RSS

Pra Refleksi Praktikum

Cerita yang inginku tulis hilang disambar sedar
sedar bahawa puitisku hilang untuk ku olah
jari-jari yang menaip
lambat sekali melontar idea
idea juga kabur ditelan asap
semuanya hilang
dan aku menjadi bisu.

Ah, bukan lagi cerita pra refleksi praktikum
ini cerita sahabatku yang telah berjaya menerbitkan buku
tahniah bro
doakan aku
aku juga ingin ke syurga
sebagaimana judul bukumu 'ingin ke syurga'
pasti aku dapatkan
pasti aku baca
pasti ada salah satu cerpen yang pernah kau beri
untuk aku cari
di mana kelemahanku dalam penulisan.

Pastinya makin kubaca cerpenmu
semakin aku rasa tinggi rendah langit dicapai
bahasamu begitu luas
ceritamu begitu segar
dan kau begitu kreatif mengoyak kotak fikirmu
kau bikin aku cemburu
kerana kau penulis sejati
sedangkan aku menulis diari.

Menulis perlu banyak baca
hidupkan semula tabiat membaca
Insya-Allah, tambah ilmu, tambah berkat, tambah tawaduk, tambah khusyuk.

Antara Masa & Kata

Sakit ini
betapa aku mahu lari
betapa aku mahu sembunyi
betapa aku mahu sendiri.

Kadang-kadang
masa adalah penyelesai paling baik
berbanding kata-kata.

Ada orang yang memerlukan masa
ada orang yang memerlukan kata-kata
manusia sama sekali tak serupa.

Ada orang apabila diberi kata-kata
ia makin jauh
ada orang apabila diberi masa
ia makin futur
tetapi doa menyatukan rasa.

Syurga Pendosa

Sabar zack, sabar...
apa yang buat kau mengamuk sangat ni...
masalah apa lagi...

Biasalah, hidup ni kalau takde masalah, bukan hidup namanya
Tidakkah masalah itu Allah beri, tanda Allah rindu
Dia nak dengar rintihan kita, Dia nak dengar aduan kita...
mengadulah padaNya
Dia Maha Mendengar dan Maha Mengasihini.

Ya Allah...
ingin aku menjadi seorang yang tidak rugi kerana mendahulukan keluarga
ingin aku menjadi seorang yang tidak akan menyesal dengan setiap keputusan
aku sangat mengaharapkan bimbingMu dalam mencari mardhatillah

kerana...

Aku juga ingin ke syurga
meskipun aku seorang pendosa.
  • Hari ini baru ku tahu betapa sakitnya menjadi masalah yang diungkit-ungkit. Sungguh baru ku tahu, betapa ruginya menjadi seorang yang suka mengungkit, rosak pahala, hancur jiwa.
  • Hari ini baru ku tahu betapa binasanya menjadi lidah yang tajam, luka hati, luka persahabatan.
  • Bismikallahi tawakkaltu. Dengan nama Allah aku bertawakal, tempat aku bergantung harap. 

Jahatnya Syaitan

Jahatnya syaitan
kerana kejahatannya tidak dia perbuat
di akhirat kelak
hebat hujahnya.

"Aku tidak kalian nampak
tetapi aku kalian salahkan
maka itu tolong buktikan
ketika mana aku mengajak kalian berbuat dosa?"

Ketika mana? ketika mana?
ketika itu kita akan terlopong
ketika mana syaitan mengajak kita berbuat dosa!
Kita cuba ingat ingat kembali
ketika kita melawan cakap ibu 
ketika kita bercakap bohong
justeru, di mana syaitan ketika itu?

Jahatnya syaitan
kerana kejahatannya tidak dia perbuat
di akhirat kelak
hebat hujahnya.

"Jika kalian tahu aku ini jahat,
kenapa kalian 
masih mahu menuruti aku?"

Dua hujah kukuh itu
cukup untuk buat kita menyesal
mengapa dan mengapa
kita menurut perintahnya
di mana Allah di hati kita ketika ini
ayuh koreksi diri
jiwa yang lapar perlu makan
rohani yang dahaga perlu diberi minum
Allah itu Maha Adil
diberi kita akal untuk berfikir
memilih antara baik dan buruk
bagi menghindar bisikan kufur.

Sesungguhnya doa itu senjata orang mukmin
maka berdoalah
memohon dengan rendah diri
bukan dengan menggunakan ayat perintah
"Allah, Kau lindungilah aku, Kau hindarilah aku, Kau berikanlah aku..."
tetapi, merayulah dengan penuh pengharapan
berdoalah dengan penuh strategi
dengan penuh kebijaksanaan
sebagaimana bijaksananya nabi Musa berdoa;

"Ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku"

Dugaan Tahun Akhir

Sekejap-sekejap komputer riba itu dia tatap, sekejap-sekejap skrin komputer itu dia menung. Ah, hang lagi! Bila nak siap kerja ni?! Ditambah pula keyboard rosak, sambung external keyboard, external keyboard pun rosak, guna juga on-screen keyboard. 

Takpe, kata ustaz, semakin tinggi dugaan, semakin dekat dengan Tuhan.

Sudah berminggu-minggu dia sabar dengan situasi ini. Buka waksap, kawan-kawan update tanya itu tanya ini mengenai asaimen, ada yang terlebih rajin update kata 40% dah siap, alhamdulillah 50%, 90% dah siap, allahu akhbar! Jadi bertambah-tambah emosinya ketika itu. Hakikatnya, tak siapa pun yang sentuh lagi. Sengaja mencetuskan emosi.

Balik kampung, mak minta tolong kemas rumah, kawan minta tolong jaga kedai. Takpelah, rezeki masuk, pahala akhirat. Buka waksap, dapat info, dua asaimen kena hantar lepas buka cuti. Dia mengira-ngira sisa baki cuti, khamis, jumaat, sabtu, ahad... 

Empat hari lagi? Seperti petir sedang berdentum, kilat menyambar sambung-menyambung. Dia jadi kaku berdiri. Sepatah haram asaimennya belum disentuh, asyik terhegeh menyiapkan asaimen duit. 

Dia jadi kelu, siapa-siapa yang bertanya, dia tiada mood nak jawab. Pelanggan yang membeli, dia lari tak layan. Jiwanya jadi kacau, hatinya bercelaru. Dia mahu segera sampai rumah dan menyiapkan asaimen yang tertunggak. Tak semena-mena mukanya berubah ungu, bibirnya kering tak berdarah, fikirannya berputar 360 darjah. Oh my asaimen!!!!

Takpe, kata ustaz, semakin tinggi dugaan, semakin dekat dengan Tuhan. Dia cuba menenangkan hati yang pahitnya pekat kopi.

Dia mengumpulkan azam untuk menyiapkan asaimen. Sedang enjin semangat baru dipanaskan, masuk pula mesej si buah hati, mula-mula satu mesej, kemudian dua, tiga dan seterusnya. Skrin laptop pejam celik sahaja kerana tidak disentuh, bosan menunggu tuan yang asyik bermesej. 

Otaknya sudah lari berdarjah-darjah. Jarinya membuka google, dicari pula design-design baju pengantin, contoh-contoh pelamin dan semua perkakasan kahwin. Hatinya berbunga-bunga menghitung hari.

Masuk waksap, kawan-kawan mengadu, mengapa susahnya nak buat asaimen, semua jadi tak lalu, nak muntah pun ada. Dia senyum, keadaannya begitu juga. Inilah dugaan, semua fikir nak kahwin, semua fikir nak pilih tarikh dan buat perancangan. Jiwa masing-masing sudah terbang ke dunia awan, berkepul-kepul, putih dan berbunga.

Leka & Malas

  • Inilah leka mengisi alpa, mengapa dibiar kuasai diri. 
  • Azam yang kuat menjadi lemah dek kerja yang terlalu banyak. 
  • Kejap, banyakkah kerja itu, mengapa tidur memenuhi masa, mengapa malas menjadi amalan, mengapa dan mengapa? 
  • Tidakkah masa itu ibarat emas yang berharga, tidakkah masa itu umpama pedang yang membelah, jika kau tidak memotongnya, nescaya ia akan memotong masamu, memotong dirimu, memotong jiwamu...
Aku kembali koreksi diri
aku sedar diri semakin jalang
semakin curang mengejar Ilahi
diri semakin berlumpur
sehingga sukar untuk bangkit
Allah, Engkau Tuhanku...
  • Adakah disebabkan kerja yang aku terima terlalu banyak? Untuk apa aku terima? Jaminan kewangan? Adakah aku terlalu memerlukannya? (fikir fikir balik)
Cuba kau renungkan kisah umat islam terdahulu
mereka adalah golongan tidak berduit
tetapi mereka dijanjikan syurga
mereka hidup, mereka bahagia
mengapa?

Kerana duit bukanlah segala-galanya
walaupun segala-galanya memerlukan duit
kesenangan yang diharapkan daripada duit
tidaklah kekal
semua itu, khayalan sementara.

Hiduplah dengan apa adanya
semakin sukar kau lalui
semakin hampir kau dengan kejayaan
maka itu, sabarlah, tenanglah, 
damaikan hati yang celaru
ingat kepada hakikat kesukaran
ingat pada Tuhanmu, Dia selalu ada.
  • Adakah semua ini disebabkan aku sudah tahun akhir? Maka asaimen sudah tak lalu, otak dah jadi tepu, semangat dah makin layu. nauzubillahiminzalikh.
Kau tidak rugi jika jalan ilmu yang kau pilih
kau tidak bodoh jika kau ingin tahu
kau tidak ... kau tidak ... kau tidak segala yang hitam
jika ilmu yang kau sayang
kerana ilmu adalah cahaya yang akan menerangi kegelapan
justeru, mengapa ada rasa putus asa di penghujung jalan?

Kau seharusnya kuat dan semangat
destinasi yang dituju semakin hampir
ayuh, ayuh bangkit membadang
maksimumkan usaha, pasakkan azam
kejar dunia untuk jaminan akhirat
jangan sesekali kau fikir jalan dunia yang kau lalui
untuk dunia semata-mata
Kerana Tuhanmu suka pada hamba yang bersungguh-sungguh
maka bersungguh-sungguhlah dalam setiap pekerjaan
kau pasti berjaya
dunia kau dapat, akhirat sudah menanti.

Kisah Janda

Hari-hari hidupnya terus begitu
kedai, shopping, anak
kedai, shopping, anak
semua ini bermula saat dijanda
hidupnya tak keruan
badannya diisi dan diisi
anaknya dihias dan diboros
namun gelisah di hati semakin bertambah
badannya makin bulat
anaknya makin comot
walaupun perniagaannya masih berjalan
kedainya penuh barang
pelanggannya mengulang beli.

Hari-hari hidupnya terus begitu
kedai, shopping, anak
kedai, shopping, anak
ketika ulang tahun anaknya
si anak dihias bagaikan puteri
semua mahu diganti baru
kasut baru, baju baru, kek baru
namun sepi hatinya terus haru
gambar diambil, dikirim kepada bekas suami
dibalas
dia pun senyum
walaupun pesanan itu ringkas sekali
"semoga sihat selalu"

Hari-hari hidupnya terus begitu
kedai, shopping, anak
kedai, shopping, anak
dia tak tahu apa yang dia mahu
dia tak tahu apa yang bahagia
semua kesenangannya
memberi luka di jiwa
dia kini ingin kembali cantik
ingin kembali kurus
dia juga tidak tahu untuk apa
dia ingin menjadi solehah
ingin bertudung litup
akan adakah lelaki yang mahu padanya
mengubat sepi hati yang lara.

Sedar

Apabila lemah menyapa,
kirindu kalam puisi
Yang berjiwa bara
Menggenggam si api
Sehingga arang jadinya.

Dan satu cahaya akan bersinar
Menerangi lantai hati
Ketika itu,
jantung akan berdengup
Akan berdenyut
Mendendangkan irama semangat
Memujuk tuan, bangkitlah
Bangkitlah
Kerana kita perlu bangkit
Mengubah dunia yang kian tua
Ini bukan masanya untuk bermuda.

Dunia yang telah maju,
zaman yang sudah berubah
Menuntut kita melangkah laju
Atau kita jauh ditinggal
Kita rugi, tiadalah untung.

Inilah nasib badan yang perlu kau hitung
Inilah umur dunia yang perlu kau kira
Jika tersalah
Kaulah bala
Jika benar
Belum tentu kau berjaya.

Ambillah nasihat agung ini
Sematkan di jiwa
Agar kau tidaklah lagha
Menjadi insan
Yang hembus nafasnya
Dalam keadaan yang sedar
Sedar diri
Sedar dunia
Sedar dosa
Sedar pahala
Mengidamkan syurga,

"Jangan pernah mengangkat dunia
Akhirat kau anaktirikan
Kelak di sana kau diperhitung
Jangan pernah kau cari rehat
Kerana dunia ladang untuk bercucuk tanam
Hasilnya kau petik di sana"
Ketika ombak memukul pantai
ketika itu,
pantai sudah sedia melepaskan buih-buih
untuk kembali ke laut membiru.

Pergilah buih, 
kembali ke laut
dan pantai
akan terdampar begitu
sehingga disinggahi tapak sulaiman
atau anak penyu yang lepas menetas.
  • Alangkah indahnya hidup jika manusia tidak diberi rasa. Pasti tiada yang terluka, pasti tiada yang kecewa kerana hidup bagaikan air tawar yang ditelan.
  • Tetapi perasaan itu Allah beri sebagai ujian, untuk kita kembali ingat bahawa Allah Maha Berkuasa. Jangan dilawan aturan Allah.
  • Dan manusia akan kembali berebut-rebut dalam amalan, kiamat itu benar, neraka itu benar, syurga itu benar, nabi muhammad saw itu benar.
  • Benarkanlah Allah di hatimu, agar api menjadi air, matahari menjadi salji dan marah menjadi tenang. 
  • Hanya dengan mengingati Allah, hati kan menjadi tenang.
Sesekali tidak akan ku biar
racun bisa menyerap
menyeruak ke dalam hati
kerana hati itu adalah raja
yang perlu dijaga.
"Janganlah di damba rehat dunia kerana itu sia-sia"

Ketika tubuh mengeluh penat, 
ingin lapang dan rehat, 
jangan dilupa, 
sibuk itu adalah nikmat
untuk kita nikmati sebelum kiamat.

Ketika tugasan tak menang tangan,
tariklah nafas,
tenangkan hatimu
Allah sentiasa menduga
hambaNya yang setia.

Ketika malas menguasai diri,
ingatlah kita akan rugi
di dunia ketinggalan
akhirat kelak mendapat balasan.

Ketika ini, kita perlu sedar
kita perlu ke puncak
melaungkan merdeka
melaungkan jiwa
ayuh berjihad
ayuh mati di jalan Allah
ada syurga menanti di sana
ada sungai-sungai yang mengalir
ada susu-susu yang jernih
ada bidadari-bidadari yang menanti
dan
ada Allah dan Rasul untuk kita ketemu.

Ya Allah,
lindungilah kami daripada sifat lemah dan malas
daripada sifat alpa dan putus asa
daripada sifat dengki dan kezaliman manusia
dan daripada sifat-sifat keji yang tidak Engkau redai.