RSS

Abang Amy

“Alhamdulillah, sampai juga aku ke kampung ini”. Kaki yang berat dek memikul barang dan bagasi, aku gagahkan juga. Sedikit lagi, hanya beberapa langkah sahaja lagi. “Kuat, ayuh mara ke depan. Gagah Dalili, sikit lagi, lagi, lagi!!”

Sedang asyik aku memberi semangat kepada diri sendiri, seorang lelaki dengan pakaian yang compang-camping keluar daripada celah rumah, antara rumah aku dengan rumah Mak Cik Fatimah. Aku seperti kenal lelaki itu. Mukanya tampak begitu merah dengan matanya bulat tersembul.

Aku yang berdiri tepat di tengah jalan seolah-olah tidak kelihatan. Lalu tubuhku dengan kasar dilanggar dia, habis berterabur barang-barangku jatuh menyimbah bumi. Ah, lututku dan sikuku berdarah tercium lantai.

“Spoil betul la mamat ni. Tak tahu halal haram ea, main langgar je kan. Eee, anak siapa la ni?” Hah, meletup juga bom daripada mulut aku. Sekali lagi aku toleh ke arah lelaki compang-camping itu.

Dari jauh aku boleh bayangkan betapa hati lelaki itu sedang api, boleh aku bayangkan betapa banyak asap yang keluar daripada telinganya. Kalaulah dipecahkan sebiji telur di atas kepalanya, konfirm telur itu masak punyalah.

Kalau masak sekalipun, wek! Tak lalu aku nak telan. Rambut yang entah berapa bulan macam tak bersyampu tu. Huh, mintalah disimpangkan 44 malaikat. Pandanganku dialihkan pula ke arah barang-barang yang berselerak di kaki. Satu persatu aku kutip dan sangkut di bahu dan leher, dua tangan lagi sudah penuh dengan bag dan bagasi.

“ibuuu, ooo ibu… akak dah balik ni…” Senyap.

“Aayaahh, ooo ayah… akak dah balik ni…” Senyap lagi.

Isyyh, mana pergi orang rumah aku ni. Selipar tiada, kereta pun tiada. Alahai, tak menjadi surprise la pula aku balik mengejut macam ni. Hmm…

Tiba-tiba terdengar suara anak kecil menangis teresak-esak. Meremang bulu roma aku, badan aku mula la nak sejuk seram ni. Esakan itu semakin kuat, aku cuba mencari di mana punca suara itu.

Tertunduk-tunduk aku berjalan, lagaknya seperti detektif Conan sedang menyiasat kes yang berat. Akhirnya mataku terpaku pada rumah Mak Cik Fatimah. Ya, aku yakin, suara esakan itu datangnya dari rumah Mak Cik Fatimah.

“Allah, Mak Cik, kenapa ni?” Terkejut beruk aku tengok keadaan rumah Mak Cik Fatimah. Kelihatan kipas hancur dihempap di tengah-tengah rumah. Cawan, pinggan dan bekas rokok bersepah-sepah atas lantai.

Aku terus berlari mendapatkan Mak Cik Fatimah. Tubuhnya yang lemah terus aku rangkul. Mak Cik Fatimah seperti ingin menunjukkan sesuatu kepadaku. Tangannya diangkat-tunjuk ke arah sebuah bilik kecil. Perlahan-lahan tubuh Mak Cik Fatimah aku lepaskan.

Aku selak langsir bilik kecil itu. “MasyaAllah”, anak kecil terbaring lesu dengan lumuran darah. Ya Allah, anak itu masih terlalu kecil. Teresak-esak dia menangis dalam lemah. Anak itu aku dukung dengan berhati-hati.

“Mak Cik, apa yang berlaku?” soalan itu seperti tiada jawapan. Biarlah, mungkin Mak Cik Fatimah masih terlalu lesu. Anak kecil dalam lingkungan dua tahun itu, aku bawa ke beranda belakang rumah.

Perlahan-lahan air aku lalukan atas tubuh kecil itu. Melihat tubuh itu dipenuhi bengkak dan biru, aku jadi sebak. Anak ini tidak berdosa. Sesekali anak kecil itu merengek disentuh tempat yang sakit.

Aku gantikan pampers dan bajunya. Kini giliran Mak Cik Fatimah pula, aku bawa Mak Cik Fatimah ke bilik belakang. Air suam aku sapu di muka dan badannya. Sementara membiarkan mereka berehat, aku kemas sedikit demi sedikit rumah yang berselerak itu.

Semua selok-belok rumah Mak Cik Fatimah telah aku hafal sedari kecil. Rumah inilah tempat aku menumpang kasih tatkala ibu dan ayah sibuk mencari duit. Di rumah inilah aku membesar seperti sebuah keluarga tatkala keluargaku sibuk mengejar dunia.

Mak Cik Fatimah seperti ibu dan ayah keduaku, walaupun setiap bulan dia dibayar upah, tetapi Mak Cik Fatimah mengasuh aku bagai menatang minyak yang penuh. Sehingga Abang Amy pun cemburu dengan layanan Mak Cik Fatimah kepadaku.


“Abang Amy?” Baru aku sedar, lelaki yang merempuh aku di tengah jalan tadi sebiji mukanya seperti Abang Amy. Aku mengamati setiap inci keadaan rumah Mak Cik Fatimah. “Mustahil, tak mungkin Abang Amy yang lakukan semua ini”.

.................................................................................................................................

bersambung...

0 comments:

Post a Comment