RSS

Hati Yang Hilang

Hati
Ke manakah kau pergi
Puas aku mencari
Di dalam sujud
Dalam membaca al-Quran
Mahupun dalam tafakur
Semuanya sepi.

Kau pergi tanpa kusedari
Kau hilang tanpa aku mencari
Sehingga aku terkontang-kanting sendiri
Mencari tuhan alam duniawi
Rupanya kau sudah tiada di sisi.

Hati
Akulah yang berdosa
Membiarkan kau penuh noda
Membiarkan engkau lemah tergoda
Dengan segala pujuk dunia
Dan kini akulah manusia
Yang sudah tidak bernyawa.

Hati
Tahukah engkau bahawa saat ini
Aku menangis dan merintih
Agar kau kembali lagi
Tapi takkan mungkin kau kembali
Kerana kau telah mati
Angkara aku pentingkan diri.

Ya Allah
Kurniakanlah aku
Hati yang baru
Agar semangatku berkobar lagi
Mengejar mimpi di alam realiti.

Diubahsuai daripada syair imam al-Ghazali:

"Carilah hatimu dalam tiga keadaan
Carilah hati di dalam sujud.

Jika tidak jumpa, carilah hatimu
Apabila membaca al-Quran.

Jika tidak jumpa, carilah hatimu
Ketika bertafakur sendirian

Jika tidak jumpa juga, maka
Pintalah kepada Allah
Untuk diberikan hati yang baru
Kerana ketika itu, kau sudah tiada hati".

Jangan Hot, Please...

Mawar berduri
pasti melukakan tangan yang sentuh
maka itu mawar hanya enak untuk dipandang
kerana apabila dia terluka dia akan melukai.
  • Perempuan sifatnya sensitif. Apabila penat lelahnya dibalas tembakan dan herdik, maka hati meluat naik ke langit.
  • Kerana itulah muslimat jihadnya di dalam rumah, berbanding muslimin yang jihadnya di lapangan.
Ada mawar, apabila dihina
hatinya bara mulut pun buka
ada juga yang bara tapi malas nak layan
tak tinggal pula yang cuba mendamaikan.
  • Tapi yang mendamaikan itu sedikit sahaja. Marah-marah, lenting-lenting, simpanlah di tepi.
  • Ada pula yang membatu api, menambah hangat di tengah hari. Janganlah begitu, siramlah dengan wuduk dan zikir. Malu diperhati dek orang.
  • Menjadi solehah cabaran duniawi. Calon bidadari di syurga abadi. 
  • Sudah2, jom jadi solehah.
:-) :-D :-P 

Terima Kasih Cuti

  • Terima kasih cuti. Terima kasih. Thank you so much. Muah2.
Terima kasih cuti
Bersamamu aku belajar erti takut
Aku kenal siapa aku dan di mana aku
Aku lihat manusia bukan manusia
Aku selam lautan resah
Aku belajar menjadi hipokrit
Aku tahu erti kasih sayang dan pengorbanan.

Terima kasih cuti
Kau menjadikan aku emas
Padahal hanya besi berkarat
Yang dibuang dan tidak berfungsi.
  • Pertunangan Habsrah. Alhamdulillah, cantik berseri dihias bunga. Menawan hati, si kumbang pujaan. Semoga bahagia ke jinjang pelamin, InsyaAllah, amin.
  • Terasa waktu begitu pantas berlalu. Bagai semalam kita berjejak kasih. Kita akrab bagaikan kembar. Baju tidur, baju raya, kasut, selipar dan semuanya kita gedik mahu yang sama.
  • Apabila bermain, asyiknya berteman, lari berpegangan tangan, jatuh tersungkur kita bangkit bersama. 
Walaupun umur kita sama
Tapi aku tetap dengan gelaran
Di mana saja 'kak ngah' pasti kedengaran
Tidak mengira tua atau muda
Aku adalah kakak kepada semua

Alhamdulillah
Hari ini kita berkumpul lagi
Kita menjadi kanak-kanak lagi
Ibu bapa sanak saudara semua perhati
Tali persaudaraan terjalin suci
Berbahagialah segenap sanubari.
  • Andai saja hati itu aku terima, pasti hari ini kita naik takhta bersama. Tapi maaf, aku tidak sempurna. Doakanlah aku dibuka hati, untuk satu jalinan yang suci murni. InsyaAllah, amin. 
  • Aku pun tak nak la jadi andartu. Nauzubillah, minta dijauhkan. Syuh2. :)

Menunggu Solehah?

  • Perang psiko?
  • Orang selalu kata, kalau kita tolak pinangan orang alim, kita akan ditimpa bencana. Percaya atau tidak, terserah pada pegangan masing2.
  • Tetapi, tidakkah perempuan mempunyai hak memilih. Bak kata orang,
Imam tidak boleh memilih makmum
Tetapi makmum boleh memilih imam. Hehehe..
  • Oleh itu, janganlah terlalu kecilkan skop dalam soal sepenting hidup dan mati. Sebab imam yang kita pilih adalah penentu sama ada ibadah solat kita ketika itu sah atau tidak.
  • Kalau imam pun kita tak percaya boleh baca fatihah dengan betul, takpun kita ragui ilmu yang dipelajarinya, tepuk dada tanyalah selera.
  • Maka itu, ramailah anak mudi yang dituduh terlalu memilih, jual mahal dan sebagainya.
Jual mahal?
Dah tu, takkan nak jual murah pula?
Ok, lelong2, rm5 satu barang?
.....?
  • Kita takkan mampu puaskan hati semua orang. Sedangkan hati kita pun selalu tak terpenuhi. Iye dak?
  • Walau bagaimanapun, tidak dinafikan juga bahawa anak mudi sekarang banyak yang terkena penyakit, penyakit tak nak kahwin.
Bermacam alasan dicipta
Berbagai sebab diberi
Ada yang boleh diterima
Ada juga yang langsung tak boleh telan.

Jiwa perempuan memang tak boleh jangka
Apa lagi kalau dipaksa
Kalau dah memang tiada jodoh
Tidak kiralah sudah berapa kali dipinang
Tetapi jodoh tetap ditolak.

Alasannya...

Sayang seribu kali sayang
Ampun beribu ampun
Sedang diri dididik solehah
Biarlah ilmu dikecapi dahulu
Kerana masa masih panjang
Untuk kesediaan itu dibuka pintu.
  • Allah telah berjanji di dalam kitab suciNya, bahawa perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik juga untuk perempuan yang baik.
  • Jadi, wahai pemuda pemudi, bagaimana jodoh yang anda idamkan, anda juga mestilah seperti itu juga.
  • Menunggu solehah? Hmm.. tak perlu ditunggu, tetapi berusahalah ke arah itu. Ok? Arasso?
  • Jom mulakan dari hari ini. Senyum dan ikhlas. Ngee..
  • Wallahua'lam.

Abang Amy Bhg 2

“Amy! Tunggu Dalili tu sekejap. Dia tengah pakai kasut tu”, arah Mak Cik Fatimah kepada Abang Amy yang sudah melabuhkan punggung di atas basikal. Abang Amy menarik muka.

Aku tahu Abang Amy tidak sukakan aku sejak aku berpindah ke sini. Pada Abang Amy, aku ialah seorang budak yang menyusahkan. Pergi sekolah perlu digendong, beg sekolah minta diangkat dan macam-macam lagi. Siapa yang suka kalau disuruh itu dan ini bukan?

Tetapi Abang Amy seorang anak yang taat. Belum pernah lagi aku lihat Abang Amy melawan arahan Mak Cik Fatimah.

Apabila tiba di sekolah, Abang Amy akan menghantar aku ke depan pintu kelas barulah dia berangkat ke sekolahnya yang terletak bersebelahan dengan sekolahku.

Sebelum ini, Abang Amy hanya turunkan aku di pintu pagar sekolah, tetapi sejak aku dibuli oleh rakan-rakan, Abang Amy mula khuatir akan keselamatanku.

Pernah suatu ketika, Abang Amy lewat ke sekolah kerana hendak berjumpa dengan guru kelasku. Dia mengadu situasi aku yang selalu dibuli. Ditunjukkan bukti yang terdapat pada tubuhku yang biru, kesan bajuku yang diconteng malah ada juga hujung kainku yang digunting.

Alhamdulillah, selepas itu, aku tidak lagi dibuli. Murid-murid yang terlibat diambil tindakan disiplin dan aku ditukarkan kelas ke kelas yang lebih pandai. Nama sahaja kelas pandai, tetapi kerja sekolahku semua Abang Amy yang buat.

“Amy, cuba tengok kerja sekolah Dalili ni, kamu tahu tak jawapannya apa?”

“Ini kena bina ayat berdasarkan gambar”. Kata Abang Amy setelah membaca arahan soalan dalam bulu latihan aku.

“Inikan gambar seorang perempuan sedang memasak, kamu tulis je macam ni, Mak Cik Fatimah sedang memasak cucur”. Kata Abang Amy dengan nada naik turun sambil ekor matanya nakal memerhatikan Mak Cik Fatimah.

“Hai kamu ni Amy, macam tiada nama lain dah nak letak”, Abang Amy hanya membalas kata-kata Mak Cik Fatimah dengan senyuman. Aku pun turut tersenyum melihat telatah dua beranak ini.

“Hah! Apa lagi, tulis la apa yang Abang sebut tadi”, sergah Abang Amy setelah melihat pensel hanya diam dalam tanganku. Aku senyap, lama memandang buku.

“Dalili tak pandai mengeja…”

“Ya Allah, dah masuk tahun empat pun tak pandai mengeja lagi. Kamu belajar apa kat sekolah?” Abang Amy sudah mula membebel.

“Amy, tolonglah Dalili tu tulis. Nanti kena marah pula dengan cikgu kat sekolah”, begitulah Mak Cik Fatimah, selalu aku ditempatkan di tempat yang betul.

Sehinggalah suatu hari, aku dengar Mak Cik Fatimah bercerita kepada ibu dan ayah mengenai kedunguanku. Mengenai kisah aku yang masih tidak pandai mengeja. 

Ayah tidak bercakap banyak, dia duduk lama termenung di depan pintu. Aku cuba menghampiri ayah, aku lihat mata ayah bergenang air mata. Mungkin ayah sedih sebab aku tidak belajar sungguh-sungguh.

“Ayah, akak minta maaf. akak janji, akak akan jadi murid yang pandai”, aku memberanikan diri duduk di sisi ayah. Ayah hanya senyum sedikit. Itu yang buat aku bimbang. Ayah selalunya ceria, bukan macam ini.

“Ayah kecewa dengan akak?”

“Tidak nak. Ayah hanya terfikir, jika ayah meninggal, ayah tidak punya harta untuk akak. Ayah hanya mampu hantar akak ke sekolah. Jika banyak ilmu yang akak dapat, maka banyaklah harta ayah untuk akak kelak”, kata ayah sambil mengusap lembut kepalaku. Aku lihat kolam mata ayah semakin penuh dengan air mata.

“Akak janji ayah, akak akan jadi anak yang paling banyak dapat harta ayah nanti. Masa tu, akak akan berjaya, akak akan balik semula ke pangkuan ayah dan ibu” tanpa aku sedar, ibu memeluk aku dari belakang. Rupanya, ibu juga sedang mendengar perbualan aku dan ayah.

“Mari akak, kita masuk tidur, dah lewat ni. Esok kamu kena pergi sekolah, ayah dan ibu pun kena bekerja” ibu dan ayah mengiringi aku sehingga ke kamar. 

"Esok, akak tinggal dengan Mak Cik Fatimah lagi ya. Jangan nakal-nakal, kesian Mak Cik Fatimah, nak jaga kamu lagi, nak jaga adik-adik kamu lagi. Ok?" 

"Ok bu.." Mereka menemani aku sehinggalah aku lena.

Aku gembira walaupun berasa agak pelik. Ibu dan ayah tidak selalu melayan aku macam ini. Sehinggalah ibu tutup lampu kamarku, aku dengar sedu ibu semakin menjadi-jadi. Aku cuba pura-pura tidur dengan memasang telinga betul-betul. 

“Bang, betul ke kita nak pulangkan Dalili kepada ibu kandungnya”

“Sabarlah yang. Kita buat istikharah dan solat hajat, Allah lebih tahu mana yang lebih baik. Kita rancang, Allah juga ada perancangan, dan perancangan Allah mestilah yang lebih baik”

Patutlah ibu dan ayah lain macam sikit malam ni. Rupa-rupanya ada cerita lain yang menghimpit perasaan mereka. Tetapi, betul ke semua ini?

‘Aku bukan anak kandung ayah dan ibu? Ayah dan ibu bukan ibu bapa kandungku? Siapa aku yang sebenarnya?’ persoalan itu mula menjadi tanda soal dalam hidupku.

…………………………………………………………………………………………
bersambung...

La takhaf

Aku cuba menganggap kau manusia biasa
Tetapi kau terlalu luar biasa.

Aku cuba menganggap semua perasaan ini sebagai mimpi
Rupanya ketakutan yang tiada solusi.

"Fear is the greatest motivation for human"

La takhaf wala tahzan innallaha maana
Allahu maana
Allahu maana
Allahu maana.

Abang Amy

“Alhamdulillah, sampai juga aku ke kampung ini”. Kaki yang berat dek memikul barang dan bagasi, aku gagahkan juga. Sedikit lagi, hanya beberapa langkah sahaja lagi. “Kuat, ayuh mara ke depan. Gagah Dalili, sikit lagi, lagi, lagi!!”

Sedang asyik aku memberi semangat kepada diri sendiri, seorang lelaki dengan pakaian yang compang-camping keluar daripada celah rumah, antara rumah aku dengan rumah Mak Cik Fatimah. Aku seperti kenal lelaki itu. Mukanya tampak begitu merah dengan matanya bulat tersembul.

Aku yang berdiri tepat di tengah jalan seolah-olah tidak kelihatan. Lalu tubuhku dengan kasar dilanggar dia, habis berterabur barang-barangku jatuh menyimbah bumi. Ah, lututku dan sikuku berdarah tercium lantai.

“Spoil betul la mamat ni. Tak tahu halal haram ea, main langgar je kan. Eee, anak siapa la ni?” Hah, meletup juga bom daripada mulut aku. Sekali lagi aku toleh ke arah lelaki compang-camping itu.

Dari jauh aku boleh bayangkan betapa hati lelaki itu sedang api, boleh aku bayangkan betapa banyak asap yang keluar daripada telinganya. Kalaulah dipecahkan sebiji telur di atas kepalanya, konfirm telur itu masak punyalah.

Kalau masak sekalipun, wek! Tak lalu aku nak telan. Rambut yang entah berapa bulan macam tak bersyampu tu. Huh, mintalah disimpangkan 44 malaikat. Pandanganku dialihkan pula ke arah barang-barang yang berselerak di kaki. Satu persatu aku kutip dan sangkut di bahu dan leher, dua tangan lagi sudah penuh dengan bag dan bagasi.

“ibuuu, ooo ibu… akak dah balik ni…” Senyap.

“Aayaahh, ooo ayah… akak dah balik ni…” Senyap lagi.

Isyyh, mana pergi orang rumah aku ni. Selipar tiada, kereta pun tiada. Alahai, tak menjadi surprise la pula aku balik mengejut macam ni. Hmm…

Tiba-tiba terdengar suara anak kecil menangis teresak-esak. Meremang bulu roma aku, badan aku mula la nak sejuk seram ni. Esakan itu semakin kuat, aku cuba mencari di mana punca suara itu.

Tertunduk-tunduk aku berjalan, lagaknya seperti detektif Conan sedang menyiasat kes yang berat. Akhirnya mataku terpaku pada rumah Mak Cik Fatimah. Ya, aku yakin, suara esakan itu datangnya dari rumah Mak Cik Fatimah.

“Allah, Mak Cik, kenapa ni?” Terkejut beruk aku tengok keadaan rumah Mak Cik Fatimah. Kelihatan kipas hancur dihempap di tengah-tengah rumah. Cawan, pinggan dan bekas rokok bersepah-sepah atas lantai.

Aku terus berlari mendapatkan Mak Cik Fatimah. Tubuhnya yang lemah terus aku rangkul. Mak Cik Fatimah seperti ingin menunjukkan sesuatu kepadaku. Tangannya diangkat-tunjuk ke arah sebuah bilik kecil. Perlahan-lahan tubuh Mak Cik Fatimah aku lepaskan.

Aku selak langsir bilik kecil itu. “MasyaAllah”, anak kecil terbaring lesu dengan lumuran darah. Ya Allah, anak itu masih terlalu kecil. Teresak-esak dia menangis dalam lemah. Anak itu aku dukung dengan berhati-hati.

“Mak Cik, apa yang berlaku?” soalan itu seperti tiada jawapan. Biarlah, mungkin Mak Cik Fatimah masih terlalu lesu. Anak kecil dalam lingkungan dua tahun itu, aku bawa ke beranda belakang rumah.

Perlahan-lahan air aku lalukan atas tubuh kecil itu. Melihat tubuh itu dipenuhi bengkak dan biru, aku jadi sebak. Anak ini tidak berdosa. Sesekali anak kecil itu merengek disentuh tempat yang sakit.

Aku gantikan pampers dan bajunya. Kini giliran Mak Cik Fatimah pula, aku bawa Mak Cik Fatimah ke bilik belakang. Air suam aku sapu di muka dan badannya. Sementara membiarkan mereka berehat, aku kemas sedikit demi sedikit rumah yang berselerak itu.

Semua selok-belok rumah Mak Cik Fatimah telah aku hafal sedari kecil. Rumah inilah tempat aku menumpang kasih tatkala ibu dan ayah sibuk mencari duit. Di rumah inilah aku membesar seperti sebuah keluarga tatkala keluargaku sibuk mengejar dunia.

Mak Cik Fatimah seperti ibu dan ayah keduaku, walaupun setiap bulan dia dibayar upah, tetapi Mak Cik Fatimah mengasuh aku bagai menatang minyak yang penuh. Sehingga Abang Amy pun cemburu dengan layanan Mak Cik Fatimah kepadaku.


“Abang Amy?” Baru aku sedar, lelaki yang merempuh aku di tengah jalan tadi sebiji mukanya seperti Abang Amy. Aku mengamati setiap inci keadaan rumah Mak Cik Fatimah. “Mustahil, tak mungkin Abang Amy yang lakukan semua ini”.

.................................................................................................................................

bersambung...

Sembilu & Ilmu

Ada orang makin bertanya
makin banyak yang tak tahu
makin dibaca makin hina rasanya
kerana diri terasa cetek tak berharga.

Ada orang makin gelisah
makin banyak berkata
makin tertekan makin banyak tak betul
kerana diri semakin jauh dari panduan.

Ada juga orang yang diam seribu bahasa
pemerhati setiap tingkah
apabila lawak dia ketawa berdekah
apabila sedih dia sembunyi dalam perut
kerana diam itu sifatnya.

Tapi manusia
tak jauh jika berlari
tidak lama kalau tersungkur
takkan habis kalau tumbang
selagi dia masih ada akal di kepala
selagi dia masih al-Quran didakapnya.

Berkatalah sayangku
berhiburlah temanku
semakin banyak yang kau lepaskan
semakin banyak pula malu yang masuk
kerana Allah masih sayang
kerana Allah masih prihatin
diberikan rasa malu
supaya kita belajar sesuatu.

Andai saja diri kita tak punya tangan
pasti tiada salah yang kita buat
tiada tangan yang gatal menaip komen
kemudian termenung lama malu sendiri
tiada mulut untuk bersuara
hanya rasa bermain dihati
fitnah pun dapat dihindari
maruah pula mekar terpelihara.

Tapi manusia
selalu mengidamkan kesempurnaan
maka mudahlah dosa dilakukan
dalam sedar mahupun dalam diam
dosa terus mengalir dalam diri
hati makin gelap terus terpadam
terus sirna dari kebenaran.

Ya Allah
peliharalah kami dengan akhlak mulia
dengan cacat segi dunia
biar kami tidak dilihat
sehingga kami tidak melihat
kerana hanya wajahMu yang kami dambakan.

Innasolati wanusuki
wamahyaya wamamati
lillahirobbil alamin
Sesungguhnya solatku, ibadahku
hidupku dan matiku
hanya untuk Allah
InsyaAllah, amin...