RSS

Esok Adalah Rindu

Derap kaki melangkah
menyusur hari dalam suka
mendengar tawamu, asyik berjenaka
hari-hari yang dilalui
indah mentari, wajah kita.

Aku susuri pohon cemara
redup disepoi angin bahasa
di sinilah dahulunya kita berkejaran
duduk berkongsi suka dan duka
tenang, lena dibuai kenangan.

Dedaun gugur ditiup angin
merenjiskan embun cecah ke bumi
suaranya membisik naluri
berpijaklah di bumi nyata
dahulu, kini dan esok tidakkan sama.

Hukum bertemu pasti berpisah
begitulah perjalanan kita
pasti tercapah juga
seperti ranting bercabang-cabang
yang tetap menumbuhkan buah yang sama
kerana kita asalnya pokok yang satu.

Biarlah Dia Pulang

Di balik mendung awan
dia sepi tak bersebab
dia keliru tak berjawab
dia juga tidak tahu kenapa dia begitu.

Di balik sinar mentari
dia termenung lagi
mencari nilai diri
antara hidup dan mati, dia perlu berani
perlu tegak berdiri, demi sekeping cinta Ilahi.

Dalam gelodak arus kehidupan
orang ramai lalu-lalang
dia sepi dalam ramai
dia ramai dalam sepi
rasanya dia tuli
dia buta
dia bisu
dialah insan yang cacat dunia
dialah insan yang kuno nan jumud.

Tatkala hujan menyimbah
dia tersadai di tengahan
biar demam, biar panas
dia tadah menganyam gelora
gila membawa diri
asal pergi tiada sesal
asal pergi, dia tak rugi
kerana di sini bukan dunianya
di sini bukan tempatnya
biarlah dia pulang.

Bhg 3 : Budak Champa

"Pang!" berderai pinggan kaca di tangan ibu Hashimah jatuh mencium lantai. Ibu Hashimah terkejut, rasanya tadi dia sudah pegang sekemas mungkin, absurd sekali boleh terjatuh. Hatinya risau tiba-tiba memikirkan baba Sofi di perantauan.

"Ibu tidak apa-apa?" tanya Ahmad Sufian setelah lama melihat ibu Hashimah seperti hilang diri. Dia pantas bangun mendapatkan penyapu dan membersihkan serpihan kaca yang berselerakan.

Entah kenapa, malam itu terasa sunyi sekali, cengkerik seakan-akan tidak mahu bernyanyi. Bulan yang mengambang juga kelihatan kelam ditutupi awan malam. Ah, perasaan aneh kian meyelubungi jiwa ibu Hashimah. Pantas dia bangun meninggalkan beranda rumah untuk mengambil wuduk. Khusyuk ibu Hashimah berdoa dalam setiap abetnya, doa yang diajar oleh baba Sofi suatu ketika dahulu.

Musyaf Al-Quran diambil ibu Hashimah. Lalu muka surat 440 jadi renungan. Kata baba Sofi, surah yaasin merupakan jantung al-Quran. Justeru, banyaklah kelebihan kepada sesiapa yang membacanya, antaranya, hajatnya akan sampai, orang yang lapar akan menjadi kenyang, orang yang dalam keresahan akan kembali tenang dan banyak lagi.

Habis dibaca, diulang dan diulang sehingga genap 40 kali khatam surah yaasin. Mata ibu Hashimah sedikit pun tidak mahu pejam. Hatinya masih setia mendoakan keselamatan baba Sofi. Dikerling jam dinding yang berdetik memenuhi ruang rumah yang sepi, ah! pukul 4 pagi sudahnya. Ibu Hashimah bangkit menyimpan mushaf al-Quran ditempatnya dan bersiap untuk tidur. Mata yang degil dilembutkan dengan selawat tafrijiyah sehingga ibu Hashimah sendiri tidak sedar sejak bila dia lena di tiduran.

Hari Jadi Ibu

Saya berhenti sekejap untuk meneruskan cerita 'Budak Champa' yang cuba diadaptasikan dari sebuah kisah yang benar. Kerana apa? Sebab hari ini saya terasa ingin menulis sempena menghargai hari ulang tahun kelahiran ibu saya (1 Februari). Hehe.

Seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak, tetapi sepuluh orang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu. Masih terngiang-ngiang tangisan bayi dalam pelukan ibu. Sabar ibu mendodoikan ke kiri dan kanan. Pada ibu, anak yang menangis pasti ada sebab, mungkin mahu ditukar lampin, atau barangkali perutnya sudah lapar. Diperiksa ibu punggung si anak, bersih. Tahulah ibu, tangis si anak minta disuap. Bergegas ibu memeriksa dapur, mencari apa yang boleh diberi makan si anak.

Kosong. Tiada barang makanan yang ditemui. Mahu disusukan, si ibu kekurangan zat badan sehingga setitis pun tiada yang keluar. 'Kasihan anakku' getus si ibu dalam hati, walhal dirinya juga kelaparan. Tangis anak semakin kuat, semakin laju jugalah tangan ibu mendodoi. Akalnya ligat mencari jalan, ternampak bekas gula di balik pinggan.

'Kasihan anakku, hanya menghisap air gula'. Si anak ditepuk-tepuk perlahan sehingga terlelap. Wajah si anak dipandang ibu lama-lama, dan wajah itu jugalah yang ibu pandang saat ini, cuma bezanya si anak yang didodoinya suatu ketika dahulu sudah punya tangan yang panjang bahkan lebih panjang dari tangannya sendiri, telinga si anak juga lebih besar tiga kali dari dulu. Mata, hidung, kening... 'Subhanallah, anakku sudah besar remaja'.

"Ibu, ibu sabar dulu ya duduk di pondok ini. Nanti kalau adik dah berjaya, adik akan beli tanah dan kita akan bina rumah yang selesa. Masa tu nanti, adik nak bawa ibu pergi Mekah, kita tengok Kaabah, tengok kubur nabi, kita akan pergi rumah Allah ibu. Insya-Allah".

Ibu hanya tersenyum mendengar kata si anak, raut wajahnya menunjukkan jutaan lega walaupun dia tahu apa yang diluahkan si anak belum pasti menjadi kenyataan. Boleh jadi, ketika itu si anak sudah lupa siapa ibu yang melahirkannya, boleh jadi ketika itu, si anak terlalu asyik dengan kerjaya sehingga lupa segala janjinya. Kerana dia ibu, dia sudah cukup bahagia apabila anak-anak memikirkan perihal dirinya, walaupun hanya sedetik. Dia hanya mampu tersenyum haru dalam linangan air mata.