RSS

Dugaan Tahun Akhir

Sekejap-sekejap komputer riba itu dia tatap, sekejap-sekejap skrin komputer itu dia menung. Ah, hang lagi! Bila nak siap kerja ni?! Ditambah pula keyboard rosak, sambung external keyboard, external keyboard pun rosak, guna juga on-screen keyboard. 

Takpe, kata ustaz, semakin tinggi dugaan, semakin dekat dengan Tuhan.

Sudah berminggu-minggu dia sabar dengan situasi ini. Buka waksap, kawan-kawan update tanya itu tanya ini mengenai asaimen, ada yang terlebih rajin update kata 40% dah siap, alhamdulillah 50%, 90% dah siap, allahu akhbar! Jadi bertambah-tambah emosinya ketika itu. Hakikatnya, tak siapa pun yang sentuh lagi. Sengaja mencetuskan emosi.

Balik kampung, mak minta tolong kemas rumah, kawan minta tolong jaga kedai. Takpelah, rezeki masuk, pahala akhirat. Buka waksap, dapat info, dua asaimen kena hantar lepas buka cuti. Dia mengira-ngira sisa baki cuti, khamis, jumaat, sabtu, ahad... 

Empat hari lagi? Seperti petir sedang berdentum, kilat menyambar sambung-menyambung. Dia jadi kaku berdiri. Sepatah haram asaimennya belum disentuh, asyik terhegeh menyiapkan asaimen duit. 

Dia jadi kelu, siapa-siapa yang bertanya, dia tiada mood nak jawab. Pelanggan yang membeli, dia lari tak layan. Jiwanya jadi kacau, hatinya bercelaru. Dia mahu segera sampai rumah dan menyiapkan asaimen yang tertunggak. Tak semena-mena mukanya berubah ungu, bibirnya kering tak berdarah, fikirannya berputar 360 darjah. Oh my asaimen!!!!

Takpe, kata ustaz, semakin tinggi dugaan, semakin dekat dengan Tuhan. Dia cuba menenangkan hati yang pahitnya pekat kopi.

Dia mengumpulkan azam untuk menyiapkan asaimen. Sedang enjin semangat baru dipanaskan, masuk pula mesej si buah hati, mula-mula satu mesej, kemudian dua, tiga dan seterusnya. Skrin laptop pejam celik sahaja kerana tidak disentuh, bosan menunggu tuan yang asyik bermesej. 

Otaknya sudah lari berdarjah-darjah. Jarinya membuka google, dicari pula design-design baju pengantin, contoh-contoh pelamin dan semua perkakasan kahwin. Hatinya berbunga-bunga menghitung hari.

Masuk waksap, kawan-kawan mengadu, mengapa susahnya nak buat asaimen, semua jadi tak lalu, nak muntah pun ada. Dia senyum, keadaannya begitu juga. Inilah dugaan, semua fikir nak kahwin, semua fikir nak pilih tarikh dan buat perancangan. Jiwa masing-masing sudah terbang ke dunia awan, berkepul-kepul, putih dan berbunga.

0 comments:

Post a Comment