RSS

Pelan 5 Tahun

2015: Praktikum dan Viva. 
  • Buat viva tentang kemahiran penulisan @ permainan @ tapak pembelajaran yang menarik.
  • Praktikum sem depan, merayu juga pada unit praktikum supaya dapat dekat-dekat IPG je, guna alasan tiada kenderaan. Hehe.
  • Kuasai ilmu pedagogi untuk mengajar dalam kelas, pada masa yang sama penuhkan dada dengan ilmu Rabbi, supaya apabila mengajar, anak murid juga dapat mengenal siapa Pencipta mereka, kebetulan pula sem depan ajar moral, ada juga peluang nak dicari.
Kata Ummi Hashimah, 
jangan takut menyebut Allah
walaupun mereka non-muslim
kerana mereka juga makhluk Allah
serulah mereka dengan hikmah.
2016: Mula bekerja.
  • Minta posting berdekatan dengan keluarga.
  • Bahagikan gaji dengan baik. 
  • Main duit kutu. Satu kepala RM300, main 5 kepala. Satu pusingan 2 tahun.
  • Satu kepala sekali kutip RM 12 000 kali dengan 5 kepala = RM 60 000
  • Sebulan peruntukkan RM1500 untuk duit kutu, selebihnya untuk perbelanjaan harian dan beri pada keluarga.
2017: Tengok pada keadaan.
  • Kalau situasi sudah selesa untuk sambung master, terus sambung masa ni. 
  • Antara subjek yang nak disambung ialah Pendidikan Moral, kerana minor sekarang moral dan paling dekat dengan Islam. 
Sesungguhnya Muhammad itu diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia
Maka, moral diharapkan menjadi pilihan terbaik
  • Kalau tidak, teruskan mengajar macam biasa, jaga kebajikan keluarga dan teruskan usaha.
  • Setiap cuti panjang, mudah-mudahan dipermudahkan niat untuk pergi ke pondok, dalami ilmu agama, itulah cahaya hidup.
  • Pada masa yang sama, aktifkan diri dengan aktiviti kawasan. Menyumbang apa yang perlu. Bawa keluarga untuk sama-sama bergerak dengan kawasan.
Dua tahun kemudian...
2018: Pergi umrah satu keluarga.
  • Dengan duit kutu, nak bawa mak, bawa pa, bawa along, bawa dekna dan zaki. Insya-Allah, kita ziarah makam nabi.
  • Kalau aku lupa, tolong ingatkan aku azam yang satu ini.
2019: Rumah dan Tanah
  • Teruskan bermain duit kutu untuk pusingan yang kedua.
  • Kutipan kali ini, beli tanah dan buat rumah sewa 4 pintu.
  • Mudah-mudahan bajet cukup sebab yang buat nanti ayah sendiri, jadi jimat kos dari segi upah pekerja. hehe. Jadi rumah sewa untuk keluarga.
  • Sewa satu pintu untuk dekna di UIA, satu pintu untuk zaki (diharapkan dapat menyambung ke Timur Tengah) dan dua pintu lagi untuk mak dan pa.
  • Kalau mampu dan sesuai dengan masanya, sambung terus phd masa ini. Insya-Allah, moga Allah makbulkan.
Apabila yakin kebajikan keluarga sudah terjaga, barulah fikir untuk diri sendiri. Insya-Allah, moga Allah reda.

Mengapa tidak dimasukkan target untuk berbaitul muslim? Ada yang bertanya, dan jawapannya, aku tetap dengan keyakinan bahawa jodoh itu hadiah daripada Allah, bila Allah nak beri kita terima. Bila Allah senyap, kita teruskan hidup macam biasa. Dan sebaik-baiknya, ketika Allah beri itu kita sudah berada dalam keadaan yang bersedia dan selesa, bukan dalam keadaan yang sangat membebankan.

Penuhkanlah dadaku dengan iman
penuhkanlah dadaku dengan ilmu
penuhkanlah dadaku dengan cinta pada-Mu

Apabila aku berjaya, tambahkanlah imanku
apabila aku gagal, tambahkanlah imanku
jadikanlah aku hamba-Mu yang sentiasa bertambah imannya.

'Tak Sangka'

  • Alhamdulillah, sampai di Kedah Darul Aman. Memang aman membelah sanubari, dengan sawah yang hijau dan jalan raya yang nyaman. Bagai berada di luar negara rasanya.
  • Aku memandang ke luar jendela, terlihat pokok satu-satu di keliling hijau alam. 
Tiba-tiba terbayang seekor cheetah berlari mengejar mangsa. 
Yup, suasananya tak lari macam night safari.
  • Sesampai di ruang rehat muslimat,  masya-Allah, bertentang mata dengan sahabat-sahabat dari kampus lain. Ada yang kenal, ada juga yang tak kenal. 
  • Ramainya yang sudah menjadi alumni sekarang. Lihat di jari manis, masing-masing sudah bersarung emas. Alhamdulillah.
Niat pergi untuk belajar,
harap-harap dapatlah apa yang diniatkan
kerana hidup adalah ilmu
yang perlu dikutip dan dihargai
kelak ia menjadi panduan
petunjuk jalan ke syurga abadi.
  • Hujung mingguku dipenuhi dengan 'tak sangka'. 
  • 'Tak sangka' pimpinan yang baru naik ini adalah sahabat-sahabat yang pernah ku kenal, pernah bertaaruf dalam program, explorace bersama, menyelesaikan masalah bersama, berlari dan bergelak ketawa bersama.
Tidak ku nafikan kehebatan kalian
jika berhujah ada dalilnya
bila berkata ada hikmahnya
ketika bekerja, pasti ada buahnya.

Masya-Allah, hebatnya kalian
pasti Pencipta kalian lagi hebat bukan. (senyum)
  • 'Tak sangka', apabila dihulurkan kad jemputan kahwin, pasanganmu sahabat adalah adik ustaz Hafiz. Masya-Allah, bibir ni tak henti-henti tersenyum, tak henti-henti nak memuji dan menyakat. Tahniah sahabat solehah. 
  • Memang pantas kau tercipta untuknya dan dia tercipta untukmu. Semoga bahagia ke anak cucu dan nur sakinah itu menjadi perhiasan hidupmu.
Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik
lelaki yang baik untuk perempuan yang baik pula.
  • Ke'Taksangka'anku semakin menjadi-jadi. Saat itu, aku sedang menggosok gigi di sinki. Dengan panggilan 'Zack' aku sudah dapat meneka siapa gerangannya, kerana dalam banyak-banyak kakak unit pengajian tahun akhir, hanya ukhti TK yang memanggil aku dengan gelaran itu. 
  • Dia tersenyum sambil menghulurkan kad jemputan kahwin. Buka-buka sahaja, aku sudah terjelopok jatuh ke lantai dek 'tak sangka' yang amat sangat. Masya-Allah.
Orang yang hebat untuk orang yang hebat juga.
  • Dah lama aku menanti, siapakah pemaisuri yang bakal mengisi ruang hati si akhi yang seorang ini, rupa-rupanya, tak jauh, terlalu dekat dan pastinya tak dapat dijangka. 
  • Tahniah semua yang bakal berbaitul muslim. 4 walimah bakal menyusul hujung tahun ini.
Hatiku masih berbagi-bagi
hendak pergi atau tidak
walaupun mulut berkata mahu
pergi sekadar memberi sokongan kepada sahabat.
  • Namun jauh di lubuk hati, aku tak mahu pergi, tak mahu mempengaruhi mindaku ini dengan perkahwinan lagi. Perancangan 5 tahun mendatang, mudah-mudahan dapat dikecapi.
  • Terlalu banyak tanggungjawab yang tergalas. Mungkin sekarang sudah ada yang membina kemahiran memasak, kemahiran mengaktifkan diri dalam gerakan dan sebagainya.
  • Tetapi aku, seperti terkebelakang sedikit, aku hanya mahu menguasai kemahiran menuntut ilmu dan menjadi seorang yang solehah untuk Penciptaku dan keluarga.
  • Apapun, tengoklah nanti.
Yang perlu dikejar bukanlah jodoh
yang perlu dikejar adalah cinta Ilahi
kerana jodoh adalah rahsia
sebagai hadiah dari Pencipta.

Percaturan Allah sangat indah.

Semangat Tok Gajah

  • Siapa sangka, Tok Gajah akan menang 6-3. 
  • Dari Pekan menaiki bas, anak muda sudah sedia berjersi kuning sambil menggemakan lagu Tok Gajah di dalam bas. 
  • Masya-Allah, remaja sekarang sangat gemar akan bola. Teringat pula seloka yang sempat dibuat semasa perkampungan penulis dan dipersembahkan semasa malam kebudayaan;
Aduhai malang remaja
hidupnya bebas hingga tersasar
ada solat ditinggalkan
sebab asyik bermain bola.

Bangun pagi pukul lapan
pergi kuliah pukul sembilan
bila ditanya mengapa
sebab tidur lewat malam.

Wahai remaja harapan bangsa
kembalilah ke pangkal jalan
agama bukanlah gelaran
aduhai nasib remaja.
  • Laluan bas hanya tinggal sekangkang kera untuk dilalui. 
  • Maka semua penghuni bas berdebar, tiket bas sudah dibeli, jika lambat tiba di sentral, ada kemungkinan ditinggal saja. 
  • Tiket yang dibeli, bukan seposen dua, malah mencecah sehingga RM65. Maka beramai-ramailah anak muda mahupun tua turun untuk berganding bahu mengembleng tenaga mengangkat dan mengalihkan kereta yang tersadai.
Masya-Allah
apabila bersatu
semua kerja menjadi padu
sudah lama tidakku rasai saat begini
bagai mahu mengalir si air mata.
  • Apabila berjaya, semua orang bertempik gembira, "Insya-Allah semangat Tok Gajah, Pahang akan menang hari ni". Begitulah kata pelajar ICAM di sebelahku. Siapa sangka, kata-kata itu menjadi kenyataan.
  • Sorakan dari stadium bola bergema hingga ke stesen bas. Sampaikan encik annaouncement juga menyanyikan lagu yang sama.
  • Aku jadi tertanya-tanya, siapakah Tok Gajah yang sebenarnya?

Cinta dan Nafas

  • Alhamdulillah, masih dikurniakan cinta untuk bernafas dan menulis di sini. 
  • Nikmat terbaring sejak subuh, berselubung dek tubuh yang kejang. Segala urat tertarik ke mana entah, tidak ku tahu. Aku hanya tahu semua itu terlalu sakit. Tapak kaki dan tangan menjadi pucat tak berdarah.
Ya Allah, 
patutlah doktor beri banyak sangat pantang
jangan terlalu penat, 
jangan banyak fikir, 
emosi jangan sedih, 
dan banyak lagi...

kerana yang menanggung nanti adalah tubuh
sedangkan tiada ubat yang boleh merawat
maka mencegah saja jalan yang ada.
  • Tak sangka pula ada sahabat yang baik, ada yang pergi ambil ubat, ada yang keluar beli makanan, dan dia juga... walaupun tingkahnya pelik tak peduli, tapi aku tahu dia hendak membantu cuma tak tahu bagaimana. (senyum)
Jauh dalam hatinya, aku tahu
aku masih berdarjat sahabat
kerana hatiku selalu berbisik
dia sahabatku selamanya,
tak kira apa yang berlaku...

Allah, Engkau mendengar bukan. (Senyum)
  • Jika dulu aku selalu meminta adalah lebih baik aku menanggung semua kesakitan manusia, supaya aku tiada peluang berbuat dosa. Namun kini, aku sedar, apabila sakit, betul, aku tiada peluang buat maksiat dan aku juga tiada peluang buat ibadah. Dan satu kekurangan lagi ialah aku akan menyusahkan orang lain.
Kalau selalu mengadu sakit
lama-lama orang akan meluat
tetapi fikirlah bahawa sakit itu nikmat
maka kita akan diberi rahmat

Dan rahmat itulah yang akan menjadi asbab
untuk kita masuk ke syurga
menjadi bidadari
meraih cinta Ilahi.
  • Teruskanlah menulis, agar segala belitan akan terurai. Mengapa kau sekat minatmu, tidakkah menulis itu telah subur sedari kecil?
  •  Setiap pagi di hujung minggu, buaian di bawah rumah masih menjadi saksi, tempat untuk kau berdiskusi, dengan diri dan alam, dan kau mencari Pencipta yang tidak kau tahu di mana, hanya dengan sebatang pensel dan buku kecil. 
  • Kadang-kadang, kau lakarkan ia menjadi lukisan. Kadang-kadang, kau coretkan ia menjadi perasaan.
Teruskan menulis
hargai jiwamu
terangkan hatimu
agar tenang menjadi temanmu.
  • Ikhlaskan hati menulis untuk berdakwah. Aku menulis, semoga menjadi hikmah kepada pembaca. Pengajarannya kita kongsi bersama.
Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Gurindam

  • Pertama kali, inilah gurindam yang singgah di telinga. Penuh dengan nasihat. 
  • Rupa-rupanya, Hamzah Fansuri merupakan pelopor kepada syair. Oleh sebab itulah kebanyakan syair yang kita baca berbentuk keagamaan dan nasihat.
Alhamdulillah, 
berpeluang bertaaruf dengan puisi tradisional
apabila dalam bengkel
apabila ada unsur kepaksaan dan wajib
barulah ada hati nak buat
  • Maka tak hairanlah ada kata yang berbunyi "Keikhlasan itu hadir daripada keterpaksaan". Jadi, kalau nak jadi seorang yang berjaya, kita kena paksa diri kita (bukan seksa ya).
  • Berikut merupakan coretan awal gurindam yang dihasilkan sebentar tadi:
Barang siapa mengejar dunia,
tidak akan dapat semua yang ada.

Barang siapa mengejar akhirat,
keinginan dunia mestilah disekat.

Barang siapa idamkan syurga
hendaklah hormat ibu dan bapa.

Barang siapa mencari diri,
hendaklah kenal siapa Ilahi.

Barang siapa baik budi bicara,
kelak disayang semua manusia.

Barang siapa ingin berjaya,
nafsu yang buas hendaklah dijaga.

Barang siapa tidurnya nyenyak,
kelak ilmu tidaklah banyak.

Barang siapa bermuram durja,
kelak syaitan akan bermaharaja lela.

Barang siapa bongkak dan sombong,
kelak nanti dipandang serong.

Barang siapa suka mengumpat,
umpama makan daging si mayat.

Sejenak

  • Sejenak aku mencari, di mana jiwa puitis itu. Di mana? Bagaimana mahu kukarang, sedang hati telah pun hilang.
Mengaranglah dengan hati
maka tanganmu akan menjadi tangan Tuhan
telingamu akan mendengar suara Tuhan
kerana jiwamu sedang rindukan Sang Pencipta
  • Kamu terlalu banyak alasan. Itulah masalahnya. 
Tidakkah manusia diciptakan untuk menyelesaikan masalah? 
Janganlah lari, 
apa lagi merendah diri. 

Redahlah, 
sehingga kau lihat cahaya putih yang menyilau, 
sehingga kau dengar ucapan "salamun kaulammirrabbirrahim..", 
sehingga pintu itu terbuka, 
dan kau akan melangkah ke alam baru.

Mawarku Sayang

Cinta
Apa itu cinta
Adakah apabila dengan seseorang
Hati terasa bergetar
Bagai ada magnet yang menarik
Kerana caranya yang pelbagai
Atau gayanya yang cendekiawan
Prihatin dan suka menolong,
Adakah itu yang namanya cinta?

Berhati-hatilah mawarku sayang
Jangan mudah buat kesimpulan
Bahawa itu mungkin jodoh kamu
Tidak
Barangkali itu permainan syaitan
Yang sentiasa menggoda dan menarik
Supaya semua anak Adam tersungkur
Sujud dan sembah kepada selain Allah
Menjadi hamba kepada Dunia.

Kendalikan hatimu dengan baik
Bagaimana kita hendak mencintai orang lain
Jika kita tidak mencintai diri sendiri
Bagaimana kita hendak mencintai diri sendiri
Jika kita tidak mencintai Allah.

Kita datang daripada Allah
Akan pulang kepada Allah
Hidup ini akan ditanya
Adakah diisi dengan baik
Atau hiburan semata-mata.

Ingatlah wahai mawarku sayang
Hanya dengan meletakkan Allah nombor 1 dalam hidup
Kita akan bebas dari segala bentuk penghambaan.

Bebas

Kecil tanganku dalam genggaman ayah
Sambil berjalan aku terlihat burung
Ayah, kenapa manusia tidak seperti burung?
Terbang dengan riang, pulang dalam kenyang.

Lalu aku didukung dan diterbangkan
Tetapi aku membantah
Aku mahu terbang dengan sayap sendiri
Bukan dengan bantuan dan main-main.

Ayah menurunkan aku dari bahunya
Aku tahu aku telah menoreh luka dihati ayah
Mungkin ayah tak mahu aku bersayap
Kerana pasti dia aku tinggalkan nanti.

Namun kata ayah,
Kita tidak boleh menjadi burung
Kerana kita seorang manusia
Tetapi kita akan bahagia seperti burung
Bebas, terbang dan riang
Apabila kita tahu siapa Pencipta kita.

Hanya dengan mengenali Pencipta
Kita akan bebas
Bebas dari segala bentuk penghambaan
Ketika itu kita akan mendapat sepasang sayap
Untuk kita terbang ke syurga.