RSS

Bebas

Kecil tanganku dalam genggaman ayah
Sambil berjalan aku terlihat burung
Ayah, kenapa manusia tidak seperti burung?
Terbang dengan riang, pulang dalam kenyang.

Lalu aku didukung dan diterbangkan
Tetapi aku membantah
Aku mahu terbang dengan sayap sendiri
Bukan dengan bantuan dan main-main.

Ayah menurunkan aku dari bahunya
Aku tahu aku telah menoreh luka dihati ayah
Mungkin ayah tak mahu aku bersayap
Kerana pasti dia aku tinggalkan nanti.

Namun kata ayah,
Kita tidak boleh menjadi burung
Kerana kita seorang manusia
Tetapi kita akan bahagia seperti burung
Bebas, terbang dan riang
Apabila kita tahu siapa Pencipta kita.

Hanya dengan mengenali Pencipta
Kita akan bebas
Bebas dari segala bentuk penghambaan
Ketika itu kita akan mendapat sepasang sayap
Untuk kita terbang ke syurga.

0 comments:

Post a Comment