, tiada langsung makanan yang sudah siap melainkan bahan mentah untuk dimasak sahaja.

'Ibu tak sempat masak kut. Sehingga waktu ini pun ibu belum balik, mesti ibu belum makan juga. Aku yang hanya belajar sahaja pun lapar sebegini, apalagi ibu yang membelah hutan sedari pagi' bisik hati Ahmad Sufian, entah kepada siapa dia luahkan. Anak tangga belakang dapur dituruni perlahan bersama pisau di tangan.

'Emm, nak petik sayur apa ya? Ah, kangkung sajalah'. Sambil berselawat Ahmad Sufian memotong satu persatu sayur kangkung di kebun ibu Hashimah. Walhal dia pun tidak tahu kenapa dia berselawat ke atas nabi. Tetapi dia pernah melihat ibu Hashimah berselawat ketika menanam apa-apa pokok.

"Ibu baca apa tu?"

"Inilah selawat ke atas Rasul junjungan"

"Kenapa perlu berselawat bu"

"Sebab kita umat baginda. Dengan berselawat, kita bersyukur kerana terpilih menjadi umat baginda. Bahkan Nabi Musa a.s juga memohon untuk menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w"

"Walaupun ketika menanam pokok ya bu?"

"Oh, ini adalah petua nenek moyang kita, kalau menanam mesti dengan selawat dan niatkan dalam hati supaya tanaman kita ini akan bermanfaat kepada orang lain. Bila niat tujuan kita bukan sekadar mementingkan diri, insya-Allah, pokok yang kita tanam akan subur dan berbuah dengan banyak"

Semua tanaman ibu Hashimah memang segar. Terliur Ahmad Sufian membayangkan kangkung yang berada dalam genggamannya siap dimasak. Besen di bawah sinki dia ambil dan masukkan air sehingga penuh. Kangkung yang dipetik tadi dia masukkan dan gerakkan ke kiri dan ke kanan dengan laju tetapi lembut. Sebab kata ibu Hashimah, sayur-sayur yang nipis halus tak perlu dibasuh satu persatu di sinki. Satunya lambat, dua membazir air. Berjimat cermat itukan sunnah Nabi. Dan yang ketiga, belum tentu yang basuh satu persatu itu bersih. Bikin sayur hancur adalah.

Bawang merah dan putih Ahmad Sufian kupas, basuh dan tumbuk dalam lesung sebelum dimasukkan ke dalam didihan air. Campak ikan bilis, gula, garam dan sedikit lada hitam. Lada hitam sangat bagus untuk membuang angin dalam badan. Akhir sekali masukkan kangkung yang telah dipotong kecil-kecil. Ah, laparnya.

'Sementara menunggu nasi masak, ada baiknya juga aku panggil ibu menjamu sekali' getus hatinya.

Sedang-sedang Ahmad Sufian menuruni anak tangga, ibu Hashimah sudah terpacak di depan rumah bersama kayu-kayu untuk dibuat arang. "Ibu, jom makan". Dalam kelelahan, ibu Hashimah hanya mampu melemparkan senyum.

Di Manakah Mereka

Zaman berzaman
kini saat itu berulang lagi
kisah para sahabat bersama nabi
bermula Islam dengan penindasan
Sumaiyyah, Bilal, Yassier 
bahkan saat tergadainya umat Islam yang lain.

Mereka dihumban ke dalam api marak
dikelar besi panas, dihempap batu malah disidai terik sang suria
itu mereka
ada Saidina Umar al-Khattab bersama: yang bangkit mempedang
ada Saidina Abu Bakar yang siddiq
Saidina Uthman yang jutawan
dan Saidina Ali yang zuhud
malah bersama mereka ada Khalid bin al-walid si panglima perang tergempar
ada mereka-mereka yang kuat pergantungan kepada Allah
sehingga empayar Islam terbina
2/3 dunia mereka tawan ya Allah
tiada lagi tertinggi ketika itu melainkan Islam.

Dan kini, detik-detik getir itu mula menghantui
umat Islam dikelar hidup-hidup bagai binatang lagaknya
malah lebih hina daripada itu
kami ditertak hancur nyawa-nyawa
dibakar, diseksa ya Allah.
hari-hari dalam hidup kami hanya tangis dan rayu
hanya rintih dan sayu
kami ternanti juga di mana Umar al-Khattab 
untuk bangkit menggerunkan jundul al-Dajjal
di mana Saidina Uthman pada abad ini
Saidina Abu Bakar dan para sahabat yang lain.

Bukan Masanya

Ini bukan masanya untuk kita bermasam muka
bukan masanya untuk kita nak taching-taching
tak bertegur sapa
lari dari bertembung
rasa marah, geram dan benci
hanya kerana berang semalam.

Ini bukan masanya untuk melepas tangan:
takpe, orang lain masih ada untuk selesaikan kerja-kerja ni
bukan masanya untuk goyang kaki
bersantai-santai di kaki lima
rasa malas, culas
boring pun ada
kerana dalam fikiran, masa masih panjang.

Ini bukan masanya untuk kita berangan tinggi
setinggi bintang-bintang di langit
sedangkan hati-hati kita tidak serendah mutiara di dasar lautan
rasa nak marah, marah
rasa nak merajuk, lari
rasa malu, sembunyi.

Ini bukan masanya sahabat-sahabat
bukan masanya untuk kita pentingkan diri sendiri
sedangkan perahu yang kita naiki sudah hampir tenggelam
padahal dayung ada di tangan kita.

Ayuh, lupakan persengketaan
tumpukan pada ummah
inilah masanya
untuk kita bertindak.