RSS
Ya allah, dimanakah aku di sisiMu?
Jiwa nan kosong pinta diisi, seperti kereta yang menangis pinta di bubuhkan minyak, sekiranya tidak, tiadalah bergerak akan ia.

Ketika jiwa berasa kosong, malam kelihatan panjang sekali, diselangi derap roda di jalanan. Mata pula begitu celik menatap kipas dinding.

Ya allah, percepatkanlah malam ku, agar dapat ku berhenti, memikirkan segala yang haru. Semoga esok lebih baik daripada hari ini. Bantulah aku dalam bertingkah, agar tiada aku terpatah.
Buntu! Hanya itu yang dapat diungkapkan atas jiwa yang diuji.

Keliru! Hilang hala tuju seperti pistol yang tiada peluru.

Hari ini genaplah sudah 44 hari pantang. Hati masih merasakan kosong atas pemergian baby. Namun sedihku bukanlah bermaksud aku tidak reda, tetapi jiwaku belum puas untuk membelai ukasyah, baby pertamaku.

Fikir-fikir balik, adakah adil untuk ku bersikap sedemikian. Sungguh tidak matang kata suamiku. Berhentilah bersikap seperti budak2. Belajar untuk menjadi matang.

Terima kasih kepada cik abang yang tabah dan sabar melayan kerenah ku yang pening ini. Ya allah, berkatilah suami ku ini, cekalkan hati nya untuk terus membimbing ku ke jalan-Mu ya rabbi.

Puisi libang libu

Ketika hati sudah tidak berpuisi
Jiwa bergelora sepi
Seperti ada yang kosong
Seperti ada yang terpesong

Manusia sejujurnya perlu bicara
Melenturkan segala yang beku
Menjadikan ais beku sesuam kuku
Mencipta bahagia dalam cara

Hikmah itu dalam bertingkah
Kuasa itu dalam kata
Binasa itu kerana harta
Sesat pula kerana kurangnya ilmu

Manusia yang suka menghukum
Menganggap dirinya lebih baik
Sedangkan di sisi Allah
Tiada siapa yang tahu

Minggu ke-23

Pada minggu ke 23 kehamilan, aku teruja mendapat gaji pertama. Kami bercadang untuk scan 4D, nak tahu apakah jantina anak kami. Kami singgah di Hospital Pantai. Kami discan oleh Dr. Geeta. Alangkah terkejutnya Dr Geeta apabila mendapati kandungan ini tidak normal. Beliau mengesyaki bahawa kandungan ini dalam kategori diafragma hernia lalu membuat surat rujukan kepada doktor pakar untuk memastikan hasil scan beliau.

Keesokan harinya, kami pergi ke hospital Pemaisuri Bainun. Kami berjumpa dengan Dr. Jafaraj. Kami diberitahu bahawa beliau adalah doktor scan terbaik yang ada di Malaysia setakat ini. Beliau mengesahkan penemuan Dr Geeta. Tetapi beliau mengkategorikan masalah ini kepada gastriochisis. Beliau ingin memantau tumbesaran baby kami dari semasa ke semasa. Oleh itu, aku dan suami perlu selalu turun ke Ipoh untuk membuat pemeriksaan lanjutan.

Semenjak hari itu, aku dan suami menjadi semakin resah. Kami reda bahawa Allah telah memilih kami untuk melalui hidup yang unik. Namun kami masih tidak henti-henti membayangkan bagaimana keadaan anak pertama kami nanti. Adakah dia dapat hidup seperti biasa atau perlu melalui saat-saat sukar yang tidak boleh dibayangkan.

Saban hari aku mencari info mengenai gastriochisis. Kisah-kisah baby gastriochisis dalam youtube sedikit sebanyak memberi sinar, bahawa baby ini masih punya harapan untuk hidup. 2 minggu lagi kami akan menyusul lagi di hospital Ipoh. Semoga pemeriksaan kali ini akan memberikan khabar yang baik-baik sahaja kepada kami. Insya-Allah. Allahumma amin. Allah sentiasa ada untuk hambaNya yang diuji. Terima kasih Allah kerana memilih kami, memberi kami peluang untuk membaiki darjat kami disisiMu.