RSS

Kembali ke Nasut

Angin bayu bertiup lembut. Daun-daun kering dibawa terbang meliuk-liuk, bersama debu pasir yang menari dan akhirnya semua jatuh mencium bumi. Dia melukiskan garisan senyum di raut wajahnya. 

            Dia membiarkan saja tudung kepalanya berombak-ombak dipukul angin. Hampir satu jam Raihan diam di situ, menikmati suasana kampung nelayan.

Bot-bot kelihatan tersusun kemas dengan ikatan tali di tunggul kayu. Jeti kayu kelihatan unik dengan susunan kayu yang jarak-jarak, di bawahnya terlihat air sungai mengalir sopan. Lantas dia teringat janji Allah kepada orang yang beriman,

“Dan golongan kanan, alangkah mulianya golongan kanan itu. Mereka berada di antara pohon bidara yang tidak berduri, dan pohon pisang yang bersusun-susun buahnya. Dan naungan yang terbentang luas dan air yang mengalir terus-menerus”. (Al-Waqiah: 27-31)

Sebutir manik jatuh dari birai matanya. Dari jauh, kelihatan anak kecil menyambut kepulangan si ayah dari jeti. Si ayah kelihatan begitu gembira melihat si anak melompat-lompat sambil bertepuk tangan. 

Tiba-tiba Raihan berasa sakit yang dalam, jauh sehingga ke pangkal hatinya. Dia memegang sebahagian bajunya di dada. Ya, dia berasa sakit di sini. Teramat sakit. Pandangannya menjadi hitam. Dunianya kelihatan berpusing. Kaki Raihan menjadi pening dan lemah sehingga merebahkan dia di sisi jalan.

Raihan, Raihan… Dia kenal suara itu, sangat kenal. Terasa tangannya digoyang-goyangkan. Namun, tubuhnya masih kaku terbaring. Suasana hening seketika. 

Di mana semua orang? Kenapa ada bunyi mesin di tepi katilnya. Tik… tik… tik… Ya, bunyi air menitik di dalam satu beg plastik. Dia jadi semakin penat mentafsirkan semua yang ada di sekelilingnya. 

Raihan.. Raihan... Namanya diseru lagi. Tangannya digenggam erat. Dia cuba menggerakkan jarinya untuk menyambut genggaman itu. Namun, jemarinya seperti tidak mahu bergerak. 

Dia menarik nafas dalam-dalam dan cuba menggerakkannya sekali lagi. Tiba-tiba, datang satu puting beliung yang besar, dia seperti ditarik masuk ke dalam  putaran itu. 

Seingat Raihan, putaran inilah juga yang menariknya ke kampung nelayan sebentar tadi. Si ayah dan si anak yang melompat-lompat. Ya, itulah yang dia lihat. Kali ini, ke mana pula putaran ini akan membawanya pergi.


Cinta Kerek Bhg. 3

Apa dah jadi dengan aku? Semua benda yang aku buat serba tak betul. Kak Yong, tolong aku kak Yong. Biasanya kak Yonglah tempat aku mengadu. Dia juga seorang penyelesai masalah yang sangat hebat. Aku betul-betul nak jumpa kak Yong.

Hari tu aku ambil cuti tiga hari, semata-mata nak balik jumpa kak Yong. Tapi, bila aku sampai di rumah sewa kak Yong, kak Yong tak ada. Dia sibuk kut dengan dunia praktikum dia.

Aku mesej kak Yong, bagitahu yang aku dah sampai rumah dia. Dia terkejut, dia macam syaki ada sesuatu yang tak kena.

Kak Yong tanya, aku ada apa-apa masalah ke? Aku diam. Aku pun tak tahu apa masalah aku, macam mana la aku nak terangkan pada kak Yong. Aku pun buat-buat happy je depan kak Yong. Buat-buat muka takda masalah. Aku cuma kata sebab aku rindu kak Yong, tu la pasal aku datang.

Malam tu kami keluar makan bersama, aku masih diam seribu bahasa. Aku tak tahu nak buka cerita macam mana. Apabila balik semula ke rumah, kak Yong dah sibuk buat persediaan untuk praktikum esok.

Aku tak sampai hati nak kacau kak Yong. Aku pun masuk tidur awal. Tapi serius, aku langsung tak boleh tidur. Sehinggalah, kak Yong masuk bilik. Aku jeling jam dinding, dah pukul tiga pagi. Kak Yong rebahkan badannya di sisiku.

Aku rindu nak suruh kak Yong peluk aku, macam yang arwah ibu buat dulu. Tapi aku tak sampai hati. Aku tahu, kak Yong mesti tengah letih sangat, biarlah dia rehat.

Keesokannya aku minta diri, aku kata aku kena balik awal, esok aku masuk kerja semula. Aku tipu. Aku tak nak susahkan kak Yong, dia sedang berjihad dengan ilmu yang dia minati. Teringat pula masa zaman sekolah dulu, aku satu dorm dengan kak Yong, tapi kami jarang bertemu.

Kak Yong banyak menghabiskan masanya di surau. Dia selalu mengkhatamkan Quran di sudut belakang surau. Kak Yong berusaha gigih, dia kata, itu sahaja tawasul yang dia ada, mudah-mudahan dengan tawasul al-Quran ini akan membawa dia ke alam universiti nanti.

Aku singgah pula di maahad Sofi. Pandang wajah Sofi je, hati aku jadi tenang sikit. Wajah suci budak tahfiz Quran kan. Macam biasa, setiap kali jumpa Sofi, aku mesti bawa dia pergi pantai.

Tiba-tiba, Sofi membaringkan kepalanya di atas ribaku. Dengan spontan tangan aku membelai rambutnya. Dialah satu-satunya adik aku yang paling kesian. Sofi tak pernah dapat rasa belai kasih ibu, apalagi kasih seorang ayah. Mereka pergi terlalu awal.

Kak Jue, saya rasa saya dah jatuh cinta. Hampir terkejut aku dengar perkhabarannya. Aku hanya senyum memanjang. Adik aku ni dah besar rupanya, cepatnya masa berlalu.

Kenapa Sofi rasa macam tu? Aku cuba mengorek cerita. Sofi selalu teringatkan perempuan yang Sofi suka. Padahal baru sekali Sofi jumpa dia. Sofi jadi serba tak betul, apa yang Sofi buat semua tak kena.

Adik, itulah juga yang kak Jue rasa. Tapi kak Jue tak tahu pula itu namanya cinta, bisik hatiku. Mamat kerek tu baru sekali senyum kat aku, tapi aku dah jadi serba tak kena. Ya, betullah aku jatuh cinta dengan mamat kerek tu. Terima kasih Sofi, tanpa sedar dia telah memberi jawapan kepada masalah aku.

Kak Jue, apa yang patut Sofi buat? Aku senyum. Sofi buatlah solat istikarah. Tapi kalau Sofi dah betul-betul yakin orang tu jodoh Sofi, Sofi buatlah solat hajat. Takpe, insyaAllah, kak Jue doakan yang terbaik untuk Sofi.

Kak Jue, rasa-rasa kak Yong marah tak kalau Sofi bagitahu perkara ni. Hmm, tak pastila Sofi, tapi kak Yong mungkin akan sedikit kecewa kut... Kenapa?

Tiba-tiba aku teringat suatu masa dulu, kak Yong pernah pesan, janganlah kita mengejar cinta manusia kerana manusia akan mati, tapi tetapkanlah cinta itu kepada cinta yang abadi, biarpun cinta itu kerek sebab kita tak nampak dan tegas, tapi ia wujud dan hakiki. Itulah sebenarnya yang dikatakan cinta. Aku jadi binggung macam mana nak terangkan pada Sofi. Ok, aku cuba.

Sofi, cuba tengok kat sana, ada apa? Sofi pun menoleh ke arah yang aku maksudkan. Ada bunga. Ya, ada bunga, sahutku sambil menganggukkan kepala. Agak-agak, berapa lama jangka hidup bunga tu? Hmm.. mungkin sebulan hingga lima bulan, bergantung kepada cara kita menjaganya.

Kesimpulannya, jangka hidup bunga tak lama kan. Sofi menganggukkan kepala. Begitulah cinta, jika kita cinta kepada bunga, bunga akan layu. Jika kita cintakan manusia, manusia akan mati...

Jadi, macam mana? Soal Sofi, wajahnya sedikit berubah daripada tadi.

Dari mana kita datang, ke situlah juga kita akan kembali. Bagaimana cinta dicipta, begitulah juga cinta akan dipulangkan. Dari Allah, cinta itu lahir, maka kepada Dia jualah seharusnya cinta diserahkan. Sofi faham ke?

Jadi, apabila kita jatuh cinta, kita perlu serahkan semula cinta itu kepada Allah. Yup, betul. Pandainya adik kak Jue. Laju tanganku memicit pipi Sofi. Kalau dulu, sedap la juga picit pipi dia sebab terlalu tembam, tapi sekarang tak ada isi dah. Adik aku dah makin kurus, dah makin handsome rupanya.

Cinta Kerek Bhg. 2

Awak kenal Sofiatul Islam tak? Walkie talkie di atas mejaku bersuara.

Macam pernah dengar, tu kan nama facebook kak Yong. Tapi macam mana mamat psiko ni tahu. Diam, jangan layan, getus hatiku.

Kalau Saifullah Abdi, kenal tak? Walkie talkie tu bersuara lagi.

Mestilah kenal. Semua tu nama facebook adik-beradik aku. Apa hal mamat ni, tanya-tanya kenal tak itu ini. Dia ni siasat latar belakang aku ke. Rimas la. Selamba-selamba je dia guna walkie talkie sekuriti untuk sembang perkara di luar bidang kerja. Itulah manusia sekarang, apabila diberi amanah, digunakan untuk kepentingan sendiri.

Kak Ani pula tak datang kerja hari ni. Lebih baik aku lari, tak pasal-pasal nanti kau, aku psiko. Nak psiko aku sangat kan. Terus aku keluar dari pondok, buat-buat jalan pergi tandas.

Tunggu, tunggu. Awak, saya tak habis cakap lagi ni. Tergesa-gesa Epul keluar dari pondok yang letaknya berhadapan dengan pondok aku. Satu kilang ni dah heboh yang aku ada skandal dengan Si Epul.

Panjang-panjang istigfar aku baca, biar sejuk sikit hati ni. Kenapalah susah sangat untuk aku hidup bahagia. Sepanjang sebulan aku kerja kat sini, sepanjang itulah juga ada masalah. Hari-hari ada masalah baru. Dan masalah semalamlah yang paling teruk. Sampai nak jadi kes tumbuk-menumbuk. Mengingatkan balik peristiwa semalam, aku hanya mampu geleng kepala.

Woi! apa korang buat ni ha? Siap pakai walkie talkie lagi. Jerkah Abang Roy dari jauh. Matanya seperti sedang menahan marah. Air mukanya berubah serta merta. Berbeza sekali dengan wajahnya ketika mengajak aku keluar makan malam semalam.

Dia masih marah sebab tolakan aku tu ke. Tak pasal-pasal pula hari ni nampak aku main walkie talkie dengan Epul.

Owh, Julia kata Julia bukan jenis yang senang-senang nak keluar dengan lelaki. Tapi main-main walkie talkie dengan Si Epul ni tak salah la pula. Sindir abang Roy dengan nada yang tinggi, macam betul-betul tak puas hati.

Sah, abang Roy salah faham. Bukan aku yang main walkie talkie ni. Si Epul seorang je yang cakap guna walkie talkie ni. Aku sepatah haram pun tak balas. Tapi, kenapa la susah sangat aku nak jelaskan. Cakap je, bukan susahpun.

Tapi kalau dah kena sergah macam ni, memang aku hilang kata-kata. Setegas-tegas kak Yong dalam mendidik aku selama ni, tak pernah lagi kak Yong tinggikan suara.

Si Epul ni pula tak diam, lagi panas la abang Roy dibuatnya. Bibit-bibit pertengkaran pun bermula, dan aku tak mampu nak buat apa-apa. Nasib baik ada supervisor lalu, kalau tak, tak tahulah macam mana. Silap-silap nanti jadi kes polis pula.

Desiran angin yang berhembus memukul halus pipiku, mengejutkan aku ke alam nyata. Aku teruskan langkah menuju ke tandas. Buat-buat pekak tak dengar yang Epul panggil. Selepas tu aku pergi surau, buat solat dhuha, mudah-mudahan Allah bukakan jalan untuk aku lepas daripada segala fitnah dunia.

Suraunya kelihatan sunyi. Bukan sebab sekarang waktu dhuha, waktu-waktu solat wajib yang lain juga begitu. Patutlah kak Yong selalu kata, antara tempat yang wajar kita sampaikan dakwah, adalah kilang. Betul. Mudah-mudahan aku takkan terikut-ikut budaya kat sini.

Semasa keluar dari surau, aku terserempak dengan mamat kerek depan bilik mesyuarat. Sampai sekarang aku masih tak tahu siapa nama dia. Dia pun tak pernah nak tegur aku.

Tiba-tiba, dia lemparkan senyum nipis kat aku. Dari jauh aku nampak lesung pipitnya. Manis.

Cinta Kerek

Kak Yong. Tiba-tiba nama tu terpancul dari mulutku. Rasa macam teringin nak dengar suara dia. Tapi kredit pula takda. Jauh aku termenung dalam pondok sekuriti. Sehinggalah siren pagar tiba-tiba menjerit bingit.

Hah, mamat tu puncanya. Segera aku tahan dia daripada masuk ke kilang. Encik, encik, eh, kamu, kamu, henti kejap. Sakit mental aku nak panggil dia ni apa. Nak panggil encik, macam umur sebaya kak Yong je, nak sebut abang, geli haih.

Dia pun cegat berdiri kat tengah jalan. Kenapa? Sepatah je kata-kata yang keluar. Daripada gaya dia bercakap, amboi, kereknya mamat ni. Macam bajet hebat sangat.

Awak pakai tali pinggang berlogam kan. Peraturan di sini, tak boleh pakai tali pinggang atau apa-apa barang yang berlogam. Bahaya, sebab kerja di sini melibatkan mesin. Lain kali sebelum masuk kilang, mesti cabut tali pinggang tu dulu.

Dia mengerutkan dahi. Tak payah nak kerut dahi sangat, kau kan dah lama kerja kat sini, mestilah kau tahu peraturan kilang. Aku yang baru masuk kerja seminggu pun boleh tahu. Kata aku dalam hati.

Takkan nak cabut tali pinggang kut. Saya kan lelaki, awak tu perempuan.

Apa maksud dia? Kini, giliran aku pula mengerut dahi. Diam. Tak tahu nak jawab macam mana. Lantai jalan tu jadi perhatian aku sekejap. Terasa hangat pula kat pipi. Memang sah, dia ni mamat kerek, pandai pula dia tembak balik. Aku angkat kepala perlahan-lahan sehingga mata aku dapat tengok dia sejelas-jelasnya.

Aku hanya menganggukkan kepala dan dia pun terus berlalu. Macam orang bodoh pula aku tercegat kat situ. Ok, takpe, ada lori ada bas, ada hari boleh balas.

Aku pun kembali ke pondok. Tulis laporan hari ini. Siap menulis, pen aku simpan di tepi. Menunggu masa berlalu, aduh masa, tolonglah berlalu dengan cepat, aku dah tak tahan bosan duduk kat sini. Aku pun mencapai telefon bimbit yang dihadiahkan oleh kak Yong. Aplikasi Quran word aku buka dan baca buat menghabiskan masa.

Krrrriiiinggg. Loceng berbunyi menandakan waktu rehat tengah hari. Dari jauh aku nampak kelibat mamat kerek pagi tadi. Dia nak makan tengah hari kat luar kut. Aku pun menyiku rakan sekerjaku. Kak Ani, siapa laki tu?

Owh, budak tu, akak pun tak tahu nama dia. Rasanya dia engineer kat sini. Dia tu baru habis belajar. Lepas tu terus kerja kat sini.

Engineer? Mudanya, bape umur dia Kak Ani?

22 tahun kut.

22 tahun? Kan aku dah agak, dia memang sebaya dengan kak Yong. Tahun monyet.

Dangerous

Bahaya lelaki,
jika kita mesej
dia ingat kita suka

jika kita tanya
dia ingat kita tengah takle dia

jika kita diam
dia kata kita lembap

Jika kita buat tak tahu
dia kata kita sombong

Lelaki selalu mentafsirkan setiap tingkah
baik buruk perempuan terhadapnya
menggunakan tafsiran kelakian.

Sedang perempuan
jiwanya terang lagi bersuluh

jika dia tanya, bererti dia tengah binggung
jika dia diam, bererti dia malu
jika dia buat tak tahu, bererti dia tak nak terlibat.

Berhati-hatilah
ketika berurusan dengan lelaki
kerana mereka mudah salah tafsir
dengan kesilapan yang kita lakukan.

Hiduplah dengan tenang tanpa kontroversi
jadilah wanita berilmu
supaya kita tidak terlalu bergantung
tanya itu tanya ini
tapi masalah tetap bertambah.

Bunga Diri

Alangkah tenangnya
hidup sebagai rumput 
hidup sebagai burung...

Apa yang dilakukan
tak pernah dia runsing
apa yang dia makan tak pernah risau.

Hidup sebagai manusia
dugaan yang besar
perjalanannya penuh pancaroba
melawan makhluk dalam diri.

Bila suka lupa diri
bertindak di luar kawalan
otak ditepikan.

Azam di hati
takkan mampu menjaga diri
sedang fikiran sering dikuasai
maka hindarilah suka
agar diri tidak terlupa
maruah terbela
fitnah tak berleluasa.

Ajnabi antara faktor
tingkah tak terjaga
gurau senda jadi biasa
akhirnya sesal dan binasa.

Jagalah diri berakhlak mulia
sunnah nabi jadi tradisi
pelihara hati, jaga akal
suburkan bunga dalam diri.

*Ikut hati, mati
ikut rasa binasa
dampingkanlah diri
dengan al-Quran dan sunnah.

*Banyak cakap mati akal
banyak ketawa mati hati
banyak bergurau hilang thiqah.

Taqabballahuminna waminkun...

Duri

Jika kita tolak
ada fitnah menanti
ya fitnah
tapi yang berlaku adalah bala
bala kesihatan
bala jiwa
mahupun bala rezeki.

Biarlah dilabel kejam sekalipun
bala tetap menimpa
hati yang disakiti takkan kembali
terbang jauh membawa diri
terbanglah ke dunia kayangan
tujuh puteri menanti di sana
siap tersedia dengan jelita.

Tapi hairan saat kembali
mengapa?
walau diherdik dan diendah
langsung tak pernah lali
hanya tunduk dalam sendu.

Pulanglah
jangan sekali datang lagi
atau seangkatan denganmu
bawa semuanya pergi
cukup dengan bala yang tinggal
sebagai peneman di sisi.

Berbahagia dengan apa yang ada
kiriman kasih Maha Pencipta.

"Siapa2 yang datang kepadamu,
selalunya menangis"

"Kerana saya adalah duri,
jangan pernah hampiri saya"

  • Tiada kaitan antara yang hidup dengan yang telah pergi. Bukan pula cerita sendiri. Sekadar bayangan ilusi, ciptaan cek siti.

Semakin Hari

Semakin hari semakin baik
pengurusan masa
pengurusan tidur
mahupun pengurusan jiwa
terima kasih praktikum.

Hanya satu impian sepanjang praktikum
semoga dapatlah tidur dengan cukup
makan dengan teratur
kerja pun berjalan dengan licin
alhamdulillah, kecapi juga akhirnya
walau hanya sementara waktu
belum pula dikira asaimen yang tak bersentuh.

Penulisan RPH
penyediaan BBM
menjadi semakin mudah
apabila kita tahu tekniknya
kita faham akarnya
dan kita lihat kesannya terhadap murid.

Aktiviti tidak semestinya bombastik
cukup sekadar dapat melatih kemahiran murid
untuk mendengar dan bertutur
membaca dengan sebutan dan intonasi
menulis dengan betul
mahupun beraksi dengan seronok.

Kita hanya perlukan keseronokan murid
untuk menjayakan PdP
bukan murid diperrobotkan
bertutur hanya apabila ditanya
taati arahan
mulut pun muncung.

Jiwa murid perlu kita zahirkan
sememangnya fitrah mereka
bermain itu keperluan
dan di situ mereka belajar
nilai-nilai sosial dalam bertingkah.

Kekadang kita benggang
murid kita pemulihan
tak pandai baca
lambat bertindak
suruh buat tak buat
degil
buat-buat merajuk
buat-buat lawan arahan.

Tetapi tahukah kita
mengapa mereka buat semua itu?
mereka mahukan perhatian kita
mereka cemburu
ketandusan kasih sayang.

Oleh itu sebagai guru
kita perlu tegas dalam mendidik
murid perlu disedarkan
bukan itu caranya untuk dapatkan perhatian
malah ia satu perbuatan yang dibenci
sukar dikawal
terlalu emosi.

Jadilah murid yang baik
nescaya cikgu akan sayang
jadilah murid yang rajin
nescaya cikgu akan puji
jadilah murid yang bersemangat
nescaya cikgu termotivasi

dan jadilah murid yang kenal Tuhannya.
http://addhaif.blogspot.com/2014/08/cerpen-syafaat-episod-1.html?m=1

Jangan Bersedih

Janganlah bersedih
Allah sentiasa bersama kita
janganlah berasa lemah
sedangkan kitalah orang yang paling tinggi darjatnya, jika kita beriman.

Apabila Allah kirimkan ujian
itu tandanya Dia rindukan kita
Dia rindu melihat hambanya menangis
Dia mahu hambaNya sedar
hanya Dialah tempat bergantung segala harap
tempat mengadu segala duka
tempat meminta segala suka
mintalah kepadaNya
nescaya akan Dia beri
Dialah Allah pemilik segala cinta.

Apabila kita lemah
ingatlah
hanya Allah kekuatan kita
"Tiada manusia yang kuat tanpa kekuatan Pencipta"

Apabila kita sedih
ingatlah
hanya Allah kegembiraan kita
janjiNya adalah pasti
sungai-sungai susu akan mengalir
bidadari-bidadari bermata indah
dan ucapan salam dari Pencipta.

Usahlah bersedih
usah tenggelamkan diri dalam dugaan
sesungguhnya syaitan itu musuh kita yang nyata
perangilah ia sehingga hilang segala resah
sehingga diam segala bisikan
sehingga timbul satu kekuatan
untuk menjadi seorang khalifah.

Ilmu

Ilmu adalah hidup manusia
dengan ilmu kita beroleh makan
dengan ilmu kita beli pakaian
ilmu juga benteng iman.

Ada yang mempelajari ilmu kerana duit
demi gaji yang tinggi-tinggi
suatu hari jadi jutawan
lupa diri hilang pegangan.

Ramai yang mengejar ilmu
untuk apa semuanya dunia
ada juga yang diberi ilmu
tapi tak guna sampai ke mati.

Zaman ini
ilmu diukur dengan duit
tinggi ilmu senanglah hidup
hingga lupa nikmat abadi
ilmu diguna khidmat nafsu.

Kiriman Rindu

Sakit itu nikmat
tanda kasih Maha Pencipta
kiriman rindu buat hamba.

Ada sesetengah orang
berasa malu mengaku sakit
terasa diri bukan normal
lalu dirahsia segala duka.

Sesetengah orang pula
berasa gembira kerana terpilih
lalui denai cabang bertambah
sebagai latihan manusia sejati
menjadi seorang hamba abdi
yang tali gantungnya hanya Allah
pemilik segala nyawa dan masa.

Rasa terharu diambil berat
itu biasa
namun segala perhatian
tiada yang menandingi perhatian Allah
kerana manusia tiada kuasa
suatu hari jika perhatiannya beralih arah
kita pula kecewa binasa.

Hanya Dia Tuan manusia
Maha mengetahui segala rahsia
Pencipta segala penyakit
juga penyembuh segala sakit
percayalah akan janjiNya
nescaya segala rasa di dunia
hanya tawar tak berperisa.

Sesungguhnya sakit itu adalah nikmat
tanda kasih Maha Pencipta
kiriman rindu buat hamba.

Jauh Renungnya

Setiap persoalan menemui jawapan
simtom-simtom hidup: mengantuk tersenguk-senguk
saraf-saraf jiwa: hilang semangat dan lesu
perubahan air muka: pucat bak hantu
mahupun perbezaan tingkah
kini berakhir dengan satu nama
anemia.

"Adik, kamu dah berkahwin?"
"Kenapa kak?"
"Simtom-simtom kamu seperti sedang pregnant"

PREGNANT??

Andai ketika itu benar tanggapannya
dan di sisi ada peneman setia
pasti taman hati kembang berbunga
menyebar harum semerbak kasturi.

Dalam minda merenung jauh
anakku generasi rabbani
biar ramai dan luas bidangnya
sehingga sebahagiannya menjadi doktor penyelamat mangsa
sebahagian pula menjadi ulamak pewaris nabi
atau mengikut jejak saidina Umar gagah perkasa
menjadi saintis pakar forensik
mahupun menjadi seorang mualimah yang sejati.

Mereka akan menjadi agen-agen islam
hebat seperti jundullah al-Qassam
menempuh syahid sebagai adat resam
bermula dengan menghafaz al-Quran.

"Ini appoinment adik, datang semula esoknya untuk ujian"
"Ok ok, baiklah" 

Tiba di bilik baru sampul appoinment dibuka
oh tidak! bertindih dengan observe.

Sematkan Dalam Minda

Jauhi fitnah, jaga harga diri
kerana dirimu begitu berharga.

Manusia makhluk berbahaya
sukar dijangka, tak boleh dibaca
berhati-hatilah ketika berurusan
jangan sampai dirimu menyakiti mereka.

Diam adalah penawar dendam
sedang lidah adalah insan yang kejam.

Apa yang diluah adalah cerminan hati
baik hatimu, maka baiklah perkataanmu.

Ikutilah sunnah nabi
nescaya tiada yang rugi.

Biarlah sunyi dalam berzikir
daripada bunyi yang bertengkar.

Jangan kecewa dengan penilaian manusia
kerana ukuran manusia berlandaskan emosi dan lidah
sedangkan nilaian Allah penuh hikmah.

Sendiri dalam tenang
lebih baik daripada berdua dalam mendung.

Jangan mudah menunjukkan prihatin terhadap seseorang
dibimbangi berlaku salah faham.
Dalam mesyuarat kita bermusyawarah
masing-masing berpedang hujah
masing-masing sembunyi tingkah

Cinta

Cinta
apa itu cinta?
Cinta itu kehidupan
Allah menciptakan kita berpasangan.

Bagaimana kita nak tahu pasangan kita?
adakah dia akan memakai tanda nama saya
atau guruh akan berdentum
dan petir akan menyambung saat saya
bertemu dengannya?

Saya tidak tahu
tetapi Dia akan memberitahu saya.

Semuanya Palsu

Perempuan
semakin ego semakin tinggi harga diri
semakin sukar didekati semakin harum mewangi
seperti mawar berduri
indahnya bukan sekadar hiasan
malah menjadi ubat penawar duka
disegani, dihormati dan mulia
sehingga sang kumbang akan berfikir dua kali 
sebelum menghampiri.

Lelaki
selagi belum halal
dia bukanlah insan yang boleh dipercayai
semakin banyak dia berkata-kata
semakin banyak yang dusta
percayalah 
tiada cinta sejati yang hadir
tiada rasa kasih pun yang lahir
yang ada cuma sandiwara...
jangan kau mudah terpedaya
atau tidak kau yang sengsara

Kita bukan boneka cinta
bila mahu datang
bila tak mahu buang
jangan sampai wanita beraksi pula
maka kau akan sedar
bahawa dunia akan hancur.

Saat Malam

Saat malam mula menggelapkan dunia
janganlah bersedih
kerana siang akan menjelma lagi
kita akan melihat suria dan pelangi
kita akan berlari dalam hujan,
bermain dengan kawan.

Saat malam mula menggelapkan dunia
kita ternyata masih bernafas
masih berkaki dan anggota lainnya
maka,
janganlah jadikan malam sebagai alasan
untuk kita rebah dan lemah
sedang kekuatan itu masih ada
untuk kita pupuk dan bina.

Kejar

Kita penat
dan kita juga lesu
kerana semakin kita kejar, semakin ia menjauh
sekali kita lari, ia pula pecut tak henti
kita takkan pernah dapat memilikinya
ia pun tidak pernah mahukan kita
mengapa kita masih terhegeh-hegeh di situ?

Sedangkan,
di sini sudah ada yang menanti
di sini sudah tentu pasti
malah jika kita ikhlas,
ia pula akan menyesal
lalu kita dikejarinya
dikejar dan dikejar
sehingga kita pun lelah berlari
dan akhirnya, ia juga kita miliki.

Jika kita mengejar dunia, maka dunia akan lari,
Jika kita mengejar akhirat, maka dunia pula akan mengejar kita...

Orang yang bijak ialah orang yang mengejar akhirat...

Menulis

Untuk apa aku menulis? Hari-hari soalan itulah yang bermain tarik tali dalam hati.

Apabila niat ingin mendapatkan perhatikan, maka niat itu dibatalkan. Kerana tiada pehatian yang lebih bermakna melainkan perhatikan Allah.

Jika saat itu sekadar ingin meluahkan perasaan, berkongsi rasa dan emosi, berkongsi kasih dan sayang, tidak selayaknya dipaparkan secara umum. Seolah-olah kita sedang membuka aib sendiri mahupun aib orang. Kerana, "Jika kita membuka satu aib orang, Allah akan buka 10 aib kita". Nauzubillah. Apa lagi kalau tulisan itu membuka aib sendiri, malu kat Allah yang dah bantu tutup aib kita.

Ketika tangan yang gatal ini mahu menulis atas dasar suka suki, maka akal akan mengetuk, berhati-hatilah kerana semua yang kamu tulis akan menjadi saksi di alam barzakh.

Aku jadi gerun.

Kawan2, inilah jawapanku ketika kamu hairan mengapa tiada langsung tulisanku di mana-mana.

Telah banyak dosa yang dilakukan sejak aku menulis di laman ini. Ada kalanya seperti aku membangga diri, bercerita itu dan ini, riak dengan amalan harian, berlagak dengan kelebihan nikmat.

Astagfirullahal azim.

Ya Allah yang Maha Pengasih, Kau ampunkanlah dosaku, yang dilakukan secara sedar atau tidak, terimalah amal ibadatku dan makbulkanlah doaku.
Mengertikah kita hati seorang ayah
yang hatinya tidak akan kita temui
dalam mana-mana hati lelaki
yang jiwanya bisa menyentuh hati kita
sepanjang hayat dikandung badan
walaupun bibirnya tidak pernah menuturkan sayang
walaupun tingkahnya tidak menggambarkan kasih
tetapi cintanya,
mengakar dalam hati.