RSS

Cinta dan Nafas

  • Alhamdulillah, masih dikurniakan cinta untuk bernafas dan menulis di sini. 
  • Nikmat terbaring sejak subuh, berselubung dek tubuh yang kejang. Segala urat tertarik ke mana entah, tidak ku tahu. Aku hanya tahu semua itu terlalu sakit. Tapak kaki dan tangan menjadi pucat tak berdarah.
Ya Allah, 
patutlah doktor beri banyak sangat pantang
jangan terlalu penat, 
jangan banyak fikir, 
emosi jangan sedih, 
dan banyak lagi...

kerana yang menanggung nanti adalah tubuh
sedangkan tiada ubat yang boleh merawat
maka mencegah saja jalan yang ada.
  • Tak sangka pula ada sahabat yang baik, ada yang pergi ambil ubat, ada yang keluar beli makanan, dan dia juga... walaupun tingkahnya pelik tak peduli, tapi aku tahu dia hendak membantu cuma tak tahu bagaimana. (senyum)
Jauh dalam hatinya, aku tahu
aku masih berdarjat sahabat
kerana hatiku selalu berbisik
dia sahabatku selamanya,
tak kira apa yang berlaku...

Allah, Engkau mendengar bukan. (Senyum)
  • Jika dulu aku selalu meminta adalah lebih baik aku menanggung semua kesakitan manusia, supaya aku tiada peluang berbuat dosa. Namun kini, aku sedar, apabila sakit, betul, aku tiada peluang buat maksiat dan aku juga tiada peluang buat ibadah. Dan satu kekurangan lagi ialah aku akan menyusahkan orang lain.
Kalau selalu mengadu sakit
lama-lama orang akan meluat
tetapi fikirlah bahawa sakit itu nikmat
maka kita akan diberi rahmat

Dan rahmat itulah yang akan menjadi asbab
untuk kita masuk ke syurga
menjadi bidadari
meraih cinta Ilahi.
  • Teruskanlah menulis, agar segala belitan akan terurai. Mengapa kau sekat minatmu, tidakkah menulis itu telah subur sedari kecil?
  •  Setiap pagi di hujung minggu, buaian di bawah rumah masih menjadi saksi, tempat untuk kau berdiskusi, dengan diri dan alam, dan kau mencari Pencipta yang tidak kau tahu di mana, hanya dengan sebatang pensel dan buku kecil. 
  • Kadang-kadang, kau lakarkan ia menjadi lukisan. Kadang-kadang, kau coretkan ia menjadi perasaan.
Teruskan menulis
hargai jiwamu
terangkan hatimu
agar tenang menjadi temanmu.
  • Ikhlaskan hati menulis untuk berdakwah. Aku menulis, semoga menjadi hikmah kepada pembaca. Pengajarannya kita kongsi bersama.
Buang yang keruh, ambil yang jernih.

0 comments:

Post a Comment